CYBERJAYA: Bekas peserta Mentor musim kelima (Mentor 5), Iqa atau Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor, 25, menyatakan hasratnya untuk meneruskan karier nyanyian dengan membawakan imej muzik pop rock.
Menurut Iqa, sebelum menyertai Mentor 5 lagi, dia sering membawakan muzik genre rock bersama kumpulannya, Bottlecapt, setiap kali mengadakan persembahan pentas.
"Sebenarnya, saya agak kekok membawakan lagu balada ketika berada dalam Mentor 5 kerana muzik saya lebih ke arah rock.
"Selepas berbincang dengan mentor saya, Edry Abdul Halim, saya akan membawakan muzik yang diminati dan tampil bersama gitar bila mengadakan persembahan, seperti yang dilakukan ketika bersama Bottlecapt dahulu," katanya yang kini bernaung di bawah KRU Studios.
Iqa merupakan vokalis dan pemain gitar bass dalam kumpulan Bottlecapt yang ditubuhkan sejak tahun 2004.
Tambah anak kelahiran Ulu Tiram, Johor itu, dia juga sering membuat persembahan muzik heavy metal bersama kumpulannya itu.
Sementara itu, Iqa atau nama panggilan lain, PQot, sedang merancang bersama pihak KRU menghasilkan sebuah album baru sebagai langkah pertamanya bergerak dalam industri muzik tempatan.
"Alhamdulillah, berada sehingga di peringkat akhir Mentor memberi peluang untuk saya mengejar cita-cita sebagai penyanyi profesional.
"Saya harap muzik yang bakal ditonjolkan nanti dapat diterima masyarakat, malah saya juga sudah bersedia untuk melalui segala perit getir sebagai seorang penyanyi," katanya.
Bagaimanapun, kata Iqa, walaupun bergerak sebagai penyanyi solo, dia tidak akan meninggalkan Bottlecapt.
No comments:
Post a Comment