KUALA LUMPUR: Penyanyi Nikki Palikat, 25, (Nikki) mengakui pengalaman bergelar ibu sejak tujuh bulan lalu telah banyak mengubah perspektif hidupnya.
Kata bekas peserta program realiti Malaysian Idol musim pertama ini, selepas melahirkan anak lelaki hasil perkahwinannya dengan komposer Audi Mok iaitu Liam Mok pada 27 Oktober tahun lalu, dia lebih senang untuk menyepikan diri seketika demi memberi tumpuan kepada anak sulungnya itu.
"Saya memang tidak aktif selepas melahirkan Liam pada Oktober lalu. Hampir tujuh bulan juga saya menolak banyak tawaran nyanyian kerana ingin menumpukan perhatian kepada Liam.
"Bukannya apa, selain memberikannya susu badan, saya juga tidak percaya pada orang lain untuk menjaga Liam. Kini Liam sudah tujuh bulan dan mula berdiri, barulah saya berani untuk aktif menyanyi semula," katanya.
Tambahnya, pengalaman menjadi ibu juga telah mengajarnya untuk berkompromi terhadap banyak perkara termasuklah soal masa dan kesabaran dalam menguruskan anak.
"Kalau dulu saya akan bangun tidur pada pukul 10 atau 11 pagi tetapi sejak ada Liam saya perlu bangun seawal 7 pagi kerana dikejutkan oleh tangisannya yang mahukan susu.
"Kebanyakan masa saya juga perlu diluangkan untuk Liam berbanding untuk diri sendiri, di mana sekarang saya tidak boleh lagi berdandan depan cermin lama-lama macam dulu.
"Banyak perkara yang perlu saya kompromi tetapi saya gembira dan bahagia dengan kelahiran Liam yang secara tidak langsung lebih mendisiplinkan saya," katanya yang menyusukan anaknya untuk menurunkan berat badan.
No comments:
Post a Comment