WANITA cantik ini suka ketawa. Bicaranya bersulam getar tawa dan membuatkan khalayak terasa dekat dengan dirinya. Kadangkala sebelum mula bicara, Rossa akan mendahuluinya dengan tawa.
Belum habis ayat percakapan, dia menutup mulut dengan jemarinya dan langsung tertawa. Dia selesa dalam bab itu.
“Kalau sedih biarlah saya seorang sahaja. Saya tidak suka mempamerkan kesedihan kepada umum.
“Saya lebih senang dilihat gembira,” jujurnya langsung ketawa. Rossa berkata, individu berhoroskop Libra sepertinya mungkin sentiasa riang.
Tawa Rossa itu bakal kembali lagi ke Malaysia, Jun ini. Malah, Malaysia bukan negara asing bagi penyanyi itu. Kerapkali Rossa menjadikan Malaysia tempat persinggahannya.
PENGGEMAR MELLY DAN ANTO HOED
Apabila melihat perjalanan kerjaya seorang Rossa, jelas nama Melly Goeslow dan Anto Hoed tidak pernah lekang daripada penyanyi ini. Dalam setiap album dan lagu Rossa pasti ada sentuhan pasangan suami isteri tersebut.
“Saya membesar dengan nyanyian dan karya mereka. Terus mereka menjadi sahabat baik saya. Saya sangat menggemari lagu-lagu tulisan Melly.
“Anto Hoed pula adalah penyusun muzik pilihan saya,” ujar Rossa yang suka mevariasikan lagu-lagu dalam albumnya.
PUSAT KARAOKE
Selain sibuk merangka fesyen dengan jenamanya sendiri, Rossa terlebih dahulu muncul dengan pusat karaoke yang dikenali Diva Family Karaoke. Pusat karaoke itu dibuka di Jakarta Pusat, Indonesia.
“Itu merupakan cawangan pertama saya. Dalam beberapa bulan lagi, saya akan membukanya di tempat lain pula. Sasaran saya ialah untuk membuka 15 cawangan Diva termasuk di Bandung, Bogor, Palembang, Manado dan mungkin Papua,” jelasya.
Rossa memilih tema ungu untuk menghiasi pusat karaokenya atas dasar warna tersebut digemari kedua-dua jantina lelaki dan wanita.
“Ada 40 buah bilik di Diva Family Karaoke. Kualiti peralatannya juga bagus. Siapa yang menyanyi di sana, suara mereka akan lebih sedap didengar,” ujarnya mempromosikan bisnes barunya yang memiliki tagline, ‘Mahu merasa menjadi diva? Nyanyilah di Diva Karaoke’.
KONSEP FILEM
Ujar wanita anggun berusia 33 tahun ini, dia gemarkan filem Nottting Hill lakonan Julia Roberts dan Hugh Grant. Filem itu turut menjadi inspirasi buat dirinya.
“Lagu-lagu runut bunyi filem tersebut sangat bagus dan saya amat menyukainya. Ia juga menjadi rujukan saya semasa menghasilkan album hit saya,” terang Rossa.
Selepas menonton filem tersebut, Rossa terinspirasi untuk menghasilkan fesyen jenama miliknya yang diberi nama Just A Girl.
“Saya obses dengan baju dan kasut serta gemar bergaya. Saya mahu menghasilkan jenama pada harga yang sangat berpatutan.
“Saya beruntung kerana mempunyai seorang sahabat lulusan universiti di Indonesia, kami sama-sama memberi idea untuk jenama saya itu,” ujar Rossa yang belum menentukan tarikh yang sesuai untuk melancarkan jenama pakaiannya itu.
CEREWET BAB LIRIK
Ketika ditanya tentang kecerewetan dirinya, Rossa mengaku dia menjadi selektif apabila masuk hal lirik. Ternyata dia mahu memberikan mesej menerusi lagu-lagu yang dinyanyikannya.
“Kalau masuk hal lirik, saya tahu apa yang disukai oleh para peminat Rossa. Saya mahu menyampaikan sesuatu yang mudah dicerna dan diterima pendengar.
“Saya gemar menyanyikan lirik yang terjadi kepada masyarakat. Apabila mereka mendengar, seperti terkena dengan kehidupan mereka.
“Boleh dikatakan saya menebak cita rasa pendengar,” ujar Rossa.
ALBUM DAN MALAM ROSSA
Pada akhir Mac lalu, penyanyi ini berkunjung ke Kuala Lumpur. Dia mempersembahkan album baru dengan tajuk Jalinan Nada dan Ceria.
Album yang memuatkan 14 buah lagu itu merupakan kompilasi lagu-lagu popularnya dan ada yang dijadikan runut bunyi dalam filem dan drama.
Turut menampilkan tiga halwa telinga baharu iaitu Memeluk Bulan, Jagad Khayalku dan Ku Menunggu, ini merupakan hadiah buat para peminatnya.
Pada bulan ini, Rossa muncul lagi. Kali ini atas urusan amal, Rossa akan hadir pada acara gala makan malam An Evening with Rossa. Ia akan berlangsung pada 9 dan 10 Jun ini.
Malam 9 Jun terbuka buat khalayak manakala 10 Jun merupakan persembahan khusus untuk undangan istimewa daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).
Acara makan malam di Grand Ballroom, Tropicana Golf and Country Resort itu diciptakan dengan tema perpaduan, cinta dan keamanan melalui muzik.
Sudah tentu Rossa akan memperdengarkan lagu hit Ku Menunggu buat khalayak yang bakal dihidangkan dengan lapan jenis makanan istimewa. Buat pecinta Rossa, mereka boleh mengunjungi laman web www.splendid8.com untuk keterangan lanjut.
No comments:
Post a Comment