Saturday, June 11, 2011

Liyana jadi perokok


BERTEMU dengan pelakon kecil molek, Liyana Jasmay, kami dikejutkan dengan pengakuan beraninya menghisap rokok.

Ternyata pelakon berusia 23 tahun itu mempunyai niat untuk merokok tetapi malangnya gagal kerana apabila menghisap rokok dia terbatuk-batuk dan susah untuk bercakap.

“Saya memang cuba untuk menelan asap rokok yang dihisap tetapi gagal. Bila saya hisap sahaja saya akan terbatuk-batuk dan sukar untuk melontarkan dialog,” kata Liyana jujur kepada media.

Pastinya bagi peminat-peminat pelakon utama filem Khurafat itu terkejut dengan pengakuan berani Liyana itu. Namun, Liyana hanya merokok bagi menjayakan wataknya di dalam filem pendek berjudul Cinta Akhir arahan Aron Koh.

Filem berdurasi 10 minit itu turut menampilkan lakonan Pierre Andre dan juga penyanyi One In A Million (OIM), Iz Suliani.

Namun, belum lagi ia ditayangkan untuk tatapan orang ramai, filem pendek itu sudah mendapat kritikan hebat.

Ia dikatakan tidak memberikan kesan langsung kepada perokok-perokok malah jalan ceritanya juga tergantung.

Saat diajukan perkara tersebut kepada pengarahnya, Aron, dia mengaku sengaja membiarkan penamat filem itu tergantung. Dia mahu membuatkan penonton berfikir dan membuat andaian sendiri mengenai kesudahan yang terjadi kepada Lisa lakonan Liyana.

“Sasaran kami menghasilkan filem Cinta Akhir adalah untuk golongan belia. Kempen ini sekadar untuk menyedarkan belia kepada bahayanya rokok bukan bertujuan untuk mendidik,” katanya ketika ditemui selepas majlis pratonton di Golden Screen Cinema (GSC), Pusat Beli-Belah Mid Valley, Kuala Lumpur.

Aron yang juga pernah mengarahkan filem cereka Seed of Darkness dan beberapa klip video termasuk untuk kumpulan Pop Shuvit bertajuk Marabahaya memberitahu, filem pendek yang mendapat sokongan daripada Dana Belia 1Malaysia dan juga Kementerian Belia dan Sukan itu juga dibuat khas sempena Kempen Anti Merokok (ASAP).

Bercerita mengenai Cinta Akhir, ia mengisahkan tentang seorang gadis bernama Lisa yang merupakan seorang penjual rokok di kelab malam. Lisa juga merupakan seorang perokok tegar. Dia bertemu dengan seorang lelaki pelajar yang merendah diri bernama Bob lakonan Pierre Andre.

Sementara itu, bagi Iz pemilihannya berlakon sebagai penyanyi kelab di mana tempat Lisa menjual rokok merupakan peluang buat dirinya melangkah lebih jauh di dalam bidang lakonan.

Iz yang juga merupakan Duta ASAP itu juga turut menyumbangkan lagu Cinta Akhir untuk filem pendek itu.

“Ini merupakan percubaan pertama Iz menceburkan diri dalam bidang lakonan,” katanya yang bakal mengeluarkan album pertamanya awal tahun depan.

Filem pendek yang menelan belanja sehingga RM130 ribu itu boleh dilayari menerusi laman web www.asap.my.

No comments:

Post a Comment