PETALING JAYA: Penyanyi dari Indonesia, Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani, 33, berjaya memukau hampir 700 penonton pada konsert mini An Unforgettable Moment With Rossa di Tropicana Golf and Country Resort, di sini, Khamis.
Pada konsert tersebut, Rossa diiringi sekumpulan pemuzik yang dibawakan khas dari Jakarta dan beraksi selama satu jam setengah dengan membawakan sebanyak 20 buah lagu popularnya.
Bermula pada pukul 9 malam, Rossa memulakan nyanyian persembahannya dengan menyampaikan lagu Seribu Malam diikuti dengan lagu Atas Nama Cinta dan Terlalu Cinta.
Sepanjang nyanyian, hampir kesemua lagu yang dibawakannya adalah daripada album kompilasi baru Harmoni Jalinan Nada dan Cerita.
"Kebanyakan lagu-lagu saya berkisarkan tentang cinta dan saya pasti lagu seperti ini pastinya cepat melekat di hati pendengar muzik.
"Justeru itu, kerana cinta saya pada anda juga, kesemua lagu-lagu yang saya bawakan ini adalah khas buat kalian semua," kata Rossa kepada para penonton pada persembahan tersebut.
Suara Rossa yang gemeresik ketika mendendangkan lagu-lagu cinta tersebut ditambah pula dengan kelincahannya di atas pentas membuatkan sesiapa sahaja pasti terpegun dengan tenaga vokalnya yang mantap.
Ternyata persembahan hebat penyanyi jelita itu mendapat tepukan gemuruh yang tidak henti daripada para penonton.
Pada malam itu, dengan mengenakan sebanyak tiga persalinan, Rossa turut menyampaikan lagu Aku Bukan Untukmu, Hati Yang Kau Sakiti, Terlanjur Cinta, Malam Pertama, Bila Salah, No Body, Pudar, Sakura, hey Ladies, Ayat-Ayat Cinta, dan Tegar.
Kemudian, Rossa turut mendendangkan tiga buah lagu tempatan iaitu Kantoi, Kisah Rumah Tangga dan Engkau Laksana Bulan dengan mengenakan baju kurung moden yang direka khas oleh Amir Luqman.
Kelihatan juga beberapa penonton tidak melepaskan peluang menyanyi dan menari di tempat duduk masing-masing ketika Rossa mendekati mereka.
Konsert mini itu dianjurkan oleh Splendid Entertainment Sdn Bhd.
No comments:
Post a Comment