KETIKA membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam dunia seni suara bermula pada tahun 1995 penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 32, (gambar) tidak pernah membayangkan dirinya akan meniti populariti sebagaimana yang dikecapnya hari ini.
Tapi hakikatnya Siti berjaya membuktikan anak gadis kampung seperti beliau boleh menjadi bintang yang amat berharga sekiranya bakat yang dianugerahkan itu digunakan pada jalan yang betul.
Kesungguhan itu dapat dilihat bagaimana sukarnya Siti tatkala mula melangkah ke dunia seni dengan melalui pelbagai ranjau dan duri ketika namanya terukir indah sewaktu usianya masih muda.
Ujar Siti, peristiwa lalu sebenarnya menjadi kekuatan dalam dirinya. Dan dia amat bersyukur kerana ketika bergelar “Siti Nurhaliza” pada ketika ini, dia sudah melalui pelbagai pahit dan maung terlebih dahulu.
Tanpa susah payah itu, tentu sekali Siti akan menjadi wanita yang lemah, tiada ketabahan dan hilang kekuatan.
“Dek kerana susah payah Siti selama ini dengan melalui macam-macam ujian hidup, syukurlah Siti boleh menjadi seorang yang kuat. Siti bersyukur dengan pengalaman-pengalaman itu,” katanya.
Sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh wanita ini terhadap kemuncak kejayaannya apabila beliau mampu menghasilkan produk kecantikannya sendiri iaitu SimpySiti dan sebuah album Inggeris, All Your Love.
Ujar Siti, album yang memuatkan 10 buah lagu ini adalah hadiah yang paling bermakna dalam dirinya bagi merealisasikan impian selama ini untuk memiliki sebuah album Inggeris.
Beliau juga memahami, penghasilan album itu juga bukanlah mudah kerana pasti ada yang akan memberi pelbagai penilaian dan tafsiran terutama sekali terhadap kemampuannya berbahasa Inggeris.
Tanpa mahu berselindung, kata Siti dia mengaku menerima pelbagai kritikan dan pujian tetapi semua perkara itu dipertimbangkannya secara serius.
“Siti tahu ramai yang memberi macam-macam pendapat terhadap penghasilan album ini tetapi Siti menerimanya dengan baik. Apa yang penting ia dapat memenuhi impian Siti untuk memiliki album berbahasa Inggeris. Yang lebih mustahak lagi Siti dapat memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris Siti,” ujarnya.
Tegas dengan anak tiri
All Your Love dihasilkan di bawah syarikat What’s Up Entertainment iaitu syarikat milik anak tirinya iaitu Adib Khalid.
Ditanya apakah perbezaannya sebagai seorang ibu apabila bekerja dengan syarikat ahli keluarga sendiri yang mana individu itu adalah bos, Siti menjelaskan beliau tidak menghadapi masalah mengenainya.
Tetapi walaupun Adib pemilik syarikat berkenaan, ia tidak bermakna Siti tidak boleh bertegas dalam memberikan pandangan dan juga pendapat.
“Terus terang Siti katakan, semasa merakamkan album ini Siti sangat serius. Iya lah... bekerja dengan orang muda-muda, mereka lebih suka relaks tetapi Siti selalu juga tegur supaya tidak membuang masa untuk merakamkan lagu ataupun buat kerja ambil mudah,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Siti, walaupun beliau seorang yang tegas, beliau masih boleh berbincang dengan Adib serta tenaga kerja yang terlibat.
No comments:
Post a Comment