SAAT nama aktres jelita Rozita Che Wan diumumkan sebagai pengacara majlis anugerah berprestij, Anugerah Skrin bersama dengan Ally Iskandar yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 November depan, pelbagai persoalan timbul di minda.
Ramai tertanya-tanya, mampukah wanita berusia 38 tahun itu menggalas tanggungjawab sebagai pengacara sebuah majlis besar sedangkan sebelum ini dia langsung tidak pernah mencuba bakat dalam bidang pengacaraan.
Bahkan apakah yang menyebabkannya terpilih daripada puluhan pengacara wanita popular yang ada di Malaysia?
Menjawab kepada segala persoalan itu, Rozita yang ditemui pada majlis sidang akhbar Anugerah Skrin dengan tema Golden Glamor di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur, baru-baru ini menjelaskan dia pada mulanya berat hati untuk menerima tawaran yang diberikan pihak TV3 kepadanya.
Alasan yang diberikan adalah dia bimbang tidak mampu memikul tanggungjawab berat serta bimbang dikritik oleh orang ramai andai dia gagal meneraju majlis anugerah itu dengan baik.
“Ini memang kali pertama saya akan menjadi pengacara. Ketika tawaran itu datang saya tidak terus terima sebaliknya saya mengambil masa selama dua minggu untuk membuat keputusan.
“Keputusan dicapai selepas saya diyakinkan oleh Ally yang dia akan membantu saya di atas pentas kerana dia lebih banyak pengalaman sebagai pengacara, lagipun akan ada sesi latihan sebelum majlis sebenar,” tutur Rozita.
Akuinya, dia cukup bimbang akan dihentam oleh orang ramai, jika prestasinya nanti tidak seperti yang diharapkan.
“Perkara pertama yang berlegar di minda, boleh ke saya lakukan, kalau kena hentam nanti macam mana? Tetapi selepas fikir banyak kali dan ditambah dengan keyakinan yang diberi oleh Ally saya sahut cabaran mereka.
“Bagi saya kalau pihak TV3 beri kepercayaan kepada saya, kenapa saya tidak percaya pada diri sendiri yang saya boleh lakukannya.
“Dulu masa mula-mula nak jadi pelakon, saya juga menghadapi situasi yang sama kerana tidak pernah berlakon sebelum ini. Selepas kali pertama berlakon, keyakinan dan keseronokan itu datang, saya harap bidang pengacaraan juga akan berlaku hal yang sama,” kata ibu kepada dua orang anak ini lagi.
Soal kritikan merupakan satu perkara biasa pada dirinya sebagai seorang artis, justeru jika dia menerima kritikan negatif selepas majlis Anugerah Skrin kelak, dia reda dan menerima dengan hati yang terbuka.
“Saya tidak kisah kerana pengacaraan satu perkara baharu untuk saya dan saya masih dalam proses pembelajaran. Sepanjang saya jadi artis apa yang saya lihat, kita buat baik orang kutuk, kita buat jahat lagilah orang kutuk.
“Jadi, kesimpulannya, bukan semua orang suka dengan apa yang kita lakukan. Saya pasti kritikan itu akan timbul, tetapi saya ambil perkara positif mengenainya untuk memajukan diri saya dalam bidang seni,” ucapnya.
Rozita bersediia
Sepanjang bulan Oktober lalu, Rozita bercuti selama sebulan untuk memberi fokus kepada anaknya yang mengambil Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Tawaran menjadi pengacara Anugerah Skrin merupakan projek pertamanya selepas berehat lama dan kini dia telah menjalani sesi bacaan skrip bersama Ally.
“Saya sudah mendapat skrip dan mula berlatih sendirian. Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar kerana saya akan merujuk pada Ally. Dia merupakan pengacara idola saya,” luah Rozita.
Sebagai pengacara terutamanya program yang bersiaran secara langsung bukan satu hal yang mudah kerana terlalu banyak perkara yang harus dijaga, selain itu harus bijak meluahkan tutur kata mengikut keadaan meskipun telah berlatih menggunakan skrip.
Kata Rozita: “Saya sedar akan hal itu, sebab itu skrip yang diberi hanya digunakan sebagai panduan sahaja, selebihnya saya akan mencorakkan majlis itu mengikut cara saya sendiri bersama Ally,” katanya.
Tambahnya lagi, pada majlis itu dia akan tetap menjadi dirinya sendiri dan tidak akan mengubah karakter semata-mata menjadi pengacara sebuah majlis besar.
“Saya tetap dengan cara saya yang orang kenal. Ally juga berpesan jangan cuba nak buat kelakar melebih-lebih, bimbang orang tidak ketawa, saya pula yang malu,” bicaranya yang anggun dengan gaun pendek berwarna merah jambu.
Kali pertama
Baik Rozita, mahupun Ally, kedua-duanya tidak pernah menjadi pengacara Anugerah Skrin. Jika Rozita langsung tidak pernah jadi pengacara, Ally yang cukup sinonim dengan TV3 pernah menjadi pengacara untuk Anugerah Juara Lagu.
Rozita mungkin tertekan, bagaimanapun Ally memberitahu, dia cukup senang apabila mendapat tahu Rozita Che Wan menjadi rakan gandingannya di atas pentas Anugerah Skrin.
“Memang saya lebih pengalaman daripada dia dalam pengacaraan tetapi apabila di atas pentas, kami harus samakan tahap kami supaya perjalanan majlis nampak cantik.
“Tidak akan timbul isu siapa akan kelihatan lebih hebat pada malam itu kerana semuanya atas dasar kerjasama. Memang untuk mengendalikan sebuah majlis besar, banyak cabarannya, tetapi saya yakin dengan latihan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan Anugerah Skrin, kami dapat lakukan yang terbaik,” balas Ally.
No comments:
Post a Comment