KETEGANGAN hubungan Julia Ziegler, Gambit Saifullah, Didie Alias dan Sharifah Sakinah seperti sudah tidak tahu di mana pangkal dan di mana hujungnya. Setiap hari, ada sahaja ulasan terbaharu yang keluar daripada mulut artis-artis terbabit.
Puncanya hanyalah kisah lama yang diceritakan dari mulut ke mulut. Barangkali ditokok tambah, hasilnya, cerita tidak sedap didengar mengenai kelakuan kurang senonoh Julia Ziegler bersama seorang kru drama satu ketika dahulu, sehingga kini menjadi perang mulut yang berpanjangan.
Cemburu dan fitnah menjadi dua unsur yang dikatakan mengeruhkan lagi sengketa. Julia dikatakan mencemburui Sakinah yang bersahabat baik dengan Gambit. Gambit bagaimanapun menafikan bahawa di antara dia dan Julia ada hubungan cinta.
Mengeruhkan lagi keadaan, Julia bertemu muka dengan kakak Sakinah sendiri, Sharifah Shahira, minta agar si kakak menasihatkan si adik agar jangan sembarangan menyebarkan fitnah. Dari situ, secara langsung Shahira pula terpalit isu yang sama.
Kisah perbalahan antara Julia, Gambit dan Sakinah ini menjadi cerita berbelit yang sensasi sepanjang minggu. Terbaru, Gambit menyelar Sakinah sebagai perempuan bermulut kecoh dan mahu mengejar populariti.
Untuk Sakinah, pucuk muda yang baru hendak meletakkan nama sebagai pelakon itu semakin tercalar reputasinya. Belumpun ada drama yang memperkenalkan kredibiliti lakonannya, kisah sensasi pula yang mengatasi bakat.
SENSASI BINTANG: Sepanjang minggu ini, bermacam cerita kurang manis tentang anda yang diperkatakan, cuba jelaskan?
SHARIFAH SAKINAH: Kalau ikutkan, saya pun tak suka dengan semua cerita yang timbul, saya tahu, sekali cerita buruk keluar, media akan ungkit semua cerita lama saya, cerita yang berlaku sebelum saya jadi artis pun akan diungkit. Saya hanya boleh katakan, saya mahu tutup semua itu di sini. Saya mohon maaf kepada semua pihak yang terlibat, kepada Julia Ziegler, Gambit, kakak saya (Shahira) dan kak Didie Alias juga. Kalau Julia nak marahkan saya, marahlah sebab dia berhak rasa marah dan malu, tapi tolong jangan kaitkan kakak saya dan Didie Alias. Ini masalah antara saya, Julia dan Gambit.
Gambit ada keluarkan kenyataan menyelar anda sebagai kecoh dan mahu kejar populariti, komen?
Saya yang kecoh? Kasihannya saya. Tapi saya bukannya jenis kecoh yang suka jaja cerita, saya cuma seorang yang suka bercakap dan peramah. Biasalah kalau sudah bercakap dan orang tanya macam-macam, saya akan cakap. Tapi, apa yang cakapkan itu pun bukan daripada mulut saya sendiri, itu daripada cerita yang saya dengar, betul atau tidak, saya tak dapat pastikan. Macam dalam kes ini, Gambit yang mahu sangat dengar cerita lama Julia, dia desak, jadi saya pun ceritalah. Tapi bila sudah jadi begini, saya tak boleh nak marahkan sesiapa. Salah saya sendiri, padanlah dengan muka saya, dan kalau saya di pihak Julia pun, saya akan rasa perkara yang sama.
Sekarang, bagaimana hubungan dengan Gambit?
Kami kawan sahaja, tiada hubungan cinta atau istimewa pun. Kami kenal semasa sama-sama terlibat dalam satu telemovie lebih kurang empat bulan lalu. Buat apa saya mahu bercinta, saya muda lagi, duit pun tak ada.
Mungkinkah ini satu iktibar, peringatan awal untuk berdepan lebih banyak cabaran masa depan?
Moralnya, saya kena beringatlah, jangan sewenang-wenangnya beri kepercayaan bila berkawan. Selama ini, punyalah saya rileks-rileks tak ada kontroversi, nak pergi sesi fotografi pun saya segan, sekarang begini pula kisahnya. Mungkin ini penjelasan terakhir yang boleh saya berikan. Saya tak mahu perkara ini dipanjangkan lagi. Cukuplah, saya minta maaf.
No comments:
Post a Comment