SEMENJAK diperkenalkan kira-kira empat tahun yang lalu, program Raja Lawak Astro ternyata telah melahirkan begitu ramai pelawak-pelawak yang mewarnai dunia seni tanah air.
Nama-nama seperti Yusry Edoo, Ahmad Nabil Ahmad, Kumpulan Sepah, Kumpulan Kecik dan Abd. Rahman Kassim atau Man adalah antara peserta yang pernah muncul juara sepanjang lima musim rancangan berkenaan disiarkan di saluran Astro Prima.
Bagi meneruskan kesinambungan kejayaan rancangan yang mencungkil bakat-bakat pelawak pelapis tempatan, maka pihak Astro telah mengumumkan untuk menghasilkan program Raja Lawak untuk musim yang ke-6.
Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, untuk musim yang terkini ini terdapat beberapa perubahan yang dilakukan oleh pihak Astro.
“Jika sebelum ini rancangan Raja Lawak disiarkan di saluran Astro Prima, tetapi bermula pada musim yang ke-6 rancangan ini akan disiarkan pula di saluran Astro Warna.
“Tujuan peralihan saluran tayangan dibuat adalah berdasarkan kepada saluran Astro Warna sebagai sebuah saluran komedi dan objektif kami untuk membekalkan kandungan komedi yang berkualiti kepada pelanggan,” ujarnya pada satu sidang akhbar baru-baru ini.
Menurut Khairul, selain pertukaran saluran tayangan, pihak Astro turut membuat beberapa perubahan dari segi konsep dan format rancangan tersebut yang dilihat berbeza dengan musim-musim yang lalu.
Ujarnya, bagi musim yang terbaharu ini antara pendekatan yang dilakukan adalah dengan memperkenalkan Cif Kecik dan Cif Besar bagi membimbing para peserta yang akan bersaing nanti.
“Kesemua peserta yang terpilih nanti akan dibahagikan kepada tiga buah kumpulan. Selepas itu setiap kumpulan akan memiliki seorang Cif Kecik yang terdiri daripada pelawak tanah air.
“Tanggungjawab Cif Kecik ini pula adalah sebagai penasihat untuk peserta di bawah bimbingan mereka sebelum mereka membuat persembahan mingguan. Pada masa yang sama, ketiga-tiga Cif Kecik dan para peserta akan dipantau pula oleh seorang Cif Besar,” jelasnya.
Menurutnya lagi, antara matlamat utama kepada pengenalan Cif Kecik dan Cif Besar ini supaya rancangan berkenaan dapat melahirkan pelawak yang memiliki bakat, lontaran idea serta pemikiran terbuka agar lawak yang dipersembahkan nanti memberi impak kepada penonton.
“Menerusi pembaharuan yang dilakukan kami percaya melalui panduan serta bimbingan yang diberikan, potensi diri setiap peserta akan dapat dibentuk supaya persembahan yang ditampilkan nanti akan lebih berkualiti,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment