Monday, October 17, 2011

Olivia Jensen Matang Sebelum Usia



GADIS yang bernama Olivia Lubis Jensen (gambar) atau nama komersialnya, Olivia Jensen ini tampil hebat apabila dia menuturkan bicara. Baru berusia 18 tahun, kepetahannya bagaikan dia sudah bergelar orang dewasa.

Ketika beraksi di depan kamera, ada sahaja aksi-aksi manjanya yang diberi bagi menjayakan sesi fotografi bersama OopStarz! Senang cerita, bekerjasama dengan pelakon filem Gerimis Mengundang ini tidak mendatangkan masalah.

Kata anak kacukan Denmark-Indonesia ini, selain gemar berceloteh, kematangan yang terdapat dalam dirinya mungkin disebabkan didikan keluarga yang mahu melihat dia berdikari dalam hidup.

“Ibu dan bapa telah banyak memberi kepercayaan kepada saya. Ini membuatkan saya boleh belajar membuat sesuatu keputusan dan berfikir mana yang baik dan buruk.

“Malah hal ini juga membuatkan saya lebih terbuka apabila berbicara selain lebih berdikari,” katanya penuh yakin.

Tambah Olivia, pengalaman ini juga membuatkan dia lebih akrab dengan keluarga dan ia sekali gus dapat mengelakkannya daripada terjerumus dengan gejala-gejala sosial yang semakin menular di kalangan remaja sekarang.

Berbicara mengenai isu masalah sosial pula, Olivia agak risau apabila melihat sesetengah remaja yang semakin melupakan keluarga kerana ingin hidup bebas selain tersalah pilih kawan.

“Biasanya, remaja yang mempunyai masalah sosial adalah disebabkan pengaruh kawan-kawan. Kepada semua remaja jangan rasa takut atau malu untuk belajar daripada kesilapan,” ujarnya.

Walaupun mempunyai kerjaya yang boleh dikira kukuh dalam bidang lakonan, Olivia seorang yang sangat mementingkan akademik.


Malah dia berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi dalam bidang perniagaan.

Ibarat roda

Bergelar pelakon bukan bererti kehidupannya akan dililit dengan dunia glamor selama-lamanya.

Mempunyai misi tersendiri untuk menyambung pengajian dalam bidang perniagaan fesyen di Jakarta seandainya dia tidak lagi berada dalam industri seni.

“Rasanya semua tahu, agak sukar untuk karier kita bertapak di bidang seni sehingga tua. Bagi saya, perniagaan dalam bidang seni ibarat roda. Bila-bila masa sahaja nama kita akan berada di kemuncak dan jangan terkejut jika karier akan jatuh secara drastik. Sebab itu kena ada ‘plan B’.

“Bagaimanapun saya jenis yang tidak suka melakukan satu perkara sahaja sebaliknya ingin menerokai pelbagai bidang. Lebih seronok jika kita mencuba sesuatu yang baru kerana ia akan memberi cabaran yang akhirnya akan menghasilkan kepuasan maksimum pada diri sendiri.

“Mungkin saya akan membuka perniagaan fesyen pada masa akan datang nanti,” ujarnya.

Agak bersemangat pelakon ini apabila berbicara mengenai impiannya. Kata Olivia, dia juga ingin menjadi sukarelawan bagi mana-mana persatuan kebajikan.

No comments:

Post a Comment