SERING muncul di kaca televisyen terutamanya untuk naskhah seram, Emelda Rosmila kini mahu berubah angin dan mencabar dirinya sendiri.
Bukan bereksperimen di pentas perdana apabila terlibat dalam teater Badai Semalam yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 11 hingga 20 November kelak, sebaliknya Emelda terlebih dahulu merasa ruang teater muzikal P. Ramlee dengan membawakan watak Azizah.
“Dalam teater Badai Semalam yang diadaptasi melalui novel Khadijah Hashim ini, saya membawakan watak Mahani yang kepoh dan suka menyibuk hal dalam kain orang. Dia juga sakit hati dengan Mazni lakonan Erra Fazira kerana mahu mengahwinkan anaknya dengan Karim (Aaron Aziz). Namun dia seorang yang bergaya dan memang berangan menjadi orang kaya,” ujar Emelda yang ditemui di sidang media teater Badai Semalam.
Bakal sibuk dengan latihan dan pementasan teater yang ditunggu ramai ini, isteri kepada aktor Adlin Aman Ramlee ini juga terlibat dengan penggambaran drama bersiri 14 episod bertajuk Tihany yang akan disiarkan di saluran TV9.
“Saya juga baru selesai dengan penggambaran filem Azazil arahan Khabir Bhatia dan membawakan watak Melor,” ujarnya yang kini sangat fokus mengendalikan butik dan spa miliknya.
CABARAN TEATER
Saya melihat teater sebagai salah satu cabang seni dan sekarang ialah masa yang terbaik untuk saya menceburinya. Bila berhadapan dengan penonton secara langsung, tidak ada ruang untuk buat kesilapan dan di situlah profesional lakonan diuji. Kalau silap, memang nampak dan ini sebenarnya memberi saya sedikit ketakutan. Gemuruh saya berlipat kali ganda ditambah pula untuk Badai Semalam, saya berlakon dengan barisan aktor dan aktres yang berpengalaman. Namun saya gembiraSUAMI JADI MENTOR
Pengalaman dalam teater terdahulu memberi saya pengalaman dan banyak yang saya pelajari. Teater muzikal P. Ramlee dahulu hadir dengan set dan bajet yang besar serta bertaraf antarabangsa. Itu sebuah pembelajaran yang berguna. Selain itu, saya sangat bertuah kerana suami saya merupakan seorang pelakon dan pengarah yang sangat berpengalaman. Itu kelebihan yang saya dapat. Adlin menyuruh saya keluar daripada zon selesa dan keluarkan bakat yang ada.
ADA MALU-MALU
Sejujurnya saya ada sikap pemalu dan sentiasa berasa kecil dibandingkan pelakon lain. Ini merupakan satu masalah yang perlu saya atasi. Saya perlu berfikir dengan skala besar dan melupuskan rasa malu saya. Mungkin kelak ketika sudah di sesi latihan teater nanti, saya akan dapat meningkatkan tahap keyakinan saya.
OBSES BAJU DAN SUBANG
Saya memang obses dengan baju dan subang. Pantang nampak mesti beli. Kerana obses terhadap baju maka saya sudah membuka sebuah butik dengan nama Suka Suka di Axis Atrium. Juga kerana sukakan rawatan dan memanjakan diri saya turut membuka sebuah spa di Plaza Damas. Tetapi spa yang dinamakan Raine itu masih dalam peringkat ubah suai.
POSITIF PRODUK HANTU
Industri lakonan kita ini boleh dikatakan mengikut musim. Ada musim komedi, aksi dan kini musim filem atau drama hantu. Melihat secara positif, kita perlu terima seadanya kerana industri kita kecil. Ini adalah satu satu proses kreatif dan perlu mendapat sokongan. Kalau ia menakutkan kanak-kanak, ibu bapa perlu ada untuk mengawal anak-anak mereka.
No comments:
Post a Comment