TUAH pelakon baru, Anzalna Nasir, 23, (gambar) dalam bidang seni hiburan tanah air semakin menyerlah semenjak menyertai pertandingan Dewi Remaja 2010/2011.
Rupa paras menarik serta sifat semula jadi yang lemah-lembut lebih menyerlahkan pesona kepada dirinya yang sebelum ini pernah ditawarkan menjadi pembaca berita dan pengacara.
Barangkali takdir sudah menetapkan Anzalna untuk bergelar seorang pelakon, lantas peluang dalam bidang penyiaran ditolak dengan cara yang baik.
Pernah muncul dalam beberapa drama seperti Suria Di Cordoba, Ramadan Terakhir dan Gemersik Kalbu, kini baru pertama kali dia diangkat untuk melakonkan watak utama menerusi filem Sepah The Movie.
“Sejak saya muncul dalam drama Ramadan Terakhir, ramai orang mula nampak bakat saya dalam lakonan.
“Saya memang meminati lakonan sejak dulu lagi dan bersyukur apabila diberikan rezeki dalam bidang ini.
“Dulu, saya kurang menerima watak utama sebab saya mahu bermula daripada bawah dengan memegang watak sampingan atau pembantu terlebih dahulu.
“Tetapi sekarang ini saya sudah yakin untuk melakonkan watak utama selepas beberapa kali muncul dalam drama sebelum ini,” katanya yang melakonkan watak Ayu Sofea dalam Sepah The Movie.
Katanya, dia menerima watak itu kerana watak Ayu Sofea lebih dekat dan hampir menyamai karakternya yang sebenar seperti lemah-lembut.
Kulit sensitif
Rancak berborak dengan Anzalna, OopStarz! sempat bertanya tentang cara dia menjaga kecantikan.
Wanita ini mengakui kulitnya agak sensitif dan mudah ditumbuhi jerawat. Jadi, sebab itu dia perlu kerap menjaga kulit wajahnya dengan mendisiplinkan diri dengan rutin hariannya.
“Saya bukanlah seorang yang terlalu cerewet dalam menjaga kecantikan. Tetapi apabila terlalu kerap mengenakan mekap untuk lakonan dan menghadiri majlis tertentu, saya perlu lebih menjaga kulit agar sentiasa bersih.
“Saya juga disarankan untuk mengguna ubat dan tidak menggunakan produk secara sembarangan.
“Saya turut mengamalkan petua tradisional seperti menyapu putih telur di muka. Setiap kali membasuh muka, saya sering berselawat agar dikekalkan keserian wajah,” katanya lagi.
Bercerita tentang penjagaan rambut, Anzalna hanya menyapu vitamin rambut dan mengamalkan mencuci rambut setiap hari.
Beralih kepada pemakanan, Anzalna tidak mengamalkan diet sebaliknya makan secara sederhana dan mengelakkan daripada menikmati makanan laut kerana alahan.
Apabila bercerita tentang makan, terus dia teringat tentang berat badannya yang meningkat kepada 48 kilogram (kg) sewaktu berada di Tasmania, Australia selama lima tahun sejak 2003 hingga 2009.
“Waktu itu, saya sekeluarga mengikut bapa yang melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah (PhD) di sana. Makanan semuanya sedap-sedap belaka dan selera makan saya di sana tidak dapat dikawal kerana faktor cuaca dan pengaruh sekeliling.
“Tetapi sekarang saya berjaya menurunkan berat badan kepada 43 kg,” ujarnya.
Menyentuh tentang fesyen, dia lebih gemar mengikut fesyen terkini. Untuk kelihatan menarik, Anzalna sanggup berbelanja lebih membeli pakaian, kasut dan aksesori.
Bagaimanapun, dia bukanlah seorang yang mementingkan jenama tetapi cukuplah barangan tersebut kelihatan cantik dan menarik.
No comments:
Post a Comment