Monday, October 17, 2011

Atas nama Piyu


INI sebuah kisah cinta. Cinta seorang lelaki terhadap dunia seni yang memang sudah mengalir dalam pembuluh darah dan binaan impiannya daripada cilik lagi. Satriyo Yudi Wahono, mungkin khalayak tidak terbiasa nama itu.

Atas nama sebuah tuah dan senang diingati, lelaki kelahiran Surabaya ini menggunakan nama mesra, Piyu. Satu nama yang membawa dia bertemu dan disenangi khalayak atas karya dan usahanya bergelar pengkarya dan penggerak seni. Dia pemain instrumen berdawai jenama Gibson Les Paul, juga tulang belakang sebuah grup terkenal bernama Padi. Otak sekali gus pencetak banyak lagu-lagu hit Padi. Tetapi kini, dia memilih hidup solo - tanpa Padi.

Pilih karier solo

Padi mengumumkan berehat seketika setelah album kelima, Tak Hanya Diam dilancarkan pada 2007, sebelum muncul dua buah tangan menebus rindu peminat iaitu single Terbakar Cemburu (2010) dan Tempat Terakhir (2011). Waktu rehat yang diumumkan ini menjadi keresahan para Sobatpadi (penggemar Padi), bimbang vakum itu membawa kepada pusara sebuah grup yang dianggap genius dan punya tempat tersendiri.

Belum pupus kebimbangan itu, Piyu pula mengumumkan kini muncul tunggal sebagai pemuzik, penyanyi dan pengkarya. Juga salah seorang produser, pengarah klip video dan penggiat E-Motion Entertainment, sebuah label muzik. Itu antara jalan yang dirintisnya atas nama solo.

Muncul menyanyikan single solo perdananya yang berjudul Sakit Hati, dia yang ditemui di Studio Upbeat, Sudirman, Jakarta baru-baru ini bercerita tentang jalan hidupnya yang terkini.

"Saya mahu pindah daripada jalur yang sedia ada dan merintis karier solo. Tidak mahu hanya dilihat tergantung dengan grup Padi. Ini bukan sebuah perancangan yang direncanakan. Daripada dahulu saya ingin menjadi seperti Santana," ujarnya yang meletakkan status dirinya masih sebagai anggota grup, penghibur dan artis.

"Idealisme saya ingin menjadi inspirasi buat anak-anak muda. Yang masih terus berkarya walau apa pun masalah di luar sana. Mencari oportuniti lain di celah-celah yang boleh saya masuk," senyumnya yang mempunyak koleksi 600 material dalam simpanannya.

"Ini bukan sebuah eskapisme. Tujuan saya adalah mahu dilihat dan didengar sebagai Piyu. Saya adalah Piyu, hanya Piyu. Tidak pakai nama Padi. Saya adalah pekerja keras dan tidak hanya diam meratapi nasib," terangnya yang turut muncul dengan sebuah buku autobiografi yang dinamakan Piyu From The Inside.

Lalu lagu Sakit Hati diperdengarkan umum. Sebuah single perdananya biarpun sebelum ini dia pernah berdendang lagu Harmony menerusi album Padi, Tak Hanya Diam. Lalu apa sebenarnya sakit yang dilalui hati seorang Piyu?

"Awalnya lagu ini sepatutnya dinyanyikan oleh dua orang penyanyi lain, Anji atau Once. Tetapi mereka memberitahu bahawa saya adalah orang yang paling sesuai menyanyikan lagu ini. Mungkin kerana peribadi saya. Kalau diberikan kepada Fadly (vokalis Padi) jadi tidak sesuai. Fadly orangnya jernih dan tidak pernah membuat orang sakit hati.

"Sentuh tentang sakit hati, mungkin sahaja apa-apa. Daripada pasangan atau pekerjaan. Saya memang suka membiarkan khalayak terkecoh dengan tanggapan mereka," ketawanya meledak mengingatkan tebakan sakit hati khalayak terhadap dirinya.

Lagu Sakit Hati ini dimasukkan ke dalam album bertajuk Piyu yang mengandungi 10 buah lagu dan sebuah instrumental. Sembilan buah lagu baharu lain dinyanyikan oleh beberapa penyanyi seperti Tantri (Kotak), Anji (mantan vokalis Drive), Inna Kamarie, Dandy (Mike's), Wafdah serta Erwin. Dalam menunggu waktu untuk dilancarkan, Piyu baru-baru ini sempat mengarah dan membikin klip Sakit Hati.

Bercakap tentang lirik, boleh dikatakan majoriti penulisan lirik lagu dalam Padi dimonopoli Piyu. Malah bait-bait perkataannya dirasakan mengena kepada jiwa yang mendengar. Berisi dan menyentuh, Piyu bercerita proses kreatif kata-kata yang dilakukannya.

"Selalunya bermula dengan melodi dan kemudian masuk ke dalam lirik. Seperti lagu Kasih Tak Sampai saya membayangkan diri saya ditinggalkan kekasih. Mungkin ada terselit pengalaman peribadi tetapi kemudian saya kembangkan. Saya mahu menjadi orang yang menyentuh dengan lagu. Lirik boleh dikatakan sebagai media imaginasi yang saya tumpahkan," ujarnya yang mahu khalayak tidak terlalu serius memikirkan soal lirik yang cuba disampaikan.

'Mendak' Padi

Tidak sah bertemu Piyu kalau tidak bercerita tentang Padi, grup yang membikin rekod penjualan album mencecah 1.6 juta unit melalui album kedua yang berjudul Sesuatu Yang Tertunda (2001). Baru-baru ini Piyu sempat memberi pernyataan untuk tidak dikaitkan dengan Padi.

"Daripada saya berstatus solo hingga sudah ada anak dua, setiap kali bangun pagi saya akan terfikirkan Padi. Padi adalah sebahagian daripada hidup saya. Malah Padi adalah rahim, tempat saya berkembang," ujarnya memula bicara tunduk membumi.

No comments:

Post a Comment