Zizan Raja Lawak |
KUALA LUMPUR: Salah faham dan dakwaan yang menuduh Zizan Razak tidak komited pada kerja menyebabkan pelawak dan pengacara itu mengambil pendekatan mahu menumpukan kepada tawaran tertentu sahaja pada satu-satu masa.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 28, berkata, dia kini hanya memberi perhatian terhadap satu atau dua tawaran dalam tempoh tertentu sejak tuduhan liar kononnya tidak memberikan komitmen pada promosi filem diperkatakan sebelum ini.
Ujar Zizan, dia hanya memberikan tumpuan pada promosi filem Hantu Kapchai yang akan ditayangkan tidak lama lagi dan persiapan untuk pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012bersama Johan.
"Sebelum ini, timbul tuduhan kononnya saya tidak beri kerjasama dan tidak komited pada promosi filem-filem lakonan saya kerana melakukan banyak kerja serentak.
"Keputusan ini (fokus pada kerja tertentu) tiada kaitan pun dengan situasi di mana saya pernah jatuh sakit sebelum ini akibat kuat bekerja. Saya bukan memilih kerja tetapi mahu lebih fokus pada satu atau dua tawaran sahaja," katanya.
Zizan berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran program terbaru berjudul Jejak Jepun bersama Zizan di sebuah hotel di sini, petang Selasa.
Ia merupakan sebuah program enam episod yang berkonsepkan diari kembara (travelog) di pelbagai destinasi menarik di sekitar Jepun.
Menerusi program selama setengah jam ini, Zizan akan berkongsi dengan penonton pengalamannya mengembara ke Osaka, Kobe, Wakayama, Kyoto, Shirahama, Yokohama dan Tokyo.
Katanya, pengalaman pertama mengacarakan travelog memberikan dimensi dan pengalaman baru kepadanya yang selama ini hanya menerajui program hiburan sahaja.
"Program ini membuka minda saya dan memberikan kelainan daripada program-program hiburan yang selalu saya acarakan. Konsep yang santai dan bebas itu memudahkan kerja saya untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman di Jepun dalam travelog ini.
"Bukan sahaja saya dapat pengetahuan baru mengenai negara itu, malah ia mendedahkan saya kepada budaya dan disiplin masyarakat mereka dalam kehidupan seharian serta kerja.
"Kalau diberi peluang, saya mahu mengacarakan program begini lagi," katanya yang berada di Jepun selama dua minggu pada penghujung Jun lalu.
Sementara itu, Pengurus Kumpulan Saluran Hiburan Astro Azlin Reza Azmi berkata, Zizan dipilih sebagai pengacara kerana karakter yang lincah dan bersahaja.
"Kami percaya Zizan mampu mengacarakan program ini dengan sentuhan dan gayanya yang tersendiri pasti memikat hati penonton," katanya.
Program ini bakal ditayangkan bermula 12 September depan pada setiap Rabu pukul 9 malam di Astro Prima (saluran 105).
No comments:
Post a Comment