BANYAK mengawasi diri dan sentiasa bersyukur, wajah Aida Khalida
jelas mempamerkan amalannya itu. Merendah diri dalam berbicara, pembawa
watak ibu Razif (Rosyam Nor) dalam siri drama Trilogi Cinta 2 ini banyak
menyebut perkataan syukur dalam bait ayatnya. Sebagai informasi, drama
Trilogi Cinta 2 akan ditayangkan bermula 6 September ini di saluran TV1
pukul 10 malam.
"Saya sukakan tudung labuh dan berfesyen mengikut syariah. Dahulu,
mula-mula berhijrah agak teruja mencuba pelbagai gaya fesyen tetapi kini
mahu kelihatan santai dan bertutup," ujarnya yang tampak tenang dan
banyak tersenyum cantik.
Tawaran kerja terus menghujani dirinya, sama seperti dahulu. Ujar
Aida yang penting dalam kerjaya adalah sentiasa perlu jujur dan tidak
mendambakan balasan dalam setiap perbuatan.
"Setiap tawaran adalah rezeki Allah dan kita harus jujur dengan
segala perlaksanaan kita," ujarnya yang bari selesai penggambaran drama
Julia, lakonan bersama Nabila Huda untuk slot Akasia.
Diminta memberi komentar tentang penghijrahan dan impak tawaran selepas berhijab, Aida senyum dan menjawab:
"Kita perlu kenal Allah, percayakan dia dan rezeki-Nya. Perlu kenal
diri juga, jadi baru faham erti rezeki dan semuanya. Yang penting juga
perlu faham dengan niat dan makna berhijrah. Semua ini hidayah Allah dan
kena buat betul-betul. Hijrah itu perlu suci."
Tidak menolak bahawa berhadapan dengan ujian serta dugaan hidup
selepas bertukar gaya, Aida menambah bahawa semua yang dilaluinya adalah
kuasa Yang Maha Mencipta. Yakin diberikan ujian kerana disayangi Allah,
ulas Aida lagi itu semua ialah ujian kepada ketebalan iman seseorang.
"Kalau saya tahu indahnya memakai hijab ini, dari dahulu saya
laksanakan. Tetapi ini semua adalah perjalanan hidup saya dan saya
belajar tentang kehidupan. Sekarang saya sangat tenang," tambahnya yang
mengaku tidak pernah merancang untuk bertudung dan niat itu muncul pada
bulan Rejab tahun 2008.
"Saya tidak rindukan Aida yang dahulu. Saya lebih tenang begini. Bagi
saya dengan berhijab, saya cantik di mata Allah," ujarnya.
Ditanya tentang ketenangan yang diperolehinya kini, Aida yang
terkenal dengan kepelbagaian dan kepandaian berfesyen ini mengaku
mendapat titik itu dua tahun lalu.
"Awal-awal saya banyak diuji, melalui banyak perkara namun dua tahun
kebelakangan ini, saya tenang," luahnya yang kini banyak mengikuti kelas
dan ceramah agama untuk pengisian dirinya.
Menyentuh tentang jodoh setelah sekian lama menyendiri, Aida senyum
lagi dan menjawab bahawa dirinya tidak menolak jika ditakdirkan
berkahwin lagi. Namun sambungnya, dia mengaku belum membuka jalan ke
arah itu.
Sebelum usai perbualan yang menyenangkan dengan wanita yang dikagumi
ramai kerana fesyennya ini, Aida diminta memberi pendapat perihal fesyen
dan artis sekarang.
"Perlu ingat kepada yang beragama Islam, boleh berfesyen tetapi
jangan terlalu mendedahkan aurat. Harus menjurus kepada agama. Jaga
akhlak, itu penting," nasihatnya lembut.
No comments:
Post a Comment