Reen Rahim |
PETALING JAYA: Pelakon Reen Rahim enggan menjalinkan hubungan dengan golongan berpengaruh sekiranya berpeluang berbuat demikian hanya kerana status selebriti yang dimilikinya.
Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Rahim, 24, berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mencari kesenangan dengan jalan mudah kerana hasratnya adalah untuk serius dalam bidang seni.
"Tujuan saya masuk ke dunia lakonan bukan untuk mencari kekasih kaya tetapi saya benar-benar meminati bidang lakonan.
"Bagaimanapun setakat ini belum ada lagi mana-mana golongan itu yang cuba mendekati saya," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Reen, dia tidak dapat menolak sekiranya jodohnya telah ditetapkan dengan golongan berstatus tinggi.
Dalam pada itu, Reen memberitahu status juara Pilih Kasih yang disandang bukan bererti dia sudah bagus sebagai pelakon sebaliknya masih banyak perkara yang perlu dipelajari dalam selok-belok dunia lakonan.
"Ia nampak mudah tetapi secara dasarnya bukan senang untuk menjadi pelakon yang baik. Wajah yang cantik tidak memberi apa-apa nilai sekiranya teknik lakonan tidak dilakukan dengan betul," ujarnya.
Reen bagaimanapun memberitahu dia amat bersyukur walaupun baru beberapa bulan bergelar artis, banyak penerbit dan pengarah mula memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang watak penting dalam karya mereka.
"Tiada apa yang menggembirakan saya selain mendapat kepercayaan daripada mereka dan itu adalah sebagai motivasi kepada saya terus mendapat perhatian," katanya.
Dalam masa yang sama Reen sentiasa memegang kata-kata ibunya supaya sentiasa merendah diri dan menghormati orang lain dalam memastikan dia tidak lupa diri apabila bergelar pelakon terkenal kelak.
"Saya takut jika mengalami sindrom lupa diri sekiranya saya mula terkenal nanti namun saya bersyukur ibu sentiasa mengingatkan siapa diri saya yang sebenar," katanya.
Selain drama Runtun Qalbu yang sedang ditayangkan di TV3, Reen bakal muncul dengan beberapa drama seperti Aku Tak Percaya Cinta, KL Drift The Series dan Balon selain filemGangster Celup.
No comments:
Post a Comment