Saturday, September 1, 2012

Tasha Shilla Tidak Malu Jual Biskut Raya


PETALING JAYA: Penglibatan aktres Tasha Shilla (Tasha) dalam perniagaan penjualan biskut sempena Hari Raya yang diberi nama Gemilang Tasha Shilla Cookies pada bulan Ramadan ini tidak menjejaskan nilai eksklusifnya sebagai selebriti popular.
Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 25, berkata, pada hakikatnya dia juga merupakan manusia biasa yang perlu melalui kehidupan seperti individu lain dan tidak salah baginya untuk berniaga.
“Tiada apa yang perlu saya segan atau malu hanya kerana menjual biskut raya. Saya juga sama seperti orang lain, cuma lebih dikenali kerana kerjaya sebagai seorang pelakon.
“Tidak timbul soal hilang nilai eksklusif sebagai artis apabila saya berniaga di depan khalayak umum. Apa yang penting, saya perlu pandai bawa diri dan jaga penampilan ketika berniaga,” katanya ketika ditemui mStar Online di Bazar Terbaik Raya TV3 di perkarangan Sri Pentas, petang Khamis.
Nama bisnes yang diilhamkan Tasha itu diambil bersempena drama bersiri Gemilang yang mempopularkan dirinya pada tahun lalu.
Perniagaan itu mula beroperasi sejak minggu kedua Ramadan di Bazar Ramadan Kampung Baru, dekat sini.
Pelakon yang baru muncul dalam telefilem Ombak Rania (Astro Ria) ini berkata, minat yang mendalam terhadap perniagaan menjadi motivasi untuk dia mencuba pengalaman menjual biskut raya buat julung kalinya.
“Keluarga saya memang menjalankan perniagaan makanan. Malah, pada bulan Ramadan yang lepas-lepas, kami berniaga mi rebus dan laksa tetapi pada kali ini kami mencuba biskut raya.
“Alhamdulillah, setakat ini sudah 400 balang pelbagai jenis biskut berjaya dijual. Saya cuma buat tiga jenis saja iaitu “Almond Chocolate”, Suji Badam dan “Chocolate Chip”, manakala selebihnya dihasilkan ibu dan makcik,” katanya.
Menurut Tasha, perniagaan itu bukan sahaja dapat menjana pendapatan tambahan malah mendekatkan lagi dirinya dengan para peminat.
“Saya anggap pengalaman berniaga ini sebagai peluang terbaik untuk mendapatkan rezeki yang berkat dan menyeronokkan.
“Dengan aktiviti ini saya juga dapat mendekati peminat yang berkunjung ke gerai untuk membeli biskut yang dijual,” katanya yang bakal bercuti selama seminggu pada Hari Raya nanti.

No comments:

Post a Comment