WALAUPUN lambat dikenali, pelakon bernama Nad Zainal tetap bersyukur
tatkala menyelusuri hari demi hari sepanjang bergelar anak seni.
Hasil kesabaran itu lumayan, Nad Zainal kini meniti dari bibir ke
bibir. Sungguhpun dia bukanlah nama besar tetapi namanya kini sudah
diadili berdasarkan bakat dan bukan cerita sensasi.
“Syukur, tahun 2012 adalah tahun yang paling baik untuk saya setakat
ini. Banyak tawaran kerja yang datang dan saya menjadi lebih matang
berbanding tahun-tahun terdahulu,” ujar aktres dengan nama berdaftar
Nadia Zainal Abidin itu.
Ujarnya titik mula namanya dikenali terjadi selepas dia berlakon
drama Memberku, Hawa dan diikuti dengan Bukan Bidadari yang kini
bersiaran di saluran pada setiap hari Selasa pukul 9 malam.
“Jujurnya ada tawaran yang mula ditolak kerana kesuntukan masa.
Tetapi saya anggap itu semua ke arah positif dan saya gembira dengan
perkembangan serius kerjaya saya,” luahnya yang sebelum ini mengaku
hanya diberi karakter komedi atau cilik sahaja.
Keserasiannya mula kelihatan apabila gadis berumur 22 tahun itu
digandingkan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad. Melalui beberapa cabaran
untuk melakonkan wataknya sebagai Inas dalam Bukan Bidadari, Nad
mengaku Sharnaaz banyak membantunya.
“Sangat senang bekerja dengan Sharnaaz. Kalau seseorang itu sudah
memang bagus, jadi dia akan sentiasa menyenangkan kerja dan itulah
Sharnaaz. Saya seronok bekerja dengannya dan pengarah juga berasakan
kami ikhlas dan rajin dalam memberi idea,” ujar Nad tentang watak dalam
drama bersiri yang merangkumi 13 episod itu mendapat sentuhan dari
pengarah Faizal Ishak serta turut dibintangi oleh Azlee Khairi, Sara
Ali, Fiza Halim, Azhar Sulaiman dan ramai lagi.
Drama Bukan Bidadari menurut Nad memberi impak yang semakin ketara
terhadapnya. Tertawa sebelum meneruskan kata, dia mengaku sudah nampak
akan perubahan tersebut.
“Kalau keluar rumah, sudah ada mak cik - mak cik yang senyum
tiba-tiba. Maksudnya sudah ada yang kenal. Ini juga perkembangan positif
buat saya. Mula-mula gemuruh juga dibuatnya tetapi kini sudah biasa,”
ketawanya kecil dalam nada sedikit segan.
Untuk tahun hadapan, Nad mengaku sudah menyusun perancangan. Mahu
kekal dalam suasana sebegini namun dalam masa yang sama dia berniat
untuk memperbaiki kekurangan yang ada dalam skil lakonannya.
“Buat tahun ini, saya baru selesai penggambaran filem Kami Histeria
bersama Diana Danielle, Mila, Sara Ali dan Afdlin Shauki. Kemudian saya
terlibat dengan drama Samarinda dan membawakan watak bawang yang baik,”
ketawanya mengakhiri perbualan dan keliru antara bawang putih atau merah
yang bersifat protagonis.
No comments:
Post a Comment