Thursday, September 27, 2012

Nabila Huda Tak Serik Kahwin Kerana Mahu Tambah Anak

Nabila Huda Suhaimi

PETALING JAYA: Pelakon Nabila Huda Suhaimi (Nabila) tidak pernah serik untuk berkahwin lain kerana keinginannya untuk menambah bilangan anak.
Bagaimanapun, Nabila, 28, berkata, impian itu terpaksa dipendamkan buat masa ini kerana dia masih belum menemui teman lelaki yang sesuai untuk bergelar calon suami.
"Saya sangat mahukan anak. Semakin Keisha (anak perempuan pertamanya) membesar, semakin berkobar-kobar keinginan untuk saya menambah anak.
"Masalahnya, saya belum berjumpa dengan calon yang menepati kehendak saya. Saya mahukan lelaki yang matang dan berfikiran terbuka, dapat menerima dan menjaga saya seadanya," katanya kepada mStar Online.
Nabila berkata demikian selepas majlis pelancaran drama bersiri terbaru lakonannya berjudul Julia di Sri Pentas di sini, petang Rabu.
Nabila yang berstatus ibu tunggal bercerai dengan Zaidi Zailani, 30, pada Ogos tahun lalu ekoran tiada persefahaman selepas tiga tahun berkahwin.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan bernama Keisha Laila yang kini berusia dua tahun setengah.
Mengenai teman lelaki, Nabila berkata, keintimannya dengan pelakon Johan As'ari sering disalah ertikan sebagai pasangan kekasih walaupun dia dan pemuda berusia 26 tahun tersebut hanya kawan rapat.
"Saya tidak bercinta dengan Johan. Kami hanya kawan baik kerana saya memang selesa untuk rapat dengan lelaki kerana karakter saya yang lasak dan ringkas ini.
"Saya banyak membimbing dan beri nasihat kepadanya mengenai kehidupan, imej dan kerjaya. Namun, kami tidak sampai ke tahap bercinta seperti yang disangka.
"Masih banyak yang perlu dia pelajari dalam hidup dan dia sendiri belum bersedia untuk berkahwin. Saya mencari lelaki yang matang dan berkemampuan untuk menanggung saya dan anak," katanya.
Beralih kepada kerjaya, Nabila berkata, komitmen dalam drama bersiri Julia arahan Jamal Khan itu menuntut permainan emosi yang mendalam dan berlainan daripada watak-watak yang pernah dijayakan sebelum ini.
"Dalam drama ini, watak Julia memerlukan saya bermain dengan emosi yang mendalam tetapi bukanlah ia membabitkan babak menangis yang keterlaluan.
"Penghayatan itu melibatkan perasaan dan kesedihan Julia yang dipendamkan dalam hati kerana dugaan hidup yang silih-berganti.
"Kami masih lagi menjalani penggambaran sehingga 16 Oktober depan bagi menyiapkan 28 episod.
"Walaupun penat tapi pengalaman pada kali ini memberikan kepuasan tersendiri," katanya.
Drama nukilan Sofia J Rhyland itu turut dibintangi antaranya Fizo Omar, Izreen Azminda, Azlee Khairi, Fouziah Gous dan Iqram Dinzly.
Ia mula ditayangkan sejak 24 September lalu menerusi slot Akasia pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam di TV3.

No comments:

Post a Comment