Thursday, September 27, 2012

Reen Rahim Enggan Dekati Lelaki Kaya

Reen Rahim

PETALING JAYA: Pelakon Reen Rahim enggan menjalinkan hubungan dengan golongan berpengaruh sekiranya berpeluang berbuat demikian hanya kerana status selebriti yang dimilikinya.
Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Rahim, 24, berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mencari kesenangan dengan jalan mudah kerana hasratnya adalah untuk serius dalam bidang seni.
"Tujuan saya masuk ke dunia lakonan bukan untuk mencari kekasih kaya tetapi saya benar-benar meminati bidang lakonan.
"Bagaimanapun setakat ini belum ada lagi mana-mana golongan itu yang cuba mendekati saya," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Reen, dia tidak dapat menolak sekiranya jodohnya telah ditetapkan dengan golongan berstatus tinggi.
Dalam pada itu, Reen memberitahu status juara Pilih Kasih yang disandang bukan bererti dia sudah bagus sebagai pelakon sebaliknya masih banyak perkara yang perlu dipelajari dalam selok-belok dunia lakonan.
"Ia nampak mudah tetapi secara dasarnya bukan senang untuk menjadi pelakon yang baik. Wajah yang cantik tidak memberi apa-apa nilai sekiranya teknik lakonan tidak dilakukan dengan betul," ujarnya.
Reen bagaimanapun memberitahu dia amat bersyukur walaupun baru beberapa bulan bergelar artis, banyak penerbit dan pengarah mula memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang watak penting dalam karya mereka.
"Tiada apa yang menggembirakan saya selain mendapat kepercayaan daripada mereka dan itu adalah sebagai motivasi kepada saya terus mendapat perhatian," katanya.
Dalam masa yang sama Reen sentiasa memegang kata-kata ibunya supaya sentiasa merendah diri dan menghormati orang lain dalam memastikan dia tidak lupa diri apabila bergelar pelakon terkenal kelak.
"Saya takut jika mengalami sindrom lupa diri sekiranya saya mula terkenal nanti namun saya bersyukur ibu sentiasa mengingatkan siapa diri saya yang sebenar," katanya.
Selain drama Runtun Qalbu yang sedang ditayangkan di TV3, Reen bakal muncul dengan beberapa drama seperti Aku Tak Percaya Cinta, KL Drift The Series dan Balon selain filemGangster Celup.

Nabila Huda Tak Serik Kahwin Kerana Mahu Tambah Anak

Nabila Huda Suhaimi

PETALING JAYA: Pelakon Nabila Huda Suhaimi (Nabila) tidak pernah serik untuk berkahwin lain kerana keinginannya untuk menambah bilangan anak.
Bagaimanapun, Nabila, 28, berkata, impian itu terpaksa dipendamkan buat masa ini kerana dia masih belum menemui teman lelaki yang sesuai untuk bergelar calon suami.
"Saya sangat mahukan anak. Semakin Keisha (anak perempuan pertamanya) membesar, semakin berkobar-kobar keinginan untuk saya menambah anak.
"Masalahnya, saya belum berjumpa dengan calon yang menepati kehendak saya. Saya mahukan lelaki yang matang dan berfikiran terbuka, dapat menerima dan menjaga saya seadanya," katanya kepada mStar Online.
Nabila berkata demikian selepas majlis pelancaran drama bersiri terbaru lakonannya berjudul Julia di Sri Pentas di sini, petang Rabu.
Nabila yang berstatus ibu tunggal bercerai dengan Zaidi Zailani, 30, pada Ogos tahun lalu ekoran tiada persefahaman selepas tiga tahun berkahwin.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan bernama Keisha Laila yang kini berusia dua tahun setengah.
Mengenai teman lelaki, Nabila berkata, keintimannya dengan pelakon Johan As'ari sering disalah ertikan sebagai pasangan kekasih walaupun dia dan pemuda berusia 26 tahun tersebut hanya kawan rapat.
"Saya tidak bercinta dengan Johan. Kami hanya kawan baik kerana saya memang selesa untuk rapat dengan lelaki kerana karakter saya yang lasak dan ringkas ini.
"Saya banyak membimbing dan beri nasihat kepadanya mengenai kehidupan, imej dan kerjaya. Namun, kami tidak sampai ke tahap bercinta seperti yang disangka.
"Masih banyak yang perlu dia pelajari dalam hidup dan dia sendiri belum bersedia untuk berkahwin. Saya mencari lelaki yang matang dan berkemampuan untuk menanggung saya dan anak," katanya.
Beralih kepada kerjaya, Nabila berkata, komitmen dalam drama bersiri Julia arahan Jamal Khan itu menuntut permainan emosi yang mendalam dan berlainan daripada watak-watak yang pernah dijayakan sebelum ini.
"Dalam drama ini, watak Julia memerlukan saya bermain dengan emosi yang mendalam tetapi bukanlah ia membabitkan babak menangis yang keterlaluan.
"Penghayatan itu melibatkan perasaan dan kesedihan Julia yang dipendamkan dalam hati kerana dugaan hidup yang silih-berganti.
"Kami masih lagi menjalani penggambaran sehingga 16 Oktober depan bagi menyiapkan 28 episod.
"Walaupun penat tapi pengalaman pada kali ini memberikan kepuasan tersendiri," katanya.
Drama nukilan Sofia J Rhyland itu turut dibintangi antaranya Fizo Omar, Izreen Azminda, Azlee Khairi, Fouziah Gous dan Iqram Dinzly.
Ia mula ditayangkan sejak 24 September lalu menerusi slot Akasia pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam di TV3.

Tuduhan Bercuti Bersama Hans Isaac Mahu Sabotaj Neelofa


PETALING JAYA: Pelakon Neelofa menganggap dakwaan kononnya dia pergi bercuti bersama aktor dan penerbit Hans Isaac secara rahsia di Koh Samui, Thailand pada hujung minggu lalu sebagai tindakan sabotaj yang bertujuan memburukkan reputasinya.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 23, berkata, tuduhan berdasarkan maklumat tidak benar yang diperoleh itu adalah tidak wajar dipercayai kerana mereka bercuti secara berasingan.
“Ini (dakwaan) sebagai tindakan sabotaj pihak tertentu untuk memburukkan reputasi saya. Hakikatnya, saya dan Hans bercuti secara berasingan di dua lokasi berbeza.
“Saya pergi ke Phuket, Thailand bersama rakan-rakan pada Ahad dan Isnin, manakala Hans ke Koh Samui bersama kenalan permainan golfnya. Walhal Nazim (Othman) yang turut berada di Phuket pada minggu lalu tidak pula dikaitkan dengan saya?
“Saya percaya kontroversi ini timbul kerana secara kebetulan saya dan Hans berada di lokasi percutian yang berhampiran sahaja,” katanya ketika ditemui pada malam gala filemHantu Kapcai di sini, malam Selasa.
Neelofa berkata, dia berasa terkilan dengan perkara itu kerana niatnya untuk berehat daripada tekanan kerja pada hujung minggu lalu, sebaliknya menimbulkan kontroversi pada mata umum.
“Penyebaran gambar dan maklumat di blog-blog dan Internet adalah perbuatan khianat yang tidak adil untuk diri saya. Saya terima kontroversi ini dengan tenang dan matang.
“Bagi saya, ia adalah resam dalam dunia hiburan namun timbul juga perasaan terkilan kerana hasrat untuk berehat daripada tekanan kerja mengundang isu pula,” jelasnya yang percaya Hans tidak mengambil pusing mengenai kontroversi remeh itu.
Neelofa berkata, dia juga berasa kesal dengan tindakannya mengemas kini mesej di akaun Twitter pada tengah hari Ahad lalu mengenai percutiannya yang menimbulkan salah faham dan isu.
“Timbul juga kekesalan kerana niat saya mengemas kini mesej pada akaun Twitter pada Ahad lalu adalah untuk berkongsi kegembiraan dengan peminat mengenai percutian singkat itu.
“Saya tidak sangka mesej itu menimbulkan salah faham dan spekulasi yang akhirnya memaksa saya membuat penjelasan umum,” luahnya.
Mengenai kerjaya, juara pertandingan Dewi Remaja 2010 ini bakal muncul dengan filem terbaru Hantu Kapcai arahan Ghaz Abu Bakar di samping Zizan Razak, Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Hairul Azreen.
“Dalam filem itu, saya menggalas watak gadis kampung yang bertudung bernama Khadijah. Ia bukanlah watak yang sukar untuk dibawakan tetapi pengalaman berlakon dalam filem ini menarik.
“Insya-Allah, selepas ini saya akan sibuk dengan komitmen rakaman program Nona, aktiviti bersama Tune Records di Singapura dan pada pertengahan Oktober saya mungkin akan memulakan penggambaran filem Pilot Cafe,” kongsinya.

Wednesday, September 5, 2012

Diana Danielle Lalui 'Percubaan' Sebagai Tunang Orang

Diana Daniell ayu
PETALING JAYA: Pelakon jelita Diana Danielle menganggap pertunangannya dengan aktor Farid Kamil yang berlangsung Ahad lalu adalah sebagai satu tempoh percubaan sebelum bergelar suami isteri.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 21, berkata, bertunang pada usia muda tidak menghalangnya untuk belajar menjadi seorang wanita yang lebih matang selain ia adalah sebuah ujian yang harus diharunginya bersama Farid untuk beberapa tempoh.
"Terima kasih atas ucapan dan doa yang diberikan pada kami. Sebenarnya saya tidaklah terlalu teruja, tetapi bagi saya, pertunangan ini adalah ujian buat kami.
"Bersedia atau tidak, kami akan belajar perlahan-lahan untuk serasikan diri dalam ikatan ini (bertunang) ," katanya menerusi mesej ringkas melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada mStar Online di sini, Selasa.
Pasangan tersebut mengikat tali pertunangan pada Ahad lalu di kediaman Diana di Damansara, di sini selepas menyulam cinta selama tiga tahun.
Majlis berlangsung sekitar pukul 4 petang di mana Diana menerima sebentuk cincin yang disarungkan oleh ibu Farid.
Pihak perempuan memberi lima dulang hantaran berbalas tiga dulang daripada pihak lelaki yang antaranya seperti senaskhah Al-Quran, pakaian dan kasut.
Tambah Diana, dia juga tidak ada sebarang masalah untuk meneruskan ikatan pertunangan itu yang dijangka tidak lebih daripada setahun sebelum kedua-duanya membina rumah tangga.
"Kami mengadakan majlis pertunangan yang sangat sederhana sebenarnya dengan kehadiran keluarga kedua-dua belah pihak.
"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Doakanlah yang terbaik buat kami," ujar Diana.

Zizan Razak Terpaksa Memilih Kerana Dituduh Tidak Berdisiplin

Zizan Raja Lawak

KUALA LUMPUR: Salah faham dan dakwaan yang menuduh Zizan Razak tidak komited pada kerja menyebabkan pelawak dan pengacara itu mengambil pendekatan mahu menumpukan kepada tawaran tertentu sahaja pada satu-satu masa.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 28, berkata, dia kini hanya memberi perhatian terhadap satu atau dua tawaran dalam tempoh tertentu sejak tuduhan liar kononnya tidak memberikan komitmen pada promosi filem diperkatakan sebelum ini.
Ujar Zizan, dia hanya memberikan tumpuan pada promosi filem Hantu Kapchai yang akan ditayangkan tidak lama lagi dan persiapan untuk pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012bersama Johan.
"Sebelum ini, timbul tuduhan kononnya saya tidak beri kerjasama dan tidak komited pada promosi filem-filem lakonan saya kerana melakukan banyak kerja serentak.
"Keputusan ini (fokus pada kerja tertentu) tiada kaitan pun dengan situasi di mana saya pernah jatuh sakit sebelum ini akibat kuat bekerja. Saya bukan memilih kerja tetapi mahu lebih fokus pada satu atau dua tawaran sahaja," katanya.
Zizan berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran program terbaru berjudul Jejak Jepun bersama Zizan di sebuah hotel di sini, petang Selasa.
Ia merupakan sebuah program enam episod yang berkonsepkan diari kembara (travelog) di pelbagai destinasi menarik di sekitar Jepun.
Menerusi program selama setengah jam ini, Zizan akan berkongsi dengan penonton pengalamannya mengembara ke Osaka, Kobe, Wakayama, Kyoto, Shirahama, Yokohama dan Tokyo.
Katanya, pengalaman pertama mengacarakan travelog memberikan dimensi dan pengalaman baru kepadanya yang selama ini hanya menerajui program hiburan sahaja.
"Program ini membuka minda saya dan memberikan kelainan daripada program-program hiburan yang selalu saya acarakan. Konsep yang santai dan bebas itu memudahkan kerja saya untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman di Jepun dalam travelog ini.
"Bukan sahaja saya dapat pengetahuan baru mengenai negara itu, malah ia mendedahkan saya kepada budaya dan disiplin masyarakat mereka dalam kehidupan seharian serta kerja.
"Kalau diberi peluang, saya mahu mengacarakan program begini lagi," katanya yang berada di Jepun selama dua minggu pada penghujung Jun lalu.
Sementara itu, Pengurus Kumpulan Saluran Hiburan Astro Azlin Reza Azmi berkata, Zizan dipilih sebagai pengacara kerana karakter yang lincah dan bersahaja.
"Kami percaya Zizan mampu mengacarakan program ini dengan sentuhan dan gayanya yang tersendiri pasti memikat hati penonton," katanya.
Program ini bakal ditayangkan bermula 12 September depan pada setiap Rabu pukul 9 malam di Astro Prima (saluran 105).

Sunday, September 2, 2012

Syukur Nad Zainal

WALAUPUN lambat dikenali, pelakon bernama Nad Zainal tetap bersyukur tatkala menyelusuri hari demi hari sepanjang bergelar anak seni.
Hasil kesabaran itu lumayan, Nad Zainal kini meniti dari bibir ke bibir. Sungguhpun dia bukanlah nama besar tetapi namanya kini sudah diadili berdasarkan bakat dan bukan cerita sensasi.
“Syukur, tahun 2012 adalah tahun yang paling baik untuk saya setakat ini. Banyak tawaran kerja yang datang dan saya menjadi lebih matang berbanding tahun-tahun terdahulu,” ujar aktres dengan nama berdaftar Nadia Zainal Abidin itu.
Ujarnya titik mula namanya dikenali terjadi selepas dia berlakon drama Memberku, Hawa dan diikuti dengan Bukan Bidadari yang kini bersiaran di saluran pada setiap hari Selasa pukul 9 malam.
“Jujurnya ada tawaran yang mula ditolak kerana kesuntukan masa. Tetapi saya anggap itu semua ke arah positif dan saya gembira dengan perkembangan serius kerjaya saya,” luahnya yang sebelum ini mengaku hanya diberi karakter komedi atau cilik sahaja.
Keserasiannya mula kelihatan apabila gadis berumur 22 tahun itu digandingkan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad. Melalui beberapa cabaran untuk melakonkan wataknya sebagai Inas dalam Bukan Bidadari, Nad mengaku Sharnaaz banyak membantunya.
“Sangat senang bekerja dengan Sharnaaz. Kalau seseorang itu sudah memang bagus, jadi dia akan sentiasa menyenangkan kerja dan itulah Sharnaaz. Saya seronok bekerja dengannya dan pengarah juga berasakan kami ikhlas dan rajin dalam memberi idea,” ujar Nad tentang watak dalam drama bersiri yang merangkumi 13 episod itu mendapat sentuhan dari pengarah Faizal Ishak serta turut dibintangi oleh Azlee Khairi, Sara Ali, Fiza Halim, Azhar Sulaiman dan ramai lagi.
Drama Bukan Bidadari menurut Nad memberi impak yang semakin ketara terhadapnya. Tertawa sebelum meneruskan kata, dia mengaku sudah nampak akan perubahan tersebut.
“Kalau keluar rumah, sudah ada mak cik - mak cik yang senyum tiba-tiba. Maksudnya sudah ada yang kenal. Ini juga perkembangan positif buat saya. Mula-mula gemuruh juga dibuatnya tetapi kini sudah biasa,” ketawanya kecil dalam nada sedikit segan.
Untuk tahun hadapan, Nad mengaku sudah menyusun perancangan. Mahu kekal dalam suasana sebegini namun dalam masa yang sama dia berniat untuk memperbaiki kekurangan yang ada dalam skil lakonannya.
“Buat tahun ini, saya baru selesai penggambaran filem Kami Histeria bersama Diana Danielle, Mila, Sara Ali dan Afdlin Shauki. Kemudian saya terlibat dengan drama Samarinda dan membawakan watak bawang yang baik,” ketawanya mengakhiri perbualan dan keliru antara bawang putih atau merah yang bersifat protagonis.

Hijab itu indah - Aida Khalida

BANYAK mengawasi diri dan sentiasa bersyukur, wajah Aida Khalida jelas mempamerkan amalannya itu. Merendah diri dalam berbicara, pembawa watak ibu Razif (Rosyam Nor) dalam siri drama Trilogi Cinta 2 ini banyak menyebut perkataan syukur dalam bait ayatnya. Sebagai informasi, drama Trilogi Cinta 2 akan ditayangkan bermula 6 September ini di saluran TV1 pukul 10 malam.
"Saya sukakan tudung labuh dan berfesyen mengikut syariah. Dahulu, mula-mula berhijrah agak teruja mencuba pelbagai gaya fesyen tetapi kini mahu kelihatan santai dan bertutup," ujarnya yang tampak tenang dan banyak tersenyum cantik.
Tawaran kerja terus menghujani dirinya, sama seperti dahulu. Ujar Aida yang penting dalam kerjaya adalah sentiasa perlu jujur dan tidak mendambakan balasan dalam setiap perbuatan.
"Setiap tawaran adalah rezeki Allah dan kita harus jujur dengan segala perlaksanaan kita," ujarnya yang bari selesai penggambaran drama Julia, lakonan bersama Nabila Huda untuk slot Akasia.
Diminta memberi komentar tentang penghijrahan dan impak tawaran selepas berhijab, Aida senyum dan menjawab:
"Kita perlu kenal Allah, percayakan dia dan rezeki-Nya. Perlu kenal diri juga, jadi baru faham erti rezeki dan semuanya. Yang penting juga perlu faham dengan niat dan makna berhijrah. Semua ini hidayah Allah dan kena buat betul-betul. Hijrah itu perlu suci."
Tidak menolak bahawa berhadapan dengan ujian serta dugaan hidup selepas bertukar gaya, Aida menambah bahawa semua yang dilaluinya adalah kuasa Yang Maha Mencipta. Yakin diberikan ujian kerana disayangi Allah, ulas Aida lagi itu semua ialah ujian kepada ketebalan iman seseorang.
"Kalau saya tahu indahnya memakai hijab ini, dari dahulu saya laksanakan. Tetapi ini semua adalah perjalanan hidup saya dan saya belajar tentang kehidupan. Sekarang saya sangat tenang," tambahnya yang mengaku tidak pernah merancang untuk bertudung dan niat itu muncul pada bulan Rejab tahun 2008.
"Saya tidak rindukan Aida yang dahulu. Saya lebih tenang begini. Bagi saya dengan berhijab, saya cantik di mata Allah," ujarnya.
Ditanya tentang ketenangan yang diperolehinya kini, Aida yang terkenal dengan kepelbagaian dan kepandaian berfesyen ini mengaku mendapat titik itu dua tahun lalu.
"Awal-awal saya banyak diuji, melalui banyak perkara namun dua tahun kebelakangan ini, saya tenang," luahnya yang kini banyak mengikuti kelas dan ceramah agama untuk pengisian dirinya.
Menyentuh tentang jodoh setelah sekian lama menyendiri, Aida senyum lagi dan menjawab bahawa dirinya tidak menolak jika ditakdirkan berkahwin lagi. Namun sambungnya, dia mengaku belum membuka jalan ke arah itu.
Sebelum usai perbualan yang menyenangkan dengan wanita yang dikagumi ramai kerana fesyennya ini, Aida diminta memberi pendapat perihal fesyen dan artis sekarang.
"Perlu ingat kepada yang beragama Islam, boleh berfesyen tetapi jangan terlalu mendedahkan aurat. Harus menjurus kepada agama. Jaga akhlak, itu penting," nasihatnya lembut.

Saturday, September 1, 2012

Tasha Shilla Tidak Malu Jual Biskut Raya


PETALING JAYA: Penglibatan aktres Tasha Shilla (Tasha) dalam perniagaan penjualan biskut sempena Hari Raya yang diberi nama Gemilang Tasha Shilla Cookies pada bulan Ramadan ini tidak menjejaskan nilai eksklusifnya sebagai selebriti popular.
Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 25, berkata, pada hakikatnya dia juga merupakan manusia biasa yang perlu melalui kehidupan seperti individu lain dan tidak salah baginya untuk berniaga.
“Tiada apa yang perlu saya segan atau malu hanya kerana menjual biskut raya. Saya juga sama seperti orang lain, cuma lebih dikenali kerana kerjaya sebagai seorang pelakon.
“Tidak timbul soal hilang nilai eksklusif sebagai artis apabila saya berniaga di depan khalayak umum. Apa yang penting, saya perlu pandai bawa diri dan jaga penampilan ketika berniaga,” katanya ketika ditemui mStar Online di Bazar Terbaik Raya TV3 di perkarangan Sri Pentas, petang Khamis.
Nama bisnes yang diilhamkan Tasha itu diambil bersempena drama bersiri Gemilang yang mempopularkan dirinya pada tahun lalu.
Perniagaan itu mula beroperasi sejak minggu kedua Ramadan di Bazar Ramadan Kampung Baru, dekat sini.
Pelakon yang baru muncul dalam telefilem Ombak Rania (Astro Ria) ini berkata, minat yang mendalam terhadap perniagaan menjadi motivasi untuk dia mencuba pengalaman menjual biskut raya buat julung kalinya.
“Keluarga saya memang menjalankan perniagaan makanan. Malah, pada bulan Ramadan yang lepas-lepas, kami berniaga mi rebus dan laksa tetapi pada kali ini kami mencuba biskut raya.
“Alhamdulillah, setakat ini sudah 400 balang pelbagai jenis biskut berjaya dijual. Saya cuma buat tiga jenis saja iaitu “Almond Chocolate”, Suji Badam dan “Chocolate Chip”, manakala selebihnya dihasilkan ibu dan makcik,” katanya.
Menurut Tasha, perniagaan itu bukan sahaja dapat menjana pendapatan tambahan malah mendekatkan lagi dirinya dengan para peminat.
“Saya anggap pengalaman berniaga ini sebagai peluang terbaik untuk mendapatkan rezeki yang berkat dan menyeronokkan.
“Dengan aktiviti ini saya juga dapat mendekati peminat yang berkunjung ke gerai untuk membeli biskut yang dijual,” katanya yang bakal bercuti selama seminggu pada Hari Raya nanti.