PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah,
Datuk Seri Shafie Apdal pada Isnin tampil menafikan dakwaan bahawa
beliau memberikan wang berjumlah RM1.5 juta kepada aktres Zahida Mohamed
Rafik.
Malah menurut Shafie, laporan polis yang dibuat oleh Noor Azman Azemi
mengaitkan beliau sebagai orang yang bertanggungjawab melantiknya
sebagai pemandu peribadi Zahida sejak 2009 adalah tidak benar.
"Saya mengikuti dengan rapat beberapa laporan di dalam media dan
blog-blog tempatan yang telah mengaitkan nama saya dengan satu laporan
polis oleh seorang yang bernama Noor Azman Azemi yang mendakwa bekerja
sebagai pemandu di bawah saya, dan mengaitkan saya dengan pembayaran
wang yang sebegitu banyak kepada seorang artis bernama Zahida Binti
Mohamed Rafik.
"Dengan ini, saya ingin menyatakan bahawa semua yang tertera di dalam
laporan polis berkenaan adalah tidak benar sama sekali," katanya
menerusi satu kenyataan di sini, Isnin.
Selain itu Shafie yang juga Naib Presiden Umno turut menyifatkan
penyebaran laporan polis berkenaan oleh pihak-pihak tertentu sebagai
tindakan berniat jahat.
"Kenyataan-kenyataan iringan oleh individu yang menyebarluaskan
salinan laporan polis berkenaan adalah berniat jahat dan berunsurpolitik
semata-mata," katanya.
Tambah Shafie, beliau sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya berhubung isu berkenaan.
"Saya bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa
sahaja yang terus-terusan memfitnah saya dan mengaitkan saya dengan
perkara ini," katanya.
Laporan polis itu sebelum ini didedahkan oleh Ketua Wanita Parti
Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin kepada pihak media di
Parlimen.
Berdasarkan laporan polis bertarikh 13 Mac tahun ini, Noor Azman
mendakwa Zahida telah menerima wang sebanyak RM58,000 pada Oktobertahun
lalu, RM112,000 pada November, RM330,000 pada bulan Disember dan
RM510,000 pada Januari tahun ini.
Zahida bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang berhubung isu berkenaan.
No comments:
Post a Comment