Thursday, April 5, 2012

Pengakuan terbuka Sheila Majid


RATU Jazz negara, Datuk Sheila Majid, 47, membuat pendedahan secara terbuka bahawa kebanyakan lagu yang dicipta pada zaman ini tidak melekat di jiwanya dan mudah dilupakan kerana melodinya kedengaran serupa dengan lagu-lagu yang lain.

Disebabkan itu dia mengakui perlu bersikap cerewet memilih lagu biarpun perlu mengambil masa terlalu lama untuk muncul dengan lagu baharu. Sikap cerewet Sheila itu juga menjadi bukti mengapa dia masih bertahan dalam industri muzik sehingga kini.

“Jika saya bawa kereta dari rumah ke destinasi sambil dengar radio, tak ada satu lagu pun yang boleh diingat. ‘It’s all can easily forgettable’. Bukan nak kata saya sudah tua tetapi lagu-lagu sekarang kebanyakannya tidak ada jiwa. Ia lebih kepada tempo semata-mata. Kenapa lagu-lagu dulu masih diterima sehingga kini sebab ia ada jiwa dan mampu memberi impak kepada pendengar sekali gus menyebabkan penyanyi itu bertahan sehingga kini.

“Sejak dua tahun lalu saya masih tercari-cari dan menunggu untuk dapatkan lagu yang benar-benar kuat dari segi melodi dan juga lirik tetapi tiada,” ujarnya jujur selepas sidang akhbar sempena minggu setiausaha, A Day with Living Legend - Sheila Majid di Restoran Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur.

Akuinya, dia banyak menerima lagu daripada pelbagai komposer tetapi sukar untuk membuat pilihan kerana lagu yang diterima tidak begitu kena dengan jiwanya.

“Saya memang selektif dalam pemilihan lagu sejak dari dulu lagi. Ada yang lirik okey tapi tak kena dengan melodi. Kedua-dua perlu seimbang. Kalau boleh saya mahu lagu yang boleh menarik jiwa pendengar,” jelasnya.

Yuna dan Najwa

Namun begitu, walaupun Sheila menyelar generasi masa kini dunia muzik tempatan, namun dia penuh berkeyakinan terhadap dua penggiat muzik muda, Najwa Mahiaddin dan Yuna.

Berkongsi cerita, Sheila mengakui pernah meminta lagu daripada dua komposer muda iaitu Najwa Mahiaddin dan Yuna kerana tertarik dengan kebolehan mereka menulis dan mencipta lagu dengan baik.

“Yuna dan Najwa terkejut apabila saya minta mereka buat lagu untuk saya. Mereka ingat saya bergurau. Hakikatnya mereka benar-benar berbakat dan sebab itulah saya ingin bekerjasama dengan mereka,” ungkapnya.

Ujar Sheila, seseorang penyanyi itu juga tidak semestinya menerima bulat-bulat lagu yang diberikan oleh komposer, sebaliknya perlu dengar dan buat perubahan agar lagu tersebut menjadi lebih menarik.

Sheila juga menyelar penyanyi-penyanyi sekarang yang kebanyakannya lebih banyak menjerit daripada menyanyi.

“Cara nyanyian juga penting. Ia patut sedap didengar. Penyanyi sekarang bukan menyanyi tetapi menjerit-jerit,” katanya yang bakal muncul dengan album terbaharunya tidak lama lagi.

Menurut Sheila lagi, terdapat sebuah lagu Indonesia yang akan diberikan nafas baharu turut dimuatkan dalam albumnya nanti. Sheila juga akan muncul dengan single terbaharunya sebelum kemunculan album penuh.

Lagu rezeki

Ditebak soalan adakah dia bosan menyanyikan lagu yang sama berulang kali seperti Sinaran atau Ku Mohon pada setiap persembahannya, akui Sheila dia memang bosan.

Hakikatnya dia sedar lagu tersebut merupakan lagu ’rezekinya’ kerana ia menjadi pilihan pendengar peminat-peminatnya sehingga kini.

“Memang saya akui bosan menyanyikan lagu yang sama seperti Sinaran setiap kali persembahan tetapi terpaksa berbuat demikian demi peminat. Sinaran adalah lagu ‘rezeki’. Saya tidak boleh kata tidak untuk menyanyikannya. Jika saya tak nyanyikan lagu tersebut peminat akan marah,” akuinya.

Bercerita tentang konsert Legendary Concert 2012 yang akan berlangsung pada bulan Mei dan Jun ini, ungkap Sheila, dia sangat teruja untuk beraksi bersama tiga penyanyi hebat iaitu Amy Search, Jamal Abdillah dan Zainal Abidin.

“Saya sangat teruja untuk buat persembahan dengan mereka. Saya akui banyak belajar dengan Zainal. Ketika itu dia masih dengan Headwind. Dia memang seorang penghibur yang bagus. Dia tak takut untuk bercakap ketika persembahannya.

“Menariknya, setiap apa yang dituturkan dirinya membuatkan penonton suka dan terhibur. Dia sangat berpengalaman. Amy pula, walaupun dia tak bercakap banyak masa persembahan tetapi bila dia buat persembahan, dia boleh jadi raksasa. Jamal pula tak perlu menyanyi pun orang sudah teruja tengok dia,” ungkapnya jujur.

Kongsinya, walaupun masa latihan suntuk kerana ia berlangsung pada hujung bulan ini namun dia tidak tertekan kerana pemuzik-pemuzik konsert tersebut sudah acap kali bersamanya ketika persembahan.

Konsert yang dinantikan untuk tahun ini juga dikatakan memberi keterujaan besar buat peminat empat legenda ini kerana hampir semua tiket VIP sudah habis dijual.

Konsert yang dibawakan oleh Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn. Bhd. itu telah memilih lima lokasi berbeza iaitu di Stadium Larkin, Johor Bahru (5 Mei), Kota Kinabalu, Sabah (19 Mei), Kuching, Sarawak (26 Mei), Pulau Pinang (23 Jun) dan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini.

Eksklusif Sheila

Dalam perkembangan lain, Sheila cukup teruja untuk mengadakan persembahan sempena sambutan minggu setiausaha di Restoran Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur pada 25 April ini.

Bakal mengadakan persembahan selama 45 minit, turut berganding dengannya ialah pelawak dan pelakon Dee.

“Ini adalah kali pertama saya akan menyanyi di Menara Kuala Lumpur dan sudah ada beberapa idea untuk persembahan itu nanti,” kongsinya yang merupakan artis kedua yang mengadakan persembahan untuk Minggu Setiausaha di situ selepas Jamal Abdillah.

Sheila juga optimis biarpun harga tiket yang dikenakan agak tinggi ia mampu menarik bukan sahaja bos dan setiausaha malah peminat-peminatnya sendiri.

Hanya eksklusif menerima satu tawaran sahaja untuk Minggu Setiausaha, Sheila juga memberitahu, akan menyanyikan sebanyak tujuh buah lagu pada hari itu.

Bermula pada pukul 12 tengah hari, tiket untuk menyaksikan A Day with Living Legend - Sheila Majid dijual pada harga bermula RM500 sehingga RM6,500 (berkumpulan).

No comments:

Post a Comment