Artis kacukan Melayu-Inggeris Diana Danielle sememangnya dikenali sebagai pelakon, namun Diana juga sempat bergelar seorang penyanyi apabila dia muncul dengan lagu single berjudul Tak Pernah Ada.
Selain itu, kekasih kepada aktor Farid Kamil ini juga pernah berkolaborasi bersama Mawi menerusi lagu Penyembuh Rindu dan lagu Radio duet bersama Imran Ajmain serta pelawak terkenal, Nabil.
Disebabkan bakat yang ada pada Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 20, dia menjadi pilihan pihak penganjur, Dirich Vision Sdn. Bhd. untuk menjayakan persembahan sempena Festival Pengantin Malaysia ke-11 yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 April ini di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Selain Diana, festival yang bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam itu turut mengundang penyanyi lain seperti Alif Satar, Ila Damia dan Altimet. Diana dan Alif dijangka menghiburkan bakal pengantin pada hari Sabtu iaitu 7 April, pada pukul 2 petang.
Penyanyi rap Altimet dan Ila Damia pula akan berkongsi pentas menghiburkan ribuan pengunjung pada keesokannya (Ahad), pada pukul 3 petang.
Diana berkata, inilah kali pertama dia menerima undangan Festival Pengantin Malaysia dengan kunjungan lebih 15,000 orang pengunjung setiap kali diadakan sekitar Lembah Klang.
“Mungkin saya lebih dikenali sebagai pelakon, tetapi saya juga meminati bidang nyanyian. Saya sudah memiliki dua lagu single, Penyembuh Rindu dan Radio. Menerusi dua lagu berkenaan, saya kerap menerima undangan pentas nyanyian.
“Saya juga pernah diundang sebagai artis pembuka tirai konsert peniup saksofon antarabangsa, Kenny G, tahun lalu. Alhamdulillah, rezeki nyanyian semakin terbuka luas,” ujarnya.
Diana mengakui cukup terharu apabila diundang sebagai salah seorang penyanyi pada Festival Pengantin Malaysia. Undangan itu sebagai bukti bakat nyanyian diakui oleh pihak penganjur.
“Saya terharu diundang ke festival pengantin. Bagi saya, festival pengantin ini memudahkan bakal pengantin membuat pilihan dalam merancang majlis bersejarah mereka.
“Festival khas untuk mempelai itu juga akan menampilkan pakar dalam bidang perkahwinan bersatu di bawah bumbung yang sama untuk menyediakan perkhidmatan kepada bakal pengantin, sekali gus memudahkan mereka untuk merancang persediaan majlis yang bakal berlangsung secara gemilang kelak.
“Apa yang menarik, mereka boleh mendapat tawaran harga yang istimewa sepanjang festival pengantin ini berlangsung, yang tidak boleh dinikmati pada hari-hari biasa. Ini adalah peluang keemasan untuk mereka merancang perkahwinan mereka serta boleh berjimat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Dirich Vision Sdn Bhd, Nor Sharlina Abdul Rashid, berkata Festival Pengantin Malaysia, salah satu platform untuk usahawan yang terbabit dalam industri perkahwinan untuk menyertainya.
Dalam festival berkenaan, pihak penganjur menyediakan ruang pameran yang lengkap bagi pengusaha mempamerkan hasil reka cipta secara terus kepada bakal pengantin.
“Antara perkhidmatan disediakan ialah andaman pengantin, perancang perkahwinan, fotografi dan videografi, kad kahwin, cenderamata, perhiasan, aksesori, dewan majlis perkahwinan, ejen perancang industri perkahwinan, pusat penjagaan kecantikan dan perkhidmatan katering.
“Selain itu, penganjuran festival ini dapat dijadikan platform untuk usahawan tempatan mengembangkan lagi perniagaan mereka, yang mana pengusaha butik perkahwinan dapat memberikan khidmat nasihat di gerai pameran masing-masing, sekali gus menambah bilangan pelanggan.
Bagi keterangan lanjut, mereka yang berminat boleh layari laman sosial Facebook Festival Pengantin Malaysia.
No comments:
Post a Comment