PETALING JAYA: Penyanyi Ning Baizura, 36, berharap tahun 2012 
akan memberi sinar kepadanya dan keluarga selepas dia diberi kebenaran 
oleh doktor untuk berbadan dua.
Ning berkata, sejak dua tahun lalu dia tidak boleh memiliki anak 
kerana terdapat ketumbuhan pada rahimnya, namun bersyukur kerana impian 
untuk bergelar seorang ibu sudah tiba.
"Alhamdulillah, sudah sampai masanya untuk saya dan suami, (Omar 
Sharif Christopher Layton Dalton) memiliki anak sendiri walaupun kami 
sudah ada dua orang anak tiri.
"Apa yang terjadi sebelum ini benar-benar menakutkan saya kerana 
risau jika impian untuk memiliki anak akan punah. Sebab itu saya 
betul-betul mengikut nasihat doktor agar tidak ada lagi 
kejadian-kejadian yang tidak diingini.
"Bayangkan saya pernah dimasukkan ke wad kerana mengalami pendarahan 
yang teruk," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media “Ratu 
Hatiku Mother's day High-Tea exclusive With Ning Baizura And Band” di 
Hotel Royale Bintang Damansara, di sini, Jumaat.
Tambah Ning, demi   mendapatkan cahaya mata sendiri, dia sanggup 
untuk mengurangkan aktiviti seninya bermula bulan Julai ini manakala 
Omar pula tidak akan menguruskan syarikat miliknya, HappeNings kerana 
akan bekerja di sebuah syarikat petroleum.
Bagaimanapun, peletakan jawatan Omar dalam syarikat Ning itu tidak 
mempunyai sebarang kaitan dengan khabar angin yang kononnya mereka 
sedang melalui pergolakan rumah tangga.
"Saya nafikan sekeras-kerasnya tentang gosip tersebut. Kami masih 
lagi suami isteri dan biasalah kalau ada pergaduhan kecil, tetapi 
tidaklah sampai ke tahap mahu bercerai.
"Kadang-kala saya berasa pelik entah daripada mana sumber itu didapati," ujarnya.
Mengenai majlis Hari Ibu itu, ia akan diadakan pada 20 Mei ini di Royale Bintang pukul 3 hingga 7 petang.
Majlis yang dianjurkan oleh Xerographix Studio itu akan menyediakan 
sebanyak 50 buah meja di mana para ibu dapat menikmati hidangan istimewa
 di samping mengabadikan detik indah bersama Ning.
"Rasa seronok pula dapat menjayakan majlis ini kerana inilah pertama kali saya membuat persembahan bersempena dengan Hari Ibu.
"Diharap saya dapat berkongsi rahsia dan ilmu daripada ibu-ibu yang 
akan hadir nanti. Mungkin juga saya akan meminta ibu saya berduet dengan
 saya," katanya.
Penyanyi Maulana dan Azrul (Raja Lawak) akan membuat penampilan 
istimewa pada majlis itu dan para penonton akan berpeluang untuk 
memenangi pelbagai hadiah menarik seperti iPad2, percutian tiga hari dua
 malam di tasik Kenyir Resort Taman Negara serta pelbagai cabutan 
bertuah.
Tiket berharga RM180, RM280, RM500 dan VIP Platinum boleh didapati menerusi laman web www.tickethotline.com.my.

No comments:
Post a Comment