KUALA LUMPUR: Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna mengakui terluka apabila dituduh menjadi penyebab penyingkiran Qi Razali daripada program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) terbitan TV3.
Yuna berkata, dakwaan dia mencampuri urusan tugas Qi adalah tidak benar sama sekali kerana pengunduran kekasihnya itu adalah atas kehendak sendiri.
"Qi sebenarnya mengambil keputusan untuk menarik diri kerana ingin memberikan tumpuan kepada bidang lakonan dan bukannya disingkirkan kerana mempunyai masalah disiplin. Itu tidak benar.
"Saya pula tidak ada kena mengena apabila ada pihak mendakwa saya menjadi punca dia menyebabkan penyingkirannya itu," ujarnya kepada mStar Online.
Yuna ditemui ketika menghadiri pelancaran Youtube Malaysia di sini pada Khamis.
Tambah Yuna, tuduhan itu tidak berasas kerana dia jarang berada di Malaysia dan sekiranya kembali ke tanah air, mereka juga sukar untuk berjumpa kerana Qi sibuk dengan penggambaran.
"Saya tiba di Malaysia minggu lalu tetapi hanya dua tiga hari lalu baru dapat bertemu dengannya kerana dia begitu sibuk. Tetapi saya memahami kerana masing-masing pun sibuk dengan pelbagai agenda.
"Bagaimanapun kami sempat berbual mengenai perkara ini dan Qi ada memberitahu saya dia rasa sedih apabila ada pihak menuduhnya sebegitu dan melibatkan saya," ujarnya.
mStar Online sebelum ini melaporkan Qi kononnya disingkirkan menjadi pengacara JJCM kerana menghadapi masalah disiplin apabila terlalu kerap bertemu dengan Yuna sehingga mengabaikan tugasnya.
No comments:
Post a Comment