KETIKA artikel ini ditulis, Katharine Hope McPhee sedang berada di Burkina Faso, Afrika untuk menghulurkan sumbangan kepada sebuah sekolah di situ melalui persatuan kebajikan yang ditubuhkannya, McPhee Outreach.
Dalam pada itu, menerusi laman sosial Twitter miliknya itu pada awal minggu ini, Katharine, 28, memaklumkan bahawa produksi televisyen lakonannya, Smash sudah hampir tamat penggambarannya.
Ungkapnya dalam Twitter tersebut: "Selamat malam semua, sudah hampir pukul 5.30 pagi. Tinggal baki enam hari lagi untuk menyudahkan penggambaran Smash musim pertama."
Wataknya dalam drama muzikal itu adalah sebagai Karen Cartwright iaitu seorang wanita yang bercita-cita tinggi dan bekerja keras untuk mencapai sukses dalam dunia pementasan teater pastinya mencetuskan pesona baharu buat bekas peserta program realiti American Idol itu.
Mana tidaknya menerusi Smash, Katharine turut mengadaptasi perwatakan bintang legenda Hollywood, mendiang Marilyn Monroe dalam konsep dan jalan cerita yang lebih terkini dan segar menerusi naskhah terbitan produser tersohor Steven Spielberg!
Saya dan Megan (Hilty) akan menjadi rakan karib pada waktu-waktu tertentu tapi akhirnya berkelahi jua," cerita Katharine mengenai gandingannya dalam Smash, Megan Hilty yang melakonkan karakter Ivy Lynn.
Celah Megan itu sewaktu sesi temu bual bersama media antarabangsa baru-baru ini: "Itulah yang saya suka! Kami menikmati momen menarik sepanjang pembikinan muzikal ini."
Smash memaparkan kisah perjalanan dan usaha gigih penghasilan sebuah muzikal Broadway. Ia bermula apabila sepasukan penulis lirik lagu mahu menghasilkan sebuah pementasan muzikal berpandukan kehidupan Marilyn Monroe.
Pasti ada sesuatu yang menarik untuk Katharine sementelah Smash merupakan lakonan pertamanya untuk sebuah naskhah Broadway.
"Sebuah pengembaraan yang sangat jauh sebelum saya menyertai American Idol sehingga berada di kedudukan saya sekarang.
"Penat lelah yang saya alami selepas tamat rancangan realiti nyanyian itu membantu saya membentuk sebuah acuan karakter yang saya realisasikan sekarang ini.
"Saya akui memang saya tidak pernah ada pengalaman berlakon dalam sebarang pementasan Broadway melainkan pernah ke sekolah teater suatu ketika dulu. Smash nyata menghidupkan kembali impian saya untuk berlakon di Broadway suatu masa dulu," ujar naib juara American Idol musim kelima itu.
Steven Spielberg
Perjalanan yang seakan-akan mirip kisah realiti dirinya sewaktu menyertai American Idol pada tahun 2006 dibentuk menerusi karakter lakonannya dalam Smash.
Katharine tidak membantah andai platform itu menonjolkan namanya untuk diteropong para pengarah Hollywood. Ini kerana sebelum menyertai American Idol 5, dia pernah menceburi dunia lakonan.
Buktinya pada 2005, dia pernah membintangi sebuah siri terbitan MTV berjudul, You Are Here. Malangnya, siri tersebut tidak pernah ditayangkan.
"Walaupun saya tidak bergelar juara American Idol tapi saya masih dibayangi sebagai seorang selebriti yang muncul daripada program itu.
"Bagi sesetengah orang, ia kelihatan seperti sebuah roket yang menjadi pemacu terbaik untuk sampai ke bulan.
"Perjalanan saya sebenarnya lebih menarik, saya menyelusuri bukit bukau, lembah dan lurah. Segala kekecewaan dan pergorbanan yang saya lalui dalam percubaan saya untuk menjadi seorang pelakon (sebelum menyertai American Idol 5) telah menyediakan (kekuatan) saya untuk masa sekarang," getusnya.
Bekerjasama dengan nama besar industri perfileman Hollywood, Steven Spielberg sudah tentu pengalaman paling menarik buat Katharine.
Bukan calang-calang individu mampu memenuhi kehendak Spielberg untuk dipilih berlakon dalam naskhah terbitannya.
Bak kata Katharine, pertemuannya dengan Spielberg sewaktu sesi uji bakat Smash adalah antara detik terindah dirinya sepanjang bergelar seorang pelakon.
"Saya sangat teruja dan tidak henti-henti bercakap sewaktu pertemuan sulung dengannya (Spielberg). Dia sangat menarik orangnya dan ketika itu dia hanya mendengar setiap yang saya ucapkan.
"Salah satu sebab dia menerima saya mungkin kerana dia melihat watak Karen Cartwright dalam diri saya. Bagi saya, pertemuan dengannya adalah momen terindah dalam karier saya," ceritanya yang sebelum ini pernah membintangi filem The House of Bunny pada tahun 2008 dan Shark Night 3D(2010).
Simbol seks
Sukar barangkali untuk seorang aktres yang dilahirkan selepas zaman kegemilangan Marilyn Monroe untuk menyerap jiwa Broadway wanita berambut perang itu.
Hal ini diakui sendiri oleh Katharine yang terpaksa mendalami perihal kehidupan Marilyn Monroe dan menonton lebih banyak naskhah lakonan pelakon popular era 50-an itu.
"Saya membesar dengan tanggapan bahawa ia sesuatu yang biasa apabila ramai yang memuja wanita berambut perang seperti Marilyn Monroe, jadi saya langsung tidak ambil pusing tentang siapa itu Marilyn Monroe.
"Sehinggalah saya terbaca sebuah biografi Arthur Miller sewaktu di kolej. Ia menceritakan tentang huru-hara dalam perkahwinannya bersama Marilyn dan mengenai filem yang ditulis olehnya untuk Marilyn, The Misfits.
"Oleh itu, saya sangat tertarik lantas menontonnya, serta-merta saya jatuh cinta dengannya," tuturnya membuka cerita.
Saya tidak pernah sekali pun menonton filem lakonan Marilyn sewaktu zaman kanak-kanaknya, kerana bagi Katharine dia bukan membesar dengan wanita yang sering dijadikan simbol seks itu.
"Saya tidak pernah menonton filem Marilyn sewaktu zaman kanak-kanak melainkan filem-filem seperti The Sound of Music dan Singin' in the Rain.
"Ibu dan bapa saya membesar bersamanya (Marilyn) dan kini sudah tiba giliran saya untuk mula menonton filem-filem lakonannya lebih kerap dan membaca kisah-kisahnya," tegasnya.
Ujarnya lagi, dia diberikan peranan menyanyikan lagu Happy Birthday, Mr. President sewaktu sesi uji bakat pertama untuk Smash dan dia menganggap kepercayaan itu sebagai permulaan buat dirinya mengembangkan karier seninya itu dengan lebih pesat.
"Saya rasa agak selesa menyanyikannya kerana lagu itu memiliki vibrato pantas dan sangat menguji pernafasan.
"Apabila saya mula berlakon dalam Smash, saya meletakkan sebanyak mungkin tekanan untuk menjadi seperti Marilyn.
"Namun, sudah tentu saya tidak mampu menjadi Marilyn sepenuhnya. Memperoleh sedikit auranya merupakan item yang paling saya inginkan," akuinya.
No comments:
Post a Comment