Friday, March 23, 2012

Serangan Jantung Dan Dadah Punca Kematian Whitney Houston


PUNCA sebenar kematian diva terkenal, Whitney Houston telah diketahui apabila ujian toksilogi mendapati Whitney sebelum kematiannya telah mengambil dadah jenis marijuana, Xanax, ubat penenang otot (Flexeril) dan ubat alergik (Benadryl).

Whitney, 48, yang ditemui mati lemas di dalam tab mandi di hotel penginapannya di Los Angeles bulan lalu di dapati mempunyai dadah dalam sistem badannya.

Perkara berkenaan terkandung dalam laporan bedah siasat yang diumumkan oleh pakar forensik yang diketuai oleh koroner, Craig Harvey.

Menurut Craig, akibat pengambilan pelbagai jenis dadah dan ubat-ubatan penenang, Whitney dilaporkan telah mengalami serangan jantung sebelum tersemban ke dalam tab mandi tersebut.

“Penggunaan ubat berkenaan menyebabkan Houston mengalami serangan jantung,” katanya.

Pendedahan itu menamatkan spekulasi mengenai punca sebenar kematian penyanyi tersebut pada 11 Februari lepas, iaitu pada malam menjelang anugerah Grammy Awards.

Bagaimanapun jumlah kandungan dadah dalam badannya itu tidak didedahkan sebaliknya laporan penuh autopsi akan dikeluarkan dalam masa dua minggu.

Keluarga dan rakan-rakan penyanyi yang popular dengan lagu I Will Always Love You itu sebelum ini tidak percaya dadah sebagai punca utama kematiannya malah mereka tidak yakin Whitney mengambil dadah.

Mendiang telah dikebumikan di tanah perkuburan New Jersey, bersebelahan dengan kubur bapanya pada satu majlis pengkebumian yang turut dihadiri oleh keluarga, rakan dan selebriti termasuk Oprah Winfrey, Tyler Perry, Alicia Keys, Mariah Carey, Mary J. Blige, Jennifer Hudson dan Roberta Flack.

Sebelum menemui ajal, Houston cuba kembali semula ke pentas hiburan malah dia sempat menyiapkan lakonannya dalam filem Sparkle yang mana dia turut menyanyikan lagu His Eye is on the Sparrow. - TMZ

No comments:

Post a Comment