AGAK lama menyepikan diri, barangkali merajuk atau sengaja lolos daripada publisiti, Almy Nadia bagaimanapun diam-diam berisi. Memang dia kelihatan sedikit berisi namun status masih tidak berubah. Dramatis berusia 26 tahun itu masih Almy Nadia yang dikenali beberapa tahun lalu, masih solo dan setia dengan kekasihnya, Fizz Fairuz.
Sudah lima tahun cinta mereka terjalin, terhambat pula dengan pelbagai kontroversi, namun Almy tidak jemu atau melatah saat kisah itu juga yang disuakan ke mukanya.
“Setakat ini, saya belum lagi jemu dengan gosip yang sering menimpa diri kerana gosip ialah sebahagian daripada kerjaya artis.
“Sebelum datang bertemu pihak media, awal-awal lagi saya sudah persiapkan mental. Kalau tidak kuat, saya pun tidak tahu apa yang akan terjadi,” Almy berterus terang saat diusik tentang percintaannya yang sering ditimpa badai, paling hebat sekitar tahun lepas.
Kata pelakon filem Dunia Baru The Movie itu, hubungannya dengan Fizz masih utuh.
“Saya juga tidak perlu mengalah akibat cerita yang tidak berasas. Lagipun susah untuk kami memuaskan hati semua orang. Paling penting, saya, Fizz serta keluarga tahu apa yang berlaku. Biarlah orang buat spekulasi, bila sampai masanya tentu kami akan beritahu perkara sebenar. Sampai sekarang saya dan Fizz tiada masalah,” tegasnya yang sudah tiga tahun mengenal nikmat bergelar ibu kepada seorang anak angkat, Nur Afrina Darwisya.
Tambah Almy: “Setahun jarang bertemu media, saya sibuk menguruskan anak angkat yang kini dijaga oleh ibu di Pulau Pinang. Saya sudah mula sayangkannya dan dialah pemberi semangat dalam hidup ini. Sekarang saya masih dalam proses mendaftarkannya sebagai anak angkat di Jabatan Pendaftaran Negara.”
Bercerita tentang perkembangan terbaharunya, Almy bakal muncul dalam drama Cinta Buat Emelda yang akan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 mulai 26 Mac ini setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam.
Drama 24 episod itu mengisahkan pengorbanan Emelda dalam membesarkan anak luar nikah, Dania, seorang diri. Tujuh tahun kemudian, Emelda bertemu kembali dengan bekas kekasihnya, Aril Fatah lakonan Fizo Omar. Mereka berkahwin tanpa Aril mengetahui bahawa Dania itu merupakan anak kandungnya sendiri.
No comments:
Post a Comment