PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri 3 Janji, Hanez Suraya menolak dakwaan kononnya dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Syed Ali.
Hanez, 27, berkata, dia tidak pernah mengenali pelakon itu secara peribadi mahupun bekerja dengannya dalam sesebuah produksi.
"Saya akui pernah berjumpa dengannya di majlis-majlis hiburan tetapi tidak mengenalinya secara peribadi. Khabar angin itu adalah mengarut sama sekali," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Tambah Hanez Suraya, dia kini masih solo dan tidak terfikir untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki sebaliknya ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya lakonan yang sedang meningkat.
"Rasanya soal cinta biarlah dulu kerana saya sibuk di lokasi penggambaran beberapa buah drama dan ingin memantapkan dahulu karier saya sebagai pelakon," katanya.
Dalam pada itu, Hanez berkata, dia ingin mempelbagaikan wataknya sebagai pelakon dan tidak hanya terikat dengan peranan antagonis dalam sesebuah drama.
Dia juga tidak mahu dikenali dengan sesuatu watak sahaja sebaliknya ingin memvariasikan kebolehannya sebagai pelakon supaya penonton tidak berasa jemu.
"Rasanya dah terlalu banyak watak 'jahat' yang saya terima dan sudah tiba masanya untuk keluar daripada kepompong itu supaya penonton tidak jemu.
"Kalau boleh saya ingin mencuba watak seperti gadis baik, perempuan malang yang boleh memberikan impak kepada penonton," ujarnya.
Hanez yang pernah popular menerusi drama bersiri Bunga April dan Pelangi Kasih bagaimanapun memberitahu dia teringin untuk berlakon filem tidak mahu terburu-buru mengejar semua tawaran yang datang.
"Saya ada terima tawaran tetapi buat masa ini ingin menumpukan kepada telefilem dan drama bersiri kerana takut tidak dapat beri komitmen kepada jadual penggambaran filem. Insya-Allah suatu hari nanti pasti akan dapat juga berlakon dalam filem," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hanez berkata, selain 3 Janji, dia juga bakal muncul dengan telefilem berjudul Bimbo untuk siaran Astro Ria selain Hidayah Cintaku (RTM) dan Suri (TV3).
Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya dalam drama 3 Janji arahan Heykal Hanifah, dia berasa selesa dan menyifatkan pengarah tersebut sebagai seorang yang sangat cool walaupun baru pertama kali berlakon bawah arahannya.
"Bekerja dengan Heykal sangat seronok dan sudah lama saya memang memasang niat untuk bekerja dibawah arahannya dan 3 Janji adalah kerjasama pertama kami.
"Dia juga banyak membantu para pelakon dalam menghidupkan sesuatu watak selain memberikan pelakon kelonggaran dalam menyumbang idea bagi memperbaiki sesuatu babak itu," ujarnya.
Selain Hanez, 3 Janji turut menampilkan pelakon seperti Liyana Jasmay, Shahrizal Jazsle, Ainina Ahmad B, Roy Azman, Shah Iskandar dan Ana Dahlia.
Drama 13 episod itu sudah pun menemui penonton bermula 21 Mac lalu dalam slot Lestary setiap Selasa pukul 9 malam di TV3.
No comments:
Post a Comment