|
Tim Hwang |
JIKA disebut Tim Hwang pasti ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan orangnya. Namun, buat mereka yang menonton drama Korea seperti Secret Garden, 49 Days, Queen of Reversal dan A Thousand Kisses pasti mereka cukup kenal dengan suara Tim yang menyanyikan lagu runut bunyi kesemua drama tersebut.
Figura yang lebih mesra disapa sebagai Tim ini sememangnya cukup terkenal dengan irama balada sehingga dia diberi jolokan Prince of Ballad di Korea Selatan lantaran gemersik vokalnya yang memukau.
Kosmo! yang berkesempatan bertemu dengan jejaka kelahiran Philadelphia, Amerika Syarikat itu pada sidang akhbar sempena siri jelajah Asia pertamanya, Into Asia Comes Tim's World, di Kuala Lumpur baru-baru ini cukup terpukau dengan kemesraan serta gaya santainya.
Memudahkan lagi komunikasi, tidak seperti penyanyi Korea yang lain, Tim atau nama sebenarnya Hwang Young-min cukup fasih berbahasa Inggeris.
Cukup gembira kerana menerima sambutan hangat daripada peminatnya di Malaysia, ujar Tim, ia bukan kunjungan pertamanya kerana sebelum ini Tim pernah bercuti di sini.
Menyambung bicara mengenai kerjayanya, terang Tim yang berusia 31 tahun, sebelum ini dia tidak pernah membayangkan kerjaya sebagai penyanyi kerana cita-citanya sebelum ini adalah untuk menjadi ahli farmasi sebelum ditawarkan menjadi penyanyi ketika usianya 20 tahun.
"Cita-cita saya waktu itu untuk menjadi ahli farmasi dan tawaran menjadi penyanyi tiba kebetulan pada saat saya baru hendak memulakan pelajaran di kolej.
"Hanya sempat tinggal di kolej selama sehari, saya terus membuatkan keputusan untuk terbang ke Korea Selatan," ujarnya.
Sudah memiliki lima buah album sepanjang penglibatannya dalam bidang nyanyian, ujar Tim, pernah tercetus di hatinya untuk menolak tawaran nyanyian yang diberikan gara-gara kurang keyakinan diri.
"Saya sememangnya seorang yang takut akan perubahan. Apabila terpaksa tinggalkan keluarga, cita-cita dan tinggal seorang diri di Korea membuatkan saya tertanya-tanya betul atau tidak tindakan yang saya ambil.
"Jika jalan yang saya pilih ini salah bagaimana harus saya menghadapinya? Nasib baik, saya dikelilingi oleh pihak pengurusan yang amat menyokong dan keluarga saya juga tidak membantah. Jadi, saya teruskan dan akhirnya hari ini saya berada di Malaysia," luahnya.
Walaupun mempunyai vokal yang bagus namun, cabaran utama yang dihadapi oleh Tim ketika itu sebenarnya adalah untuk menguasai bahasa Korea dengan lancar sebelum melancarkan album sulungnya yang berjudul First Tim pada tahun 2003.
"Masalah terbesar saya sudah tentu bahasa. Saya lahir dan dibesarkan di Amerika Syarikat, jadi saya tidak tahu langsung untuk berkomunikasi dalam bahasa Korea.
"Saya mengambil masa selama dua tahun hanya untuk belajar bahasa Korea dan menyiapkan diri sebelum keluar dengan album.
"Selain itu saya juga menghadapi masalah kejutan budaya ketika mula-mula sampai di Korea. Dalam kalangan orang Asia termasuk warga Korea sendiri, pergaulan antara lelaki dan wanita agak terbatas tidak seperti di Barat.
"Saya sering disalah anggap gara-gara saya suka memeluk atau mencium orang lain hanya untuk mengekspresikan penghargaan dan kegembiraan saya. Sekarang saya sudah faham yang saya tidak boleh berbuat demikian sewenang-wenangnya," cerita Tim.
Indonesia
Sebelum hadir memperkenalkan dirinya di Malaysia, Tim sebenarnya sudah sukses membina populariti di Indonesia.
Buktinya, dia telah berjaya mengumpul ramai peminat di negara tersebut selepas muncul dalam drama siri berjudul Saranghae, I Love You di samping aktres popular Revalina S. Temat dan duet bersama penyanyi Astrid menerusi lagu Saranghamnida.
Bercakap mengenai lakonan, kata Tim, dia cukup bertuah apabila digandingkan dengan aktres popular Indonesia tersebut.
Drama itu turut membantu meningkatkan popularitinya di Indonesia sehingga konsert solo pertamanya di sana dihadiri 8,000 penonton.
"Saya bersyukur kerana diterima dengan baik di Indonesia. Saya bukanlah pelakon tetapi tawaran berlakon di samping Revalina itu datang tepat pada waktunya.
"Saya agak tertekan kerana diberikan watak utama tetapi semuanya berjalan dengan baik dan saya mudah memahami skrip kerana Revalina merupakan seorang 'guru' bahasa Inggeris dan penterjemah yang baik untuk saya," ungkapnya.
Selain menyanyi bersama Astrid, Tim juga telah muncul dengan sebuah lagu sepenuhnya dalam bahasa Melayu yang berjudul Pahitnya Asmara.
"Memang saya lebih senang berbahasa Inggeris tetapi saya juga boleh memahami dan bercakap sedikit dalam bahasa Melayu.
"Bagi saya, bahasa Melayu lebih mudah dipelajari berbanding bahasa Mandarin dan Korea kerana sebutannya sama seperti bahasa Inggeris.
"Bagi bahasa Mandarin dan Korea, saya harus menggunakan lidah dalam sebutan dan nada suara yang berbeza akan memberi maksud yang salah," katanya yang hanya mengambil masa selama sehari untuk merakamkan Pahitnya Asmara.
Mengenai kemungkinan untuk bekerjasama dengan penyanyi Malaysia pula, ujar Tim, dia bersedia untuk itu andai diberikan peluang.
"Saya teringin untuk bekerjasama dengan penyanyi dari Malaysia pada masa hadapan. Buat masa ini, belum ada sebarang perancangan ke arah itu memandangkan ini kunjungan pertama untuk bekerja dan bertemu peminat saya," akuinya.
Tidak hanya berlakon di Indonesia, Tim sedang sibuk dengan teater muzikal Legally Blonde sejak 20 November lalu. Dia berlakon di samping Jessica yang merupakan anggota kumpulan Girl's Generation.
"Kalau diberi pilihan antara nyanyian, lakonan dan teater saya pilih teater muzikal kerana saya boleh lakukan semua perkara yang saya minat dalam satu persembahan.
"Dalam teater muzikal saya boleh menyanyi dan dalam masa yang sama berlakon.
"Jessica juga seorang pelakon yang bagus. Sebelum ini saya tidak begitu mengenalinya, tetapi selepas berlakon bersama saya dapati Jessica seorang yang menarik," ujarnya.
Album baharu 2013
Tempoh 10 tahun dalam industri seni bukan satu tempoh yang singkat buat Tim. Pelbagai cabaran pernah dilaluinya. Pernah hilang sebentar dalam industri seni, kata Tim, kini dia bangkit untuk berkongsi muziknya bersama peminat.
"Jika saya hendak bercakap soal cabaran memang terlalu banyak. Saya pernah berada di puncak dan pernah juga hilang daripada industri seni dalam tempoh yang agak lama.
"Sekarang saya lebih fokus dan tahu apa yang saya inginkan dalam kerjaya dan kehidupan. Cita-cita saya yang belum tercapai adalah merakamkan album penuh dalam bahasa Inggeris dan mengadakan konsert di tempat kelahiran saya iaitu di Philadelphia, Amerika Syarikat.
"Mungkin suatu hari nanti saya akan mempromosikan muzik saya di sana, saya hanya perlu bekerja keras untuk laksanakan impian itu," luahnya.
Mulai tahun 2013, kata Tim, aktiviti kerjayanya akan difokuskan di peringkat antarabangsa dan melahirkan album dalam bahasa Inggeris selepas teater Legally Blonde yang akan tamat pementasannya pada Mac tahun hadapan.
"Pada tahun 2013, fokus akan diberikan kepada aktiviti serta peminat di luar negara. Saya juga akan menghasilkan lagu-lagu bahasa Inggeris. Saya sememangnya tidak sabar untuk menghadapi tahun 2013.
"Album baharu itu akan diterbitkan oleh saya sendiri seperti album-album sebelum ini dan dijangka siap pada tahun hadapan," ujarnya.