BEKAS anggota kumpulan lawak, Sepah ini nampaknya tidak habis-habis dengan kontroversi yang melanda dirinya. Mamat atau nama sebenarnya, Mohd. Noor Murad, 27, pada mulanya dikatakan penyebab perpecahan Sepah walaupun ketika itu populariti kumpulan itu sedang memuncak.
Ketika enak dibuai mimpi sepanjang bercinta dengan pelakon bertudung, Fida Ibrahim pula, hubungan mereka tiba-tiba putus di tengah jalan setelah Mamat didakwa telah memuat naik gambar bekas teman wanitanya itu ke dalam laman sosial yang menampakkan rambutnya.
Bengang dengan perbuatan itu, Fida memutuskan hubungan mereka, walaupun telah memaafkan perbuatan Mamat.
Tidak berhenti di situ sahaja, Mamat terus dihujani dengan kontroversi apabila memuat turun gambar pelakon dan juga Presiden Seniman, Zed Zaidi kemalangan yang dikatakan sedang nazak, sedangkan sebenarnya gambar itu hanyalah babak lakonan Zed dalam sebuah drama.
Terbaharu, portal dan blog hiburan tempatan telah mengaitkan nama Mamat dengan kontroversi yang mendakwa dia telah mencemarkan satu majlis kenduri perkahwinan dengan mencalitkan kek pada muka pengantin lelaki.
Selain itu, Mamat turut dikaitkan dengan isu dirinya yang nyaris dibelasah di sebuah pusat membeli-belah apabila menunggang motosikal berkuasa tinggi sportbike miliknya di kawasan orang berniaga di Johor Bahru (JB), Johor.
Kosmo! menghubungi Mamat untuk mendapatkan kepastian mengenai gosip terbaharunya itu.
Kosmo!: Bolehkah Mamat ceritakan mengenai gosip terbaharu yang melanda diri anda? Adakah ia benar-benar berlaku?
MAMAT: Saya tidak faham macam mana boleh timbul isu mengenai kenduri kahwin itu sedangkan, ia telah setahun berlaku. Majlis itu membabitkan kaum keluarga saya. Kami memang keluarga ‘gila-gila’, benda itu (mencalit kek) tidak menjadi isu pun dan tiada sesiapa yang marah pun.
Bagaimanakah dengan isu nyaris dipukul di Johor Bahru pula?
Demi Allah saya tidak pernah buat perkara itu. Gosip saya naik motosikal Sportbike (di kawasan perniagaan di Johor Bahru) dan ada orang nak pukul memang tidak berlaku. Ia memang mencemarkan maruah saya.
Adakah benar anda memiliki motosikal sportbike seperti yang didakwa?
Memang saya ada sportbike. Satu-satunya pelawak dari Johor Bahru yang ada motosikal itu hanya saya tetapi perkara (gosip) itu tidak pernah berlaku. Kalau saya balik Johor Bahru, saya selalu lepak di Singapura atau tinggal di rumah sahaja.
Anda rasa kenapakah gosip itu boleh timbul?
Saya rasa ada orang yang dengki. Susah saya hendak tutup mulut orang. Saya juga tidak faham kenapa tidak habis-habis orang dengki dengan saya.
Disebabkan banyak kontroversi yang melanda, adakah ia menjejaskan karier anda terutama dari segi tawaran berlakon?
Saya mengaku ia mengganggu periuk nasi saya. Ia memang ketara sangat tetapi nak buat macam mana kalau itu bukan rezeki saya, nasib baik filem Sepah The Movie akan ditayangkan tidak lama lagi.
Jadi, apakah yang anda lakukan sekarang untuk tampung perbelanjaan?
Saya ada bisnes kecil-kecilan di Johor Bahru untuk mengekalkan periuk nasi saya. Ini bermakna saya tiada langsung, ada juga tawaran lakonan dan majlis di Singapura.
Apakah tindakan anda sekarang untuk membersihkan nama?
Saya ingin membina kerjaya saya balik selepas banyak isu yang tercalit. Saya akan berusaha lebih keras selepas ini bagi memastikan kerjaya saya lebih menonjol berbanding kontroversi.
No comments:
Post a Comment