Sunday, December 9, 2012

Hidup solo Zee Avi

Zee Avi

JIKA mahu memuji Zee Avi, sehingga lusa pun tidak pernah selesai. Si manis kelahiran Miri, Sarawak bernama Izyan Alirahman itu mula memasuki industri muzik arus perdana melalui laman YouTube pada tahun 2007 namun populariti spontan itu tidak ke mana jika tidak kerana usaha kerasnya. Mungkin nama Kokokaina sedikit berbau Jepun tetapi itulah Zee Avi sebelum dirinya kini.
Anak sulung daripada dua adik-beradik ini mula menghirup udara asing sendiri pada usia 17 tahun apabila melanjutkan pelajaran di London, Britain. Kemudian dia beralih angin ke Amerika Syarikat (AS) untuk mengejar rezeki, menjadi penghibur dan pengkarya.
Itu langkah mula dia belajar hidup sendiri. Menguruskan diri dan kehidupan tanpa ada bimbingan fizikal daripada keluarga.
"Ibu menyokong keputusan saya tetapi dengan batasan. Katanya, jaga diri kerana saya sendiri di tempat orang. Pesan ibu, jangan lupakan rumah dan sentiasa ingat dari mana saya berasal. Keluarga saya berpandangan terbuka, mereka memberi saya kebebasan untuk menggali kehidupan," senyumnya yang mengerti tahap dalam kehidupan kini pada usia 27 tahun.
Semua jaringan hidup dan laluan itu disusun semula dalam nafas pengalaman. Dia pulang ke tanah air bulan lalu, lebih tepat lagi ke Sarawak untuk berkongsi segalanya. Terpilih menjadi jurucakap motivasi atas tugasan duta pelancongan negeri Sarawak, Zee Avi berbahagi rasa dan makna kehidupan kepada remaja di sana.
"Saya mahu menjadi semula jadi dan tidak terlampau memikirkan tentang gemuruh. Saya bercakap pada nada yang sesuai. Bercerita tentang sejarah Sarawak khasnya dan pengalaman saya kepada mereka," katanya saat ditanya soal gemuruh bercakap berbanding menyanyi di hadapan penonton.
Proses kreatif Zee Avi
Tambah Zee Avi, gemuruh itu bagus tetapi dia lebih gemuruh untuk membikin sebuah album dalam bahasa Melayu. Manakan tidak, bahasa Inggeris yang keluar daripada bibirnya memecut laju tetapi dia tetap menyimpan azam untuk menghasilkan album dalam bahasa ibunda. Namun ujar Zee Avi, hasrat ini terpaksa ditahan dulu sehingga selesai album ketiganya kelak.
"Arah tuju album ketiga saya masih belum muktamad. Masih kabur. Semuanya menggoda minda dan saya harus keluarkan," luahnya yang mahu memberi fokus lebih kepada bunyi yang berbeza.
Tambah Zee Avi, penghasilan lagu-lagu album terdahulu dilakukan di atas bot, di tengah laut di Florida. Selama dua minggu dia berada dalam atmosfera itu, menghasilkan lagu dan memancing.
"Saya perlu berada dalam zon sebegitu untuk menghasilkan karya. Saya mahu memberi mesej tentang apa yang saya lalui kepada khalayak. Hidup kita rasa lebih bermakna dan hebat apabila kita tahu ramai insan yang menyokong. Saya menulis tentang patah hati dan kesedihan tetapi di hujungnya saya memberitahu bahawa ia semua akan menjadi okey," senyumnya yang sedang bermesra dengan kehidupan.
Zee Avi yang dikenali dengan irama gitar ukulele itu sudah menghasilkan album Zee Avi (2009) dan Ghostbirds (2011) kini melalui empat fasa untuk sesebuah proses rakaman.
"Saya melalui fasa pengalaman, penulisan, membentuk dan merekod," jelasnya yang mengagumi R. Azmi dan Ahmad Jais.
"Lirik mereka jujur dan santai. Rasanya sangat bagus," tambahnya yang gemarkan lagu Nasib Penyanyi, Serba Salah dan Hitam Manis.
Kepulangannya ke tanah air buat seketika juga membuahkan satu kolaborasi yang cukup segar. Gandingan tiga nama iaitu Aizat dan Zee Avi dengan dibantu Anas Amdan dijangka bakal membuahkan single tidak lama lagi.
Riak wajah Zee Avi cukup ceria sewaktu bercerita tentang Aizat dan abangnya Anas. Jelas Zee Avi bertembung dengan sebuah pertemuan yang istimewa sepertinya hubungan kimia yang mengalir dan menyenangkan.
"Saya mendengar lagu Aizat iaitu Sungai Lui hingga menangis. Lagu itu indah. Untuk seseorang yang mendengar banyak muzik dan dengan kepelbagaian, saya katakan lagu itu cukup semula jadi. Mereka berdua juga baik dan ada magis. Dengan Anas, saya rasa ada keserasian yang baik. Kami selesa bekerjasama," senyumnya yang sudah bertemu buku dan ruas di Kuala Lumpur.
Kegemaran Zee Avi
Ketika ditanya berhubung senarai lagu kegemarannya kini, Zee Avi tersenyum sebelum mempamerkan iPodnya.
"Saya suka Annete Hanshaw. Saya juga meminati lagu-lagu disko seperti Earth, Wind and Fire. Begitu juga Euthiopia, juga Andrew Bird. Aizat Amdan pun saya minat," katanya sambil menekup ketawa.
Masuk ke dalam pengalaman hidup yang sudah terkandung 1001 warna dan tempat, Zee Avi gembira ketika ditanyakan perihal konsert dan hal-hal yang mendewasakannya.
"Saya masih teringat konsert saya di Singapura. Sewaktu lagu Kantoi disampaikan, saya tidak boleh dengar suara saya sendiri kerana penonton turut menyanyi bersama. Saya juga pernah membuat persembahan di Troubadour di mana Elton John dan Bob Dylan pernah beraksi di tempat yang sama.
"Saya juga menjadi pembuka konsert Jack Johnsson. Begitu juga terlibat dengan Liliath Fair 2010 bersama Tegan & Sara, Kelly Clarkson dan Sara Bareilles. Itu semua pengalaman yang sangat berharga," ulasnya namun mengakui tempat terbaik adalah di sisi ibunya.
Membanggakan juga untuk seorang penyanyi dan penulis lagu seperti Zee Avi apabila lagu-lagunya pernah dimasukkan dalam drama bersiri terkenal Private Practice, Parenthood dan Gossip Girl.
Untuk Zee Avi, ini semua berjalan atas restu dan doa keluarganya. Luahannya di hujung temuramah, dia mengaku satu perkara yang mungkin ramai orang tidak tahu tentang dirinya adalah dia merupakan warganegara Malaysia dan anak kelahiran Miri, Sarawak.
"Ada yang bertanyakan adakah saya menyanyikan lagu Siboh Kitak Nangis untuk membuktikan saya orang Sarawak. Aneh kerana tiada apa yang perlu dibuktikan. Saya bangga menjadi orang Malaysia. Pulang ke Kuala Lumpur, laksa sarawak yang pertama saya cari. Saya makan ulam dan minum jamu," senyumnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1209&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2EZNQzoQA 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment