Thursday, December 20, 2012

Shah Iskandar suka Rozita Che Wan


Sejak bergelar artis, pelakon cantik Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, 38, sudah acap kali dikaitkan mempunyai hubungan dengan beberapa orang lelaki, kebanyakannya yang lebih muda berbanding usianya.
Terkini, dia dikatakan sedang menjalin hubungan mesra dengan seorang pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar Mahfuz.
Menariknya, gara-gara gosip tersebut, timbul pula cerita yang mengatakan timbul perselisihan faham antara Iskandar dengan pelakon Zain Saidin, 28, yang sebelum ini merupakan antara individu yang rapat dengan Che Ta sehingga mereka sering digosip mempunyai hubungan istimewa.
Namun begitu, Shah, 29, yang ditemui pada acara Viewing Party perlawanan Piala Suzuki AFF 2012 antara Malaysia dan Thailand anjuran TV3 yang diadakan di Rasta, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini, mempunyai jawapan tersendiri tentang gosip tersebut.
Sementelah, dia mengakui pernah mempunyai hubungan dengan wanita yang lebih berusia berbanding dengan dirinya.
Kosmo!: Bagaimanakah boleh timbul cerita yang mengatakan Shah bercinta dengan Che Ta?
SHAH ISKANDAR: Cerita sebegini boleh timbul kerana kami sering berlakon di bawah produksi yang sama iaitu Zeel Production. Sehingga kini kami sudah berlakon tiga kali berturut-turut bersama iaitu menerusi drama Kiah SpyAnak Ikan dan Kiah Ke Jepun.
Jadi, benarkah dakwaan yang mengatakan kamu berdua bercinta?
Sudah tentu ia tidak benar kerana hubungan rapat kami hanya di lokasi penggambaran.
Saya rasa cerita ini timbul apabila ada pihak yang salah anggap terhadap kemesraan kami, tetapi pada hakikatnya hubungan kami tidak lebih daripada sekadar rakan sesama pelakon.
Lagipun buat masa sekarang saya belum terfikir lagi untuk bercinta dengan sesiapa kerana mahu memberikan tumpuan terhadap karier terlebih dulu.
Bagaimanakah pula hubungan Shah dengan Zain Saidin?
Setakat ini hubungan saya dan Zain juga tiada masalah dan kami tidak pernah berselisih faham apabila cerita ini timbul. Kami menganggap ia tidak lebih daripada sekadar gosip.
Adakah Che Ta memiliki kriteria yang menjadi idaman Shah?
Secara jujurnya saya akui Che Ta memang ada memiliki ciri-ciri tersebut, antaranya dia merupakan seorang wanita yang sangat periang, terutamanya apabila dia bercakap dalam loghat Kedah sehingga membuatkan saya terhibur semasa berada di lokasi.
Pada masa yang sama, saya juga melihat dia seorang wanita yang sangat tenang. Sebagai contohnya, apabila gosip mengenai dirinya mempunyai hubungan dengan seseorang, saya lihat dia tenang berhadapan dengan situasi tersebut dan tidak cepat melatah.
Apabila berbincang tentang gosip yang melanda kami berdua, dia sekadar ketawa dan enggan melayan cerita tersebut.
Adakah Shah mengelak untuk menjalinkan hubungan cinta atau bertemu jodoh dengan wanita yang lebih berusia?
Apabila bercakap tentang cinta dan jodoh, saya tidak kisah sama ada pasangan saya itu lebih muda atau berusia daripada saya.
Sebelum ini saya pernah bercinta dengan wanita yang lebih berusia semasa di Singapura dahulu.
Paling penting, dalam sesebuah perhubungan itu perlu ada persefahaman antara satu sama lain dan soal umur sepatutnya tidak perlu timbul.

No comments:

Post a Comment