Wednesday, October 31, 2012

Peminat Sazzy Falak Bertambah Kerana Perniagaan 'Online'


PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon Sazzy Falak tidak menyangka masih mempunyai kelompok peminat yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan bukan hanya golongan “urban” atau penduduk bandar sahaja seperti yang dianggap sesetengah pihak.
Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak, 31, berkata, walaupun kurang muncul di televisyen, dia beranggapan penambahan peminatnya mungkin berpunca daripada perniagaan fesyen secara dalam talian (online) iaitu Street Fashion by Sazzy Falak (SFbySF) yang dikendalikan
"Syukur Alhamdulillah, walaupun jarang mengambil tawaran berlakon atau mengacara di televisyen, tetapi orang masih lagi kenal saya.
"Mungkin juga kerana perniagaan SFbySF yang dijalankan, ia sedikit sebanyak membantu mengekalkan nama saya menjadi sebutan ramai," katanya.
Sazzy ditemui pada majlis pelancaran program televisyen OMG di Restoran The Bee, Publika, dekat sini, Selasa.
Tambah pelakon filem Tolong! Awek Aku Pontianak ini, dia sebenarnya rindu untuk beraksi menerusi lakonan drama, tetapi jangka masa penggambaran yang agak lama menyukarkannya menerima tawaran yang diberi.
"Sebenarnya saya sering mengacara untuk pelbagai majlis korporat serta perkahwinan dan biasanya khidmat saya sudah ditempah seawal satu bulan.
"Dan apabila ada beberapa produksi yang menawarkan saya berlakon dengan tempoh masa yang lama, saya terpaksa tolak,” tuturnya.
Sementara itu, Sazzy bakal muncul di saluran DIVA Universal menerusi program OMG yang dikendalikannya bersama Razif Hashim.
Beritahu Sazzy, program bual bicara itu merupakan sebuah rancangan terbitan tempatan yang pertama disiarkan di saluran antarabangsa tersebut.
"Saya begitu teruja apabila dapat mengendalikan sebuah program yang akan ditayangkan di saluran antarabangsa.
"Tambah pula, teman saya sendiri, Razif mengacara bersama dan ia membuatkan kami serasi mengendalikan program tersebut," ujarnya.
Program itu mengupas topik terkini melibatkan kerja, keluarga, persahabatan dan perhubungan dengan memperkenalkan tiga segmen utama iaitu 'OMG Celebrity', 'OMG Miss Chilled' dan 'Oh My Gaji'.
Artis-artis jemputan seperti Lisa Surihani, Jaclyn Victor, Mizz Nina, Hannah Tan dan Deborah Henry turut mewarnai program tersebut.
OMG yang bersiaran sebanyak 13 episod itu akan bersiaran bermula 5 November ini, setiap Isnin, pukul 7.30 malam di saluran berkenaan.

No comments:

Post a Comment