KUALA LUMPUR: Pelakon Scha Al-Yahya tidak sabar untuk bergelar ibu dengan mengamalkan beberapa tip agar zuriat untuk kebahagiaan rumah tangganya bersama Awal Ashaari.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 29, berkata, meskipun menganggap rezeki itu hanya ditentukan Tuhan, namun dia turut memainkan peranan berusaha ke arah itu kerana tidak mahu menunggu lama untuk bergelar ibu.
"Terus terang cakap, saya memang teringin untuk mendapatkan zuriat. Siapa yang tak nak bukan?
"Sebagai seorang yang pentingkan penjagaan kesihatan, saya ada membuat beberapa ujian saringan dan menjaga pemakanan yang betul serta mengamalkan tip-tip yang disarankan doktor walaupun tidak membuat sebarang perancangan untuk dapatkan anak.
"Apa-apa pun saya serahkan semua itu kepada Tuhan dan sekiranya tiada rezeki, sekurang-kurangnya saya berusaha," katanya.
Tambah Scha, melihat usianya yang semakin meningkat, dia juga tidak akan melengah-lengahkan masa untuk bergelar ibu, namun tidak terlalu memaksa diri untuk mengelak daripada tertekan.
"Doktor sudah pesan, berada dalam keadaan tertekan menyukarkan kita untuk hamil. Selain itu saya turut bersenam agar diri sentiasa cergas," ujarnya.
Sementara itu, Scha kini menjadi duta kepada produk minyak wangi Avon termasuklah haruman yang terbaru iaitu City Rush.
Kata pelakon filem Awan Dania The Movie ini, dia telah mengambil alih tugas pelakon Fazura yang juga menjadi jurucakap minyak wangi Avon sebelum ini sejak menandatangani kontrak pada April tahun lalu.
"Selepas menandatangani kontrak, saya telah ke Filipina pada tahun lalu untuk melakukan sesi penggambaran foto kesemua produk minyak wangi Avon termasuklah City Rush.
"Menarik tentang City Rush, ia dicipta untuk wanita yang bekerjanya dan mempunyai personaliti yang yakin pada diri sendiri.
"Ia juga merupakan salah satu haruman Avon yang saya gemari selain Herve Leger dan Far Away," ujarnya
Minyak wangi City Rush yang berharga RM99 boleh didapati di mana-mana butik kecantikan Avon seluruh negara.
No comments:
Post a Comment