PETALING JAYA: Pengacara Jimmy Shanley Norjahan Shah Saleh,30, enggan mengulas mengenai ikatan perkahwinan yang dibina dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy,24, yang dikatakan semakin rapuh apabila dia dilihat muncul di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, Selangor, Isnin.
Jimmy dalam satu kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada mStar Online berkata, dia tidak dapat memberi sebarang komen kerana mahu menjaga hati keluarga mertua dan pihak-pihak tertentu berhubung perkara terbabit.
“Saya tahu isu rumah tangga saya masih ramai yang buat spekulasi. Saya minta maaf kepada semua wartawan. Bukan saya tak mahu kongsi masalah ini tetapi saya harus jaga nama naik keluarga mertua dan pihak-pihak tertentu,” katanya, Isnin.
Jelas Jimmy dalam SMS tersebut, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan suami isteri.
Katanya, sudah menjadi adat sesebuah perkahwinan itu mesti ada pasang surutnya tetapi dia menganggap apa yang dilaluinya hari ini adalah ketentuan Allah.
“Mungkin juga dugaan awal yang kami lalui ini akan menguatkan lagi ikatan perkahwinan kami pada masa akan datang,” ujarnya.
Bagaimanapun pengacara Trek Selebriti ini berharap semua peminat dan orang ramai dapat berdoa agar perkahwinan mereka itu akan terus kukuh dan kekal buat selama-lamanya.
mStar Online difahamkan, Jimmy hadir ke mahkamah bersama peguamnya bagi menyelesaikan tuntutan nusyuz atau perintah kembali taat yang dibuat terhadap isterinya sebelum ini.
Bagaimanapun isterinya dikatakan tidak menghadirkan diri sehingga menyebabkan kes berkenaan terpaksa ditunda sehingga Februari depan.
Kata Jimmy lagi, dia akan memaklumkan kepada pihak media sekiranya terdapat apa-apa perkembangan positif dan menggembirakan mengenai rumah tangga mereka itu.
Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, Selangor dengan hantaran sebanyak RM31,186, bersempena dengan tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986.
Majlis resepsi pula diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
No comments:
Post a Comment