KUALA LUMPUR: Selepas kontroversi tidak dibenarkan memegang gitar bagi sesi fotografi profil Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25), penyanyi Ana Raffali sekali lagi dipalit dengan kontroversi apabila kemenangannya sebagai juara AJL25 dipertikai.
Ramai pihak yang mempersoalkan kemenangan lagu Tolong Ingatkan Aku karya lirik dan ciptaan Ana sendiri setelah rancangan berprestij itu melabuhkan tirai di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam Ahad lalu.
Kejayaan Ana yang merangkul hadiah wang tunai sebanyak RM35,000 itu mengundang suasana yang kurang manis sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai pemenang apabila kebanyakan penonton di stadium berkenaan bangun meninggalkan kerusi masing-masing.
Ia seperti isyarat peminat dunia hiburan tidak dapat menerima keputusan juri yang diketuai M.Nasir itu mengenai pemilihan berkenaan.
Lebih dahsyat lagi, semasa sidang media diadakan ada wartawan yang melabelkan lagu berkenaan umpama sampah dan mempersoalkan kenapa ia harus diangkat sebagai pemenang.
Sebaliknya, anak didik komposer Aidit Alfian ini menerima keputusan juri yang sebulat suara membuat keputusan memilihnya sebagai pemenang.
Ana tidak kecewa dengan keceman orang ramai kerana dia tidak bersalah sebaliknya menerima keputusan itu dengan rasa syukur.
“Peluang memenangi juara lagu AJL25 tidak akan dapat di mana-mana. Saya berharap lagu Tolong Ingatkan Aku untuk menang tetapi tidak fikir dipilih terlalu tinggi seperti ini.
“Mungkin lagu itu tidak popular dan tidak selalu dimainkan di radio tetapi kita perlu melihat sejauh mana lagu itu digambarkan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kemenangan ini dan akan terus berkarya dalam industri muzik,” katanya ketika sidang media selepas acara itu berlangsung.
Bercerita lanjut tentang lagu berkenaan, Ana akui lagu itu sebagai mengingati arwah kakaknya yang meninggal pada 9 Januari 2003.
“Saya menulis lagu itu sebagai satu peringatan untuk orang yang tersayang. Benci dan marah merupakan satu lumrah dalam kehidupan.
“Saya akan berkongsi hadiah wang tunai itu dengan orang yang banyak berjasa kepada saya selain ingin mengadakan sedikit jamuan.
“Trofi yang saya menangi ini akan lebih mengingatkan saya tentang kenapa saya memilih muzik sebagai karier sekali gus sebagai lambang keseriusan dan perjuangan saya dalam bidang muzik,” ujarnya.
Ana juga berharap penganjur konsert akan lebih menghargai penyanyi dan pemuzik tempatan pada masa akan datang.
Apa kata pemenang lain?
Dalam pada itu, pemenang lain dalam AJL25 turut meluahkan perasaan syukur dan gembira mereka.
Naib juara: Drama King ciptaan Taja serta lirik oleh Tun Teja yang dinyanyikan oleh Black dan Meet Uncle Hussain sekali gus melayakkan mereka membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000
Taja- "Lagu Untukmu dan Drama King merupakan lagu yang berlainan. Kami tidak menolak untuk berkolaborasi dengan Black lagi selepas ini.
"Ramai yang mengatakan lagu ini sebagai lagu sindiran tetapi kami tak nafikan. Semuanya bergantung kepada konklusi masing-masing. Seperti kata Ana Raffali, kita luahkan apa yang ingin diluahkan dalam hati melalui lagu."
Tempat ketiga: Noktah Cinta ciptaan Ajai dan lirik oleh Sheikh Qalam nyanyian Hafiz yang turut berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai RM12,000
Ajai - "Muzik seperti fesyen. Memang betul seperti kata M. Nasir, setiap kali AJL, mesti ada ketidakpuasan tetapi muzik sangat halus untuk orang seni bentangkan.
"Pada saya, menang atau kalah, saya lihat pada generasi baru yang boleh membuat lagu sendiri. AJL merupakan platform yang bagus dan kita juga memerlukan populariti artis."
Vokal terbaik: Hafiz menerusi lagu Noktah Cinta (trofi dan wang tunai RM10,000)
Hafiz- "Syukur, ini merupakan kali pertama saya mendapat tempat ketiga dan vokal terbaik dalam AJL25. Terima kasih kepada komposer dan penulis lirik. Saya sangat bangga dengan kemenangan ini."
Persembahan terbaik: Faizal Tahir menerusi lagu Hanyut (trofi & wang tunai RM10,000)
Faizal Tahir: "Ramai yang cakap tahun siapa pada setiap kali ada AJL tetapi sebenarnya peminat artis itu yang akan berkata begitu. Sebenarnya AJL adalah tahun untuk semua orang dan tidak patut dipandang rendah.
"Saya anggap, menang atau kalah, tidak menjadi masalah besar dalam hidup. Sebagai pemuzik, kita mahu muzik yang menyentuh jiwa dan sampai kepada penonton.
"Paling penting, saya puas hati dengan persembahan saya dan persembahan peserta lain. Saya puji AJL25."
No comments:
Post a Comment