Cinta kian mekar, namun wanita ini terus berahsia siapa jejaka bertakhta di hatinya
DARI riak wajah dan bahasa tubuhnya, dapat dihidu bahawa aktres jelita ini sedang hangat dilamun cinta. Sepanjang wawancara bersamanya berlangsung, senyuman manis tidak pernah lekang dari bibir limau seulas miliknya itu. Masih ramah, sedikit nakal dan suka mengusik, Nur Fazura yang mula dikenali menerusi filem Bicara Hati ini seakan menterjemahkan kepada khalayak, dirinya kini dalam fasa mengulit bahagia.
Malah sewaktu ditemui pada majlis Green Cheongsam Showcase yang berlangsung di The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru ini, berkali-kali dia menegaskan bahawa tahun 2011 yang sudah hampir sebulan menyingkap tirainya bakal membawa kebahagiaan dan kegembiraan buatnya.Ditanya apakah keterujaan itu ada kaitan dengan pengumuman tarikh perkahwinan seperti yang diharapkan kebanyakan pihak, Fazura dengan segera menafikannya.
"Apa yang boleh saya lakukan hanyalah berdoa semoga saya mendapat jodoh yang baik. Jangan risau, andai saya ditakdirkan bertemu jodoh, saya pasti akan berkahwin juga,” ujar Fazura sebagai mengulas khabar angin kononnya dia bakal bersara daripada bidang lakonan kerana mahu mendirikan rumah tangga.
Meskipun ramai yang sedia maklum dengan siapa bintang filem Gol dan Gincu ini menjalinkan hubungan, namun untuk berlaku adil pada empunya diri, soalan itu tetap diajukan kepada pelakon cantik berkenaan. Biarlah nama si jejaka keluar daripada daripada mulut aktres kelahiran Pahang Darul Makmur ini sendiri.
Namun seperti biasa, tiada jawapan pasti yang diterima. Sebaliknya, dengan niat berjenaka, dia menyebut nama-nama aktor kacak Hollywood yang disifatkan sebagai kekasihnya.
Begitulah Fazura, begitu kemas menyimpan rahsia dan amat berhati-hati apabila berbicara soal peribadi. Seperti yang pernah disuarakan sebelum ini, dia memang tidak mahu lagi kisah peribadinya menjadi perbualan ramai. Justeru, tegasnya, tahun ini ialah tahun untuk dia mencari duit sebanyak mungkin, dengan cara mengusahakan sebuah projek yang ada kaitan dengan dunia fesyen.
“Bagaimanapun, sebelum sampai ke fasa itu, biarlah saya tumpukan sepenuhnya perhatian saya pada kerjaya lakonan dan juga projek saya sendiri. Insya-Allah, jika segala-galanya berjalan lancar, saya akan muncul dengan sebuah produk yang ada kaitan dengan pakaian,” ujar Fazura yang enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai projek terbarunya itu.
Bukan kerana mahu bersara tetapi kata Fazura, dia kini sudah berada pada tahap seorang yang amat selektif dalam memilih watak. Dan disebabkan sikap memilihnya itu jugalah, jarang wajahnya kelihatan di layar perak mahupun kaca televisyen.
“Saya masih banyak menerima tawaran, tapi balik-balik saya ditawarkan watak yang sama, yang pernah saya lakukan sebelum ini. Kalau boleh saya mahu watak lain. Contohnya, watak yang nampak baik tapi sebenarnya seorang pembunuh,” katanya yang bakal muncul dengan sebuah filem terbitan Red Communication Sdn Bhd.
Bercerita lanjut mengenai karier lakonannya, Fazura berkata, dia juga akan berangkat ke Tanah Suci pada 20 Februari depan kerana mahu menjalani penggambaran drama arahan Erma Fatima, Tahajud Cinta dan Kitab Cinta.
“Memang sudah lama saya berhajat untuk ke Makkah untuk menunaikan umrah. Alhamdulillah, permintaan saya dimakbulkan Tuhan. Kali pertama saya mengerjakan umrah ialah ketika usia saya 12 tahun. Sebelum ini, saya pernah mendapat undangan Datin Paduka Umie Aida untuk sama-sama mengerjakan umrah, tapi pada masa itu keadaan tidak mengizinkan
“Lagipun selain mahu mengerjakan umrah, saya menerima tawaran ini kerana ia memerlukan saya bertudung, iaitu satu watak yang belum pernah saya lakonkan,” kata pemenang anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17) dan terbaru, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin (ASK) 2010.
Jangan perlekeh artis
MELIHAT kepada penampilannya yang sentiasa bergaya dengan pelbagai jenama antarabangsa, ramai yang membuat andaian Fazura hidup senang lenang kerana mempunyai teman lelaki yang kaya-raya. Namun, tuduhan nakal itu disangkal sekeras-kerasnya. Sambil memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya menghentikan tohmahan, Fazura juga meminta khalayak tidak memandang rendah golongan artis.
“Entah mengapa masyarakat hari ini begitu mudah menilai golongan artis. Jika nampak artis itu bergaya lebih sedikit dan memandu kereta mewah, mereka akan terus melabelkan artis itu ditaja.
"Jangan ingat golongan artis ini ‘sengkek’ sangat. Kami ada pendapatan sendiri. Sebenarnya, ramai artis kita yang memang mewah hasil pendapatan mereka dalam bidang seni, seperti tawaran berlakon, menyanyi dan mengacara yang tak pernah putus. Tapi biasalah, masyarakat kita memang suka berprasangka,” luah Fazura.
Menurut Fazura lagi, disebabkan tanggapan seperti itulah dia mahu terus bekerja walaupun selepas bergelar isteri.
“Mungkin tidak selamanya saya mahu menjadi pelakon. Tapi, ia tidak bermakna saya mahu goyang kaki di rumah. Jika saya mendirikan rumah tangga kelak, saya tetap akan berkerja, dengan membuka perniagaan sendiri. Saya tak mahu berharap seratus peratus kepada suami. Lagipun saya sudah biasa pegang duit sendiri. Saya sudah mula berdikari sejak usia saya 17 tahun lagi,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment