Monday, December 6, 2010

98 Adegan Awan Dania 3 Di Australia


AWAN Dania musim ke tiga (Awan Dania 3) yang sebelum ini menjadikan Korea sebagai lokasi penggambaran diteruskan apabila Perth, Australia dipilih sebagai destinasi berikutnya bagi memperhebatkan pembikinan drama tersebut.

Penggambaran yang diadakan pada hujung November lalu diatur dengan padat melibatkan kru serta barisan pelakon hebat iaitu Scha Al-Yahya, Jehan Miskin, Gambit dan Zed Zaidi.

Mingguan mStar yang berkesempatan menyertai penggambaran selama dua hari bermula 21 November itu menyaksikan adegan-adegan menarik yang dilakonkan di Kings Park.

Satu per satu adegan yang dirakamkan tidak perlu mengambil masa lama kerana kemampuan pelakon membawa watak mereka dengan berkesan sehingga memudahkan penggambaran dijalankan termasuklah apatah lagi dengan bantuan pihak agensi pelancongan di Australia.

Antara babak yang sempat disaksikan Mingguan mStar semasa penggambaran di Kings Park melibatkan Dania lakonan aktres Scha Al-Yahya manakala Zed Zaidi selaku Kapten Iman.

Selain itu, babak di Hay Street dan Murray Street pula melibatkan Gambit Saifullah yang memegang watak Akmal Tan Sri Akbar dan juga Scha.

Agak sukar menceritakan adegan yang dilakonkan itu kerana pengarahnya, Dinesh Samby gemar merakamkan sedikit demi sedikit paparan melibatkan lokasi yang berlainan.

Bagaimanapun pelakon dan kru bernasib baik kerana bas pelancongan yang disediakan membantu membawa mereka untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Untuk adegan di Perth itu, ia mengisahkan Kapten Iman yang bekerja sebagai juruterbang penerbangan komersial telah menaruh minat untuk memikat Dania. Namun Dania selesa menganggap Iman sebagai kawan. Dalam menghadapi konflik cinta tiga segi itu, Akmal, seorang lelaki kasanova yang selama ini mempunyai persepsi buruk terhadap Dania berusaha untuk memenangi hati wanita itu.

Dinesh selaku pengarah drama itu mengakui Awan Dania 3 menghidangkan jalan cerita yang agak klise dan tidak lari dari jalan cerita yang pernah ditonton dalam siri-siri sebelum ini.

Ini kerana, ia masih mengekalkan konflik melibatkan cinta tiga segi antara Dania, Akmal dan Benjy (Jehan Miskin). Lantas, sebab itu lokasi penggambaran di luar negara dirasakan sebagai salah satu kelainan bagi menyampaikan latar belakang cerita dunia pramugari Dania itu.

Kata Dinesh, sebanyak 70 peratus penggambaran dilakukan di luar Malaysia manakala 98 adegan yang terdapat di dalamnya merangkumi semua lokasi di Perth.

“Dengan sokongan pihak pelancongan di Perth, kami berjaya mendapatkan bantuan untuk menjalani penggambaran di semua tempat di Perth,” kata Dinesh yang melakukan penggambaran di negara itu pada 20 November sehingga 29 November lalu.

Selain Australia dan Korea, penggambaran drama itu dijangka akan dilakukan di Jordan selepas ini.

No comments:

Post a Comment