Get widget

Friday, June 21, 2013

Shila Amzah Lalui Pengalaman Dipinggirkan Kerana Bertudung

PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah mengakui tidak mempunyai ramai kenalan ketika mula-mula menetap di Shanghai, China sehingga menyebabkan dia rasa terpinggir dan hidup sunyi.
Shila, 23, berkata, perkara itu terjadi disebabkan ada di antara mereka yang takut untuk berkawan dengannya kerana penampilannya yang bertudung.
"Masa mula-mula berada di Shanghai memang saya tidak ramai kawan kerana mereka takut untuk mendekati saya yang bertudung sehingga menyebabkan saya rasa terpinggir.
"Oleh sebab itu juga saya terpaksa 'ringan mulut' dengan menegur orang-orang di sana supaya mereka tidak salah faham hanya kerana imej saya bertudung," jelasnya ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Jumaat.
Tambah Shila, dia juga banyak menceritakan mengenai agama Islam dan budaya orang Melayu kepada kenalan baharu sehinggalah mereka mula mesra dengannya.
"Alhamdulillah saya sekarang semakin ramai kawan di Shanghai dan jika mempunyai masa terluang kami akan menghabiskan aktiviti bersama-sama di taman tema dan mereka sangat baik dengan saya," katanya.
Pun begitu, Shila mengakui pernah berasa tertekan tinggal bersendirian di negara itu sehingga menyebabkan dia beberapa kali menangis selain bebanan kerja daripada pihak pengurusannya.
Shila bagaimanapun berkata, dia bersyukur apabila mempunyai seorang pembantu peribadi yang menjadi tempat dia meluahkan perasaan setiap kali mempunyai masalah kerja atau rindukan keluarga di Malaysia.
"Beberapa kali saya menangis kerana tekanan kerja yang terlalu kuat daripada pihak pengurusan di sana tetapi apabila mengalirkan air mata saya jadi lega.
"Saya bertuah ada pembantu peribadi yang boleh saya kongsi masalah dan dia sentiasa menjadi pendengar setia," katanya.
Bagaimanapun kata Shila, tekanan itu tidak membuatkan dia berputus asa membina kerjaya di sana sebaliknya pengalaman itu membuatkan dia lebih tabah dalam mengharungi cabaran.
"Kejayaan itu tidak datang dengan mudah dan kita perlu berusaha keras. Saya tidak berputus asa cuma kadang kala berasa tertekan kerana berada jauh daripada keluarga," katanya.
Dalam perkembangan lain pihak pengurusannya telah memberikan Shila beberapa tugasan tertentu untuk dilaksanakan sebelum dia muncul dengan album sulungnya nanti.
Jelas Shila, selain perlu menurunkan berat badan, dia perlu belajar bahasa Mandarin dan lagu baharu untuk mengadakan persembahan yang telah diaturkan.
"Malah saya perlu belajar lagu opera berjudul Time to Say Goodbye untuk persembahan dan ia satu cabaran buat saya kerana tidak pernah cuba menyanyikan lagu genre berkenaan,” katanya yang bakal melancarkan album berbahasa Melayu kelima dalam masa terdekat dan album Mandarin pada bulan Ramadan nanti.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More