Saturday, January 21, 2012

Nicki Minaj Langkah ke Dunia Fesyen


SEJAK kemunculan album pertama, Pink Friday pada tahun 2010, Nicki Minaj meraih perhatian umum bukan sahaja kerana muzik hip hop yang ditonjolkan, tetapi juga gaya fesyen warna-warninya turut diminati.

Tanpa membuang masa, anak kelahiran Trinidad itu terus melangkah dengan cuba menembusi dunia perniagaan fesyen pula.

Pengurus peribadi Nicki, Cortez Bryant berkata, sebenarnya ia bukanlah satu perkara yang baru buat pelantun lagu Super bass itu kerada dia sudah pun memiliki produk gincu dan pengilat kuku menerusi jenama M.A.C dan OPI.

"Rasanya, memulakan perniagaan fesyen amatlah wajar untuk Nicki dan kini dia merancang ke New York untuk melancarkan jenama pakaiannya sendiri," katanya kepada ContactMusic.com.

Dikhabarkan, Nicki kerap bertemu dengan pengarang majalah Vouge, Anna Wintor untuk mendapatkan pandangan mengenai perniagaan fesyen yang diusahakannya itu.

Janda Hattan dianiaya


PADA mata khalayak, Farah Othman pernah dikenali sebagai janda Hattan. Perkahwinan dan kebahagiaan yang dibina bersama penyanyi lagu Biso Bonar itu hanya mampu bertahan 63 hari sahaja. Dinikahi pada tarikh cantik 11 November 2011, talak satu kemudian jatuh ke atas usahanita berjaya itu pada tarikh 12 Januari 2012 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Impak perpisahan dengan jangka perkahwinan pendek itu benar-benar menimpa Farah Ashikin. Dia terpalit pelbagai spekulasi yang memberi kesan kepada diri dan kerjayanya. Bertemu Farah di butik Amir Luqman yang merupakan rakan kongsinya, Farah meminta ruang untuk menerangkan spekulasi yang bergerak dalam atmosfera percakapan khalayak. Malah, ibu kepada dua orang anak ini juga sempat memberitahu tentang onar yang menimpa dirinya.

"Pertama sekali saya mahu membetulkan spekulasi yang menyatakan Hattan ceraikan saya kerana gambar saya yang disiarkan di Internet. Itu tidak ada kena mengena. Perpisahan ini lebih kepada tiada jodoh dan persefahaman," ujar pengarah urusan Into Equity ini dan menegaskan bahawa perkahwinannya dan Hattan mendapat restu keluarga.

"Saya rasa keadaan sekarang sangat tough. Saya perlu bersuara. Ya, saya akui gambar yang disebarkan adalah gambar saya. Salah tetap salah tetapi gambar itu adalah gambar lima tahun dahulu. Saya perlu bersuara sebab beberapa blog memainkan isu saya dan saya anggap tidak relevan," ujar Farah yang menganggap tidak adil gambarnya disebarkan sedangkan dia bukanlah seorang selebriti.

"Saya juga ingin membetulkan bahawa saya tidak pernah diceraikan talak tiga seperti yang pernah diuar-uarkan. Saya meletakkan nyawa saya kepada perkahwinan itu dan saya jujur terhadap perkahwinan," sambungnya yang bersikap optimistik dalam menjalani rencah kehidupan kini.

"Saya ada maruah dan saya ada keluarga. Saya sangat melindungi anak-anak saya. Bila tersebar gambar berkenaan memang saya malu dan reputasi saya jatuh," luahnya yang kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Lebih penting lagi dalam pertemuan bersama Farah, penekanan diberikan kepada penganiayaan siber yang menimpa dirinya.

Bukan baru berlaku pada tahun ini tetapi penggodam tersebut telah memasuki ruang e-mel Farah dan menambah kandungan dalam e-mel serta kemudian melayangkan kepada setiap data yang berada dalam e-mel tersebut. Malah kandungan tambahan tersebut dimasukkan ke dalam blog milik Farah.

Pertama kali melakukan laporan polis pada 2010, laporan akhbar tentang penganiayaan tersebut turut muncul dalam akhbar Malay Mail pada September 2010.

Selepas mengahwini penyanyi Hattan, kejadian tersebut berulang malah bekas suaminya itu pernah menemaninya membuat laporan polis sekali lagi sebelum mereka berlepas ke London pada Disember lalu.

Melihat situasi ini sebagai satu cubaan menjatuhkan maruah dan reputasi dirinya sebagai usahanita, Farah menjelaskan impak dan bisnes yang sedang dijalaninya.

Melalui syarikat Into Equity Sdn. Bhd., Farah menjalani bisnes dalam bidang hartanah dan pendidikan kanak-kanak yang beroperasi di London dan Hong Kong.

Bukan sahaja di luar negara, Farah merupakan pembekal barangan untuk hotel terkemuka di Kota Kinabalu dan membekalkan peralatan kesihatan kepada Kementerian Kesihatan.

"Apabila penggodam ini menceroboh e-mel, menyebar gambar saya dan melakukan penganiayaan siber, reputasi saya sebagai usahawan terjejas. Kalau dengan pelanggan luar negara tidak ada masalah tetapi kalau dengan pelanggan dalam negara macam mana? Saya perlu bersihkan nama saya yang tercalar," ujarnya yang telah mendapat nasihat peguam dan akan mengambil tindakan.

Menganggap perkara penggodaman e-mel dan blog serta penyebaran gambarnya sebagai sesuatu yang sangat serius, tindakan akan dibuat sekembalinya Farah dari Hong Kong kelak.

"Saya akan ke Hong Kong untuk urusan perniagaan. Sekembalinya saya nanti, saya mahu membersihkan nama saya. Saya sudah berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan terhadap beberapa blog hiburan yang menyiarkan gambar saya," kata Farah tegas.

Tuesday, January 17, 2012

Tiket Percuma Konsert Avril Lavigne Menerusi Facebook


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Kanada dengan kerjasama JS Concert Productions, memberi dua keping tiket percuma menonton konsert 'Black Star Tour' persembahan artis antarabangsa Kanada, Avril Lavigne di sini pada 18 Februari depan.

Setiausaha Kedua Bahagian Politik, Ekonomi dan Ehwal Awam suruhanjaya itu, Stuart Shaw berkata, permohonan itu boleh dibuat dengan menekan 'like' di http://www.facebook.com/CanadaMalaysia dan nyatakan apakah lagu Lavigne yang menjadi kegemaran anda untuk berpeluang memenangi tiket itu.

Jawapan yang betul akan dimasukkan ke dalam peti cabutan bertuah untuk menentukan pemenangnya, kata beliau dalam satu kenyataan, Selasa.

Peraduan itu akan berakhir pada tengah hari 15 Februari ini dan pemenang akan dihubungi menerusi Facebook, kata Shaw.

Lavigne merupakan penyanyi, penulis lagu dan pemuzik dari Napanee, Ontario, popular dengan lagu-lagu seperti: 'Complicated', 'Sk8er Boi', 'I'm With You', dan 'Losing Grip' dari 2002 6X platinum 'Let Go' diikuti dengan 'Girlfriend', 'When You're Gone', dan 'Hot' dari platinum 'The Best Damn Thing' pada 2007.

Album keempatnya 'Goodbye Lullaby' dipasarkan pada Mac tahun lepas.

Lavigne juga telah melancarkan karier keduanya sebagai seorang usahawan dengan mencipta dan melancarkan jenama fesyen dan gaya hidup 'Abbey Dawn', pewangi, 'Black Star' dan 'Forbidden Rose'.

Ceongsam Tahun Baru Cina


SELAKU pusat borong terbesar di Malaysia, Kenanga Wholesale City (KWC) menawarkan pelbagai pilihan pakaian buat semua golongan sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Lebih 800 buah kedai di KWC menyediakan pakaian dan aksesori untuk wanita, lelaki serta kanak-kanak. Tidak ketinggalan, rangkaian pakaian Muslimah termasuk beg dan kasut juga boleh didapati di KWC.

Mula beroperasi Oktober lalu, KWC memperkenalkan konsep pembelian borong dan jualan barangan pada harga rendah. Semakin banyak item yang dibeli, semakin murah harga yang perlu dibayar pelanggan.

"Kita cuba menyediakan aneka jenis pakaian dan aksesori kepada pengunjung yang datang ke KWC. Mereka akan mendapati harga yang ditawarkan di sini jauh lebih murah berbanding pusat beli-belah lain.

"Disebabkan KWC menekankan konsep borong, kami menggalakkan orang ramai membeli barangan dalam kuantiti yang banyak.

"Mereka juga boleh membeli dalam kuantiti kecil mengikut keperluan seperti biasa tanpa harga borong," jelas Pengurus Bahagian Pengiklanan dan Promosi KWC, Mak Soon Peng.

Pada majlis pelancaran sambutan Tahun Baru Cina di KWC itu, lima jenama yang beroperasi di KWC telah menjayakan pertunjukan fesyen dengan menampilkan koleksi terbaharu mereka.

Membuka tirai pada hari itu ialah koleksi Gu Zhi Qi Yuan yang mempamerkan rekaan baju tradisional wanita Cina iaitu ceongsam. Istimewa untuk penggemar fesyen masa kini, rekaan ceongsam jenama itu diubah suai agar kelihatan lebih moden dan sesuai dengan peredaran zaman.

Nilai tradisional ceongsam itu, bagaimanapun, masih dikekalkan. Berbeza dengan ceongsam asli yang lebih ringkas, koleksi Gu Zhi Qi Yuan ditambah sedikit perincian batu hiasan di bahagian leher.