Tuesday, January 17, 2012

Ceongsam Tahun Baru Cina


SELAKU pusat borong terbesar di Malaysia, Kenanga Wholesale City (KWC) menawarkan pelbagai pilihan pakaian buat semua golongan sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Lebih 800 buah kedai di KWC menyediakan pakaian dan aksesori untuk wanita, lelaki serta kanak-kanak. Tidak ketinggalan, rangkaian pakaian Muslimah termasuk beg dan kasut juga boleh didapati di KWC.

Mula beroperasi Oktober lalu, KWC memperkenalkan konsep pembelian borong dan jualan barangan pada harga rendah. Semakin banyak item yang dibeli, semakin murah harga yang perlu dibayar pelanggan.

"Kita cuba menyediakan aneka jenis pakaian dan aksesori kepada pengunjung yang datang ke KWC. Mereka akan mendapati harga yang ditawarkan di sini jauh lebih murah berbanding pusat beli-belah lain.

"Disebabkan KWC menekankan konsep borong, kami menggalakkan orang ramai membeli barangan dalam kuantiti yang banyak.

"Mereka juga boleh membeli dalam kuantiti kecil mengikut keperluan seperti biasa tanpa harga borong," jelas Pengurus Bahagian Pengiklanan dan Promosi KWC, Mak Soon Peng.

Pada majlis pelancaran sambutan Tahun Baru Cina di KWC itu, lima jenama yang beroperasi di KWC telah menjayakan pertunjukan fesyen dengan menampilkan koleksi terbaharu mereka.

Membuka tirai pada hari itu ialah koleksi Gu Zhi Qi Yuan yang mempamerkan rekaan baju tradisional wanita Cina iaitu ceongsam. Istimewa untuk penggemar fesyen masa kini, rekaan ceongsam jenama itu diubah suai agar kelihatan lebih moden dan sesuai dengan peredaran zaman.

Nilai tradisional ceongsam itu, bagaimanapun, masih dikekalkan. Berbeza dengan ceongsam asli yang lebih ringkas, koleksi Gu Zhi Qi Yuan ditambah sedikit perincian batu hiasan di bahagian leher.


No comments:

Post a Comment