Katie Holmes |
AKTRES Katie Holmes dilaporkan mengupah seorang jurulatih bagi membimbingnya dalam aspek perhubungan.
Holmes yang memfailkan perceraian dengan aktor Tom Cruise pada Julai tahun lalu dikatakan sudah bersedia untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dan mencari pengganti.
Justeru itu, ibu kepada Suri, 6, ini mengambil keputusan mendapatkan bantuan profesional bagi meningkatkan semula keyakinan diri terhadap lelaki.
Seorang sumber berkata, Katie membuat keputusan untuk kembali menjalin hubungan selepas menyambut ulang tahun kelahirannya pada hujung Disember lalu.
Katanya, pada kali ini aktres berusia 35 tahun itu mengambil pendekatan berbeza dalam soal perhubungan.
“Dia (Katie) menghadiri sesi dengan jurulatih secara individu dan menerusi telefon. Dia belajar mengenai teknik mendekati orang baharu termasuklah tip menjalinkan hubungan dan memperolehi semula keyakinan diri.
“Katie kini semakin yakin untuk bercinta semula dan mengambil langkah seterusnya bagi mencari pasangan dengan bantuan terapi itu,” kata sumber berkenaan.
Tambah sumber itu kepada majalah Grazia, Holmes mahu melakukan sesuatu mengenai hubungannya memandangkan 2013 baharu sahaja bermula.
“Memang sukar untuk bertemu dengan orang baharu di New York, terutamanya apabila anda adalah ibu tunggal. Kita faham jika dia berasa sunyi.
“Rakan-rakan pernah mencadangkan beberapa pertemuan antara Katie dengan lelaki lain tetapi dia tidak berminat.
“Jadi, dia mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan profesional bagi menyuntik semula keyakinan dirinya,” katanya.
No comments:
Post a Comment