Sunday, November 6, 2011

Izara Aishah Mahu Disanjungi Kerana Bakat


SAAT diumumkan memenangi tempat kedua pertandingan Dewi Remaja 2009/2010 tahun lalu, gadis kacukan Melayu-Pakistan, Izara Aishah, mula mendapat perhatian penerbit-penerbit drama dan filem.

Tuah badan memiliki pakej yang cukup sempurna, permulaan karier gadis berusia 18 tahun ini sedikit mudah apabila dia menerima banyak tawaran berlakon.

Bak kata orang, rezeki jangan ditolak. Apalagi menjadi orang baru dalam bidang lakonan, Izara menerima tawaran satu demi satu sebagai langkah pertama mencari pengalaman.

Bagaimanapun, dia menolak tanggapan sesetengah orang yang merasakan pelakon baru yang mempunyai wajah cantik lebih senang menjadi popular kerana tawaran-tawraan berlakon yang diberikan.

“Pada pendapat saya, tidak elok jika kita hanya melihat pada luaran seseorang itu tanpa mengambil peduli ‘isinya’, sama ada orang itu berbakat atau tidak.

“Andai kata benarlah tanggapan itu, rasanya ada ramai lagi gadis yang lebih cantik di luar sana.

“Saya mahu orang melihat bakat yang ada dalam diri ini menerusi setiap lakonan yang dibawakan. Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun sibuk saya mengisi jadual dengan kerja-kerja lakonan,” katanya yang memiliki raut wajah persis pelakon Sharifah Amani.

Agak senang berbual dengan pelakon ini. Izara seorang yang tegas dan jujur dalam setiap bicaranya.

Mungkin bagi pelakon baru yang ingin mengukir nama dalam industri seni tempatan, seboleh-bolehnya status diri sama ada sudah berteman, berkahwin atau bercerai akan dirahsiakan sebaik mungkin. Malah, umur juga dirahsiakan.

Izara pula, dengan selambanya dia mengakui hatinya sudahpun dimiliki oleh seorang lelaki yang bukan dari kalangan orang seni.

Malah dia agak senang mempunyai kekasih yang sentiasa menyokong setiap perkara yang dilakukannya lebih-lebih lagi dalam mengejar cita-cita sebagai seorang pelakon yang berjaya.

“Syukur, teman lelaki saya itu seorang yang memahami, Sebenarnya kami berkawan sejak kecil, cuma baru sekarang hubungan cinta terjalin,” ujarnya tersenyum.

Satu persatu gadis jelita ini muncul di televisyen dengan pelbagai drama dan telefilem, namun, impak lakonannya lebih terasa dalam drama bersiri Soffiya yang masih lagi hangat ditayangkan di TV3.

Sehinggakan, wataknya sebagai Fiona dalam drama itu berjaya membuatkan penonton benci dengan karakter antagonis tersebut.

Hal itu dikira sebagai satu pencapaian pertama buat pelakon ini dimana watak yang dibawakan itu adalah yang paling mencabar buatnya.

“Sepanjang penggambaran Soffiya dijalankan, ia dianggap sebagai ‘kelas lakonan’ saya kerana diajar macam-macam oleh pengarah, Joeza Rasidi dan pelakon-pelakon senior seperti Fizo dan Tiz Zaqyah. Rasa seronok sangat.

“Cuma, inilah karakter yang paling sukar untuk dihayati. Lebih-lebih lagi watak Fiona yang sentiasa bermain emosi dan menangis kerana dijadikan hamba seks oleh bapa kandung sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Izara berharap agar penonton tidak samakan karakter sebenarnya dengan watak Fiona pada drama tersebut.

“Berdasarkan apa yang dibaca dalam laman forum di internet, ramai yang benci dengan watak Fiona. Mereka juga menganggap sebagai pelakon baru, saya perlu membawakan watak baik dahulu.

“Tapi itu semua tanggapan sahaja. Jika benar mereka bencikan Fiona, ertinya lakonan saya berjaya. Tapi janganlah sampai saya benar-benar dibenci,” selorohnya.

No comments:

Post a Comment