Sunday, November 6, 2011

Alice Nguyen, Dari Perunding Reka Bentuk Kepada Juri Rrogram Realiti


RIAK wajah yang sombong, serius dan tegas juri program realiti terbaru saluran AXN, The Apartment iaitu Alice Nguyen ini bukan saja mampu menambahkan elemen drama tetapi mungkin membangkitkan kemarahan penonton.

Hakikat itu diakui sendiri oleh perunding reka bentuk antarabangsa ini ketika pandangan itu diajukan kepadanya.

Namun, jelas Nguyen, kepercayaan dan tanggungjawab untuk menjadi juri sebuah program yang menawarkan kondominium bernilai RM642,500 itu bukan semudah jangkaan.

Biarpun air muka yang garang dan gestur tegas itu mengundang kebencian, dia harus mengambil pendekatan itu bagi menyamai penanda aras dan standard yang dicari.

“Walau apa pun pandangan orang, saya perlu bertegas dan terperinci dalam menilai rekaan dalaman para peserta.

“Ia sebuah program yang besar dan melibatkan hadiah yang cukup lumayan, jadi kaedah penjurian juga harus teliti dan selaras dengan standard yang diperlukan,” kata wanita berasal dari Vietnam itu dalam satu temu bual bersama OopStarz! baru-baru ini.

The Apartment adalah sebuah program realiti mingguan yang mencabar kemampuan tiga kumpulan iaitu pasangan Renai dan Jeremy, Syed dan Rodrigo serta Michael dan Tika untuk menyiapkan dekorasi dan pertukangan dalaman bagi ruang-ruang tertentu dalam sesebuah rumah.

Istimewanya, program terbitan Riaz Mehta yang juga penerbit program The Biggest Loser Asia ini memaparkan konsep ‘kerja bertukang sendiri’ (DIY) yang julung kali diketengahkan di Asia.

Wanita yang memiliki wajah seiras pelakon antarabangsa Datuk Michelle Yeoh ini lantas ditanya adakah perunding reka bentuk sepertinya mempertimbangkan untuk bergiat aktif dalam bidang hiburan selepas kemunculan dalam The Apartment ini.

Katanya, dia tidak menolak sekiranya ada tawaran dalam bidang pengacaraan namun segalanya bergantung kepada kesesuaian projek berkenaan dan jadual kerjanya.

“Kalau ada tawaran dalam bidang pengacaraan yang bersesuaian, mengapa tidak saya pertimbangkan tetapi yang pasti bukan sebagai pelakon.

“Kebetulan pemilihan saya sebagai juri program ini adalah bersesuaian dengan profil sebagai perunding reka bentuk, sebab itu saya menerimanya,” katanya yang terlibat dalam rekaan bangunan Robertson Boulevard, Los Angeles dan Union Street, San Fransisco, Amerika Syarikat.

Selain Nguyen, program tersebut turut diadili oleh pemilik HL Design Group, Martin Haeger dan diacarakan oleh Kahi Lee.

Siri terbaru ini mula bersiaran sejak 27 Oktober lalu pada setiap Khamis pukul 8.10 malam di saluran AXN.

Bersiaran sebanyak lapan episod, program terbitan Imagine Group ini ditayangkan menerusi 22 negara di sekitar Asia.

Langkah Kanan Jojo Goh Sertai Dunia Filem Melayu


NAMA Jojo Goh, 28, mungkin masih baru dalam industri hiburan tempatan, namun gadis ini sebenarnya begitu sinonim dan popular menerusi drama dan telefilem berbahasa Cina.

Bagaimanapun, ujibakat pencarian pelakon filem 29 Februari yang dijalaninya pada awal Januari lalu oleh pihak KRU Studios telah membuka mata pengarahnya, Edry Abdul Halim, memilih Jojo untuk menggalas watak utama sebagai Lily.

Kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu, peluang berlakon dalam filem Melayu ibarat seperti langkah kanan mengembangkan lagi kerjaya lakonan dan pada masa sama dapat memperkenalkan diri kepada peminat-peminat filem Melayu pula.

“Siapa yang akan menolak apabila peluang besar berada di depan mata? Tambah pula, dapat digandingkan dengan ‘hero Malaya’, Remy Ishak, yang membawa watak sebagai Budi, tak mungkin saya akan abaikan tawaran itu.

“Memandangkan saya tidak mengenali Remy sebelum menerima 29 Februari, saya mencari maklumat tentangnya di internet sebagai persediaan.

“Mujurlah semasa ujibakat kali kedua dijalankan bersama Remy, kami mempunyai keserasian. Malah Remy seorang pelakon yang cukup profesional,” katanya.

Tambah Jojo, dia agak kekok melakonkan babak-babak cinta dengan Remy pada awal penggambaran berlangsung, namun rasa tidak selesa mula hilang selepas mereka cuba mengenali antara satu sama lain.

Filem 29 Februari yang sudah pun tamat penggambarannya pada 25 Oktober lalu mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Budi yang lahir pada 29 Februari 1986 dimana kehidupannya melalui peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Malaysia.

Dalam pada itu, Budi telah jatuh cinta dengan seorang gadis berketurunan Cina bernama Lily, namun cinta mereka dihalang keluarga gadis itu kerana berbeza latar belakang agama dan budaya.

Walaupun fasih berbahasa Malaysia, penggunaan bahasa dalam filem kedua Edry itu agak mencabar buatnya.

“Saya perlu bertutur dalam bahasa Malaysia sebanyak 90 peratus. Walaupun penggunaan bahasa Malaysia bukanlah satu masalah besar, tetapi Edry meminta saya membuat latihan supaya pertuturan dalam watak lebih lancar dari segi sebutannya.

“Jadi, saya mengambil langkah berbual dengan orang di sekeliling termasuklah kru penggambaran menggunakan bahasa Malaysia,” ujarnya yang bersedia untuk menerima tawaran berlakon dalam drama dan filem Melayu.

Izara Aishah Mahu Disanjungi Kerana Bakat


SAAT diumumkan memenangi tempat kedua pertandingan Dewi Remaja 2009/2010 tahun lalu, gadis kacukan Melayu-Pakistan, Izara Aishah, mula mendapat perhatian penerbit-penerbit drama dan filem.

Tuah badan memiliki pakej yang cukup sempurna, permulaan karier gadis berusia 18 tahun ini sedikit mudah apabila dia menerima banyak tawaran berlakon.

Bak kata orang, rezeki jangan ditolak. Apalagi menjadi orang baru dalam bidang lakonan, Izara menerima tawaran satu demi satu sebagai langkah pertama mencari pengalaman.

Bagaimanapun, dia menolak tanggapan sesetengah orang yang merasakan pelakon baru yang mempunyai wajah cantik lebih senang menjadi popular kerana tawaran-tawraan berlakon yang diberikan.

“Pada pendapat saya, tidak elok jika kita hanya melihat pada luaran seseorang itu tanpa mengambil peduli ‘isinya’, sama ada orang itu berbakat atau tidak.

“Andai kata benarlah tanggapan itu, rasanya ada ramai lagi gadis yang lebih cantik di luar sana.

“Saya mahu orang melihat bakat yang ada dalam diri ini menerusi setiap lakonan yang dibawakan. Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun sibuk saya mengisi jadual dengan kerja-kerja lakonan,” katanya yang memiliki raut wajah persis pelakon Sharifah Amani.

Agak senang berbual dengan pelakon ini. Izara seorang yang tegas dan jujur dalam setiap bicaranya.

Mungkin bagi pelakon baru yang ingin mengukir nama dalam industri seni tempatan, seboleh-bolehnya status diri sama ada sudah berteman, berkahwin atau bercerai akan dirahsiakan sebaik mungkin. Malah, umur juga dirahsiakan.

Izara pula, dengan selambanya dia mengakui hatinya sudahpun dimiliki oleh seorang lelaki yang bukan dari kalangan orang seni.

Malah dia agak senang mempunyai kekasih yang sentiasa menyokong setiap perkara yang dilakukannya lebih-lebih lagi dalam mengejar cita-cita sebagai seorang pelakon yang berjaya.

“Syukur, teman lelaki saya itu seorang yang memahami, Sebenarnya kami berkawan sejak kecil, cuma baru sekarang hubungan cinta terjalin,” ujarnya tersenyum.

Satu persatu gadis jelita ini muncul di televisyen dengan pelbagai drama dan telefilem, namun, impak lakonannya lebih terasa dalam drama bersiri Soffiya yang masih lagi hangat ditayangkan di TV3.

Sehinggakan, wataknya sebagai Fiona dalam drama itu berjaya membuatkan penonton benci dengan karakter antagonis tersebut.

Hal itu dikira sebagai satu pencapaian pertama buat pelakon ini dimana watak yang dibawakan itu adalah yang paling mencabar buatnya.

“Sepanjang penggambaran Soffiya dijalankan, ia dianggap sebagai ‘kelas lakonan’ saya kerana diajar macam-macam oleh pengarah, Joeza Rasidi dan pelakon-pelakon senior seperti Fizo dan Tiz Zaqyah. Rasa seronok sangat.

“Cuma, inilah karakter yang paling sukar untuk dihayati. Lebih-lebih lagi watak Fiona yang sentiasa bermain emosi dan menangis kerana dijadikan hamba seks oleh bapa kandung sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Izara berharap agar penonton tidak samakan karakter sebenarnya dengan watak Fiona pada drama tersebut.

“Berdasarkan apa yang dibaca dalam laman forum di internet, ramai yang benci dengan watak Fiona. Mereka juga menganggap sebagai pelakon baru, saya perlu membawakan watak baik dahulu.

“Tapi itu semua tanggapan sahaja. Jika benar mereka bencikan Fiona, ertinya lakonan saya berjaya. Tapi janganlah sampai saya benar-benar dibenci,” selorohnya.

Rihanna Dilarang Minum Minuman Keras & Berpesta


PENYANYI Rihanna (gambar) dilarang minum minuman keras dan berpesta oleh doktor peribadinya.

Penyanyi lagu Take A Bow itu dilaporkan terlalu banyak melakukan kedua-dua perkara itu.

Sebelum ini, Rihanna pernah dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti virus selesema sehingga terpaksa membatalkan konsert di Sweden.

"Doktor sangat khuatir dengan kesihatannya. Dia banyak menghabiskan sebahagian besar waktunya di studio atau kelab malam," ujar sumber terdekat Rihanna menurut akhbar The Sun, Khamis.

Jadual kerja yang padat serta keseronokan berpesta menjadi penyebab utama Rihanna jatuh sakit kerana pemenang 4 Grammy Awards itu benar-benar tidak mempunyai waktu untuk berehat.