Wednesday, February 13, 2013

Saya masih solo - Linda Onn


SELEPAS dikaitkan dengan pelakon kacak, Fahrin Ahmad, Linda Onn atau nama sebenarnya Rozlindah Onn, 36, mengakui masih lagi single dan mencari-mencari calon yang sesuai untuk dijadikan suami.
Linda yang ditemui ketika majlis kolaborasi resipi baharu restoran miliknya, My Mom’s Chicken Rice bersama Datuk Fazley Yaakob menerusi hidangan nasi ayam salai lemak cili padi, di Ampang, Selangor baru-baru ini, pada awalnya cuba ‘melarikan diri’ daripada menjawab pertanyaan mengenai bakal pasangan hidupnya.
Bagaimanapun, selepas diasak pertanyaan mengenai perkara itu daripada pihak media, Linda akhirnya akur dan berdepan dengan soalan lazim mengenai perancangan menamatkan zaman bujangnya.
Ikuti temu bual Kosmo! dengan penyampai radio Suria FM itu mengenai soal hati dan perasaannya.
Setelah sekian lama tidak bercakap mengenai soal hati, adakah kini hati Linda sudah terisi atau masih kosong?
Hati ini masih lagi milik keluarga. Saya masih lagi solo dan tidak pernah berhenti berdoa kepada Allah agar dipertemukan dengan seseorang yang istimewa.
Adakah Linda sendiri yang terlalu memilih?
Semua orang inginkan yang terbaik untuk dirinya, apatah lagi pasangan hidup. Namun, itu semua ketentuan Illahi. Saya hanya berusaha, Tuhan yang menentukan.
Bagaimanakah pula dengan desas-desus mengatakan Linda akan berkahwin dalam masa terdekat ini?
Itu semua tidak benar, tetapi biarkan mereka terus bercakap bahawa saya akan berkahwin, ungkapan itu satu doa. Moga-moga dengan doa mereka itu saya akan bertemu dengan jodoh saya tidak lama lagi. Amin.
Beralih kepada kolaborasi menu masakan Datuk Fazley dengan restoran Linda sendiri, adakah Linda selesa bekerjasama dengan Datuk Fazley?
Ya, saya sangat selesa dengan Fazley. Kami pernah digandingkan bersama-sama menerusi filem Gila Bola, jadi keserasian itu telah lama terbentuk.
Apakah ciri-ciri jejaka idaman Linda adakah seperti Datuk Fazley?
Saya tidak nafikan ciri-ciri lelaki idaman saya ada pada Fazley. Tetapi saya dan Fazley hanya kawan dan dia pun sudah berumah tangga. Jika lapan tahun lepas, Fazley mengurat saya, tentu saya menerimanya. Tetapi itulah, Fazley lambat sangat! (ketawa).
Berbalik kepada kolaborasi ini, bagaimanakah boleh tercetusnya idea kolaborasi ini?
Saya dan Fazley sebenarnya telah diundang untuk menjadi juri dalam program realiti Mimpi ke Bintang di TV2. Dari situlah, kami bertukar-tukar pendapat dan idea.
Kebetulan saya ada bercerita mengenai restoran saya dan dia pula berkongsi menu baharu dalam buku resipinya yang boleh menjadi produk terbaharu restoran saya untuk tahun 2013 ini.
Jadi, saya cadangkan kolaborasi ini di samping restoran saya mempunyai hidangan baharu, Fazley juga mendapat kebaikan pada dirinya yang ingin berkongsi rasa sebenar menu nasi ayam salai lemak cili padi kepada orang ramai.

Cincin Aliff buat Adira


BERTEMU dengan penyanyi muda Aliff Aziz dalam satu sesi fotografi baru-baru ini terlihat riak gembira pada wajahnya meskipun tahun lalu namanya terpalit dengan kontroversi hangat bersama bekas kekasihnya aktres, Anne Ngasri.
Tutup buku kisahnya bersama Anne, Aliff enggan lagi menoleh ke belakang. Terbaharu, jiwa laranya kembali terisi dengan bunga cinta wanita bernama Adira.
Sebelum ini jejaka berusia 22 tahun itu memberitahu, pengalaman yang lalu banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati untuk berkongsi kisah cinta dengan khalayak.
Namun baru-baru ini. Aliff sendiri yang memecahkan tembok rahsia hatinya pada khalayak dengan memuat naik gambar-gambar dirinya bersama Adira dengan jari manis masing-masing menyarung sepasang cincin menerusi Instagram.
Secara tidak langsung, ia telah menimbulkan pelbagai spekulasi.
"Sebenarnya gambar-gambar saya dan Adira yang dimuat naik ke dalam Instagram itu bukanlah gambar yang tertulis I Love You, jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk.
"Itu sekadar gambar bersama orang yang paling rapat dengan saya. Saya sedar tindakan saya itu telah menimbulkan banyak spekulasi dan saya tidak salahkan sesiapa.
"Saya tidak mahu berbohong atau menipu. Terpulang kepada mereka di luar sana untuk membuat sebarang andaian. Apa yang saya harapkan, doakan yang terbaik untuk saya," tuturnya.
Akui Aliff tanpa berselindung, penyanyi genit yang bergandingan dengan dirinya dalam drama Tiara itu menjadi temannya yang paling rapat saat dirinya dilanda duka.
"Memang Adira merupakan rakan dan teman yang paling rapat dengan saya. Kami mula rapat selepas saya pulih daripada kekecewaan dan membuat kemunculan semula.
"Waktu keluarga saya berada jauh di Singapura, dia merupakan teman yang paling banyak membantu menguatkan semangat saya dari segi mental," kata Aliff.
Disoal adakah pengalaman lepas membuatkan dirinya serik untuk bercinta sesama artis, dia tertawa seketika sebelum menegaskan bahawa dia juga manusia biasa yang mempunyai perasaan seperti orang lain.
"Saya pun manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Jika kita sudah suka seseorang, sukar untuk saya melawan perasaan itu. Kami selesa bersama dan mempunyai keserasian.
"Jika sudah tertulis jodoh saya dengan artis saya mahu buat macam mana? Saya harus reda. Kalau boleh, saya mahu berkahwin sebelum usia mencecah 30 tahun.
"Sebelum itu, saya harus memantapkan diri dari segi ekonomi sebelum meminang anak dara orang. Jadi, sekarang fokus saya hanya pada kerjaya," balasnya.
Misi Aliff
Sudah cukup dengan kontroversi, 2013, ujar Aliff, merupakan tahun kelahiran semulanya dalam industri seni tempatan.
Selepas jatuh dan kecundang tahun lalu, Aliff menyatakan dia kini harus merangkak semula untuk kembali mengukuhkan namanya.
"Saya belajar daripada kesilapan lalu, walaupun saya bercinta, saya harus ingat tujuan asal saya datang ke Malaysia adalah untuk bergelar penyanyi.
"Cabaran untuk diri saya sendiri adalah menjadi orang yang berbeza dan lebih baik daripada sebelum ini. Apa yang kurang pada diri akan saya perbaiki.
"Kalau boleh, saya mahu tahun 2013 nama saya bersih daripada sebarang kontroversi dan ingin menjadi artis yang berada pada tahap lebih tinggi daripada apa yang saya ada hari ini," katanya yang akan pergi menunaikan umrah pada 15 Mac depan bersama keluarganya.
Bagi memantapkan kerjaya nyanyiannya, penyanyi yang popular dengan lagu Sayang Sayang dan Jangan Ganggu Pacarku itu ingin menyambung pelajaran dalam bidang muzik jika berpeluang.
"Saya bolehlah bermain gitar tetapi kena belajar lagi. Sekarang tengah belajar dengan penyanyi Awi Rafael sebab saya ada niat untuk mencipta lagu sendiri.
"Bukan mudah untuk mencipta sebuah lagu yang sedap dan dapat dihayati oleh pendengar. Jika saya cipta lagu selepas ini, saya akan lebih ke genre pop balada," ujarnya.
Aliff telah muncul dengan tiga buah album sebelum ini iaitu Aliff (2007), It's Aliff's Time (2010) dan Aliff Aziz 2012 sebelum ini dan tidak lama lagi bakal muncul dengan album keempatnya.
Kini, Aliff sedang mengumpul material untuk album keempat yang dijangka berbeza dengan lagu-lagu yang pernah dilahirkan sebelum ini.
"Sekarang, saya tengah promosi lagu Keajaiban Cinta duet bersama Adira. Selepas itu baru akan keluarkan single demi single.
"Lagu-lagu saya sebelum ini semuanya lagu cinta yang 'comel-comel' sesuai untuk remaja tetapi selepas ini, hala tuju muzik saya akan sedikit berbeza.
"Saya mula jadi penyanyi pada usia 16 tahun, sekarang sudah mencecah 22 tahun, harus ada perbezaan kerana saya sudah dewasa dan lebih matang. Begitu juga dengan lagu yang akan dimuatkan dalam album keempat, berlaku transformasi," ulasnya.