Wednesday, June 20, 2012

Semua manusia buat silap – Hanez Suraya

Setelah agak lama berteka-teki mengenai status hubungan pelakon Hanez Suraya dengan penyanyi Awi Rafael, akhirnya ia terbongkar jua. Mereka berdua memilih untuk tidak berahsia lagi tentang cinta yang telah bertaut.
Hanez, 27, yang sebelum ini menafikan status perhubungan mereka yang sudah terjalin selama tiga bulan, akhirnya bertindak terbuka dengan mendedahkan status yang sebenar.
Perkenalan mereka bermula ketika pengurus Awi menghubunginya untuk mempelawa menjadi model klip video untuk single terbaharunya, Asalkan Aku OK.
Kosmo! menemu bual Hanez pada majlis makan malam istimewa bersama pelakon 3 Janji di Luna Bar, Pacific Regency Hotel, Kuala Lumpur.
Selain bercakap tentang hubungan cinta mereka, Hanez turut memberi sedikit kenyataan tentang penyebaran gambar lama kekasihnya itu yang disifatkan agak liar.
Kosmo!: Kenapa sebelum ini Hanez menafikan mengenai status hubungan ini?
HANEZ: Sebelum ini saya bukan ingin menyorok mengenai hubungan ini. Saya mahu dia bersuara dahulu kepada rakan media perhubungan ini kerana sebagai wanita, saya rasa biarlah pihak lelaki yang bersuara dahulu.
Apa sifat Awi yang membuatkan anda menyukainya?
Pada mulanya, saya tidak menyukai dia kerana saya menyangka dia seorang yang ‘poyo’. Saya hanya meminati lagu dendangannya, Bila Aku Jatuh Cinta. Namun bila sudah mula mengenalinya, barulah saya tahu bahawa dia seorang yang suka mengambil berat, menghormati orang lain dan bertanggungjawab. Saya senang bersama dengannya.
Adakah Awi dapat memahami kerjaya anda sebagai seorang pelakon?
Buat masa sekarang ini, dia sedang membiasakan diri dengan waktu kerja saya. Kadangkala kami ada berselisih faham mengenai waktu kerja yang berbeza. Walaubagaimanapun, dia sentiasa menyokong kerjaya saya dan saya sentiasa menyokong kerjayanya.
Anda berdua selalu meluangkan masa bersama?
Bergantung kepada waktu bekerja, sekiranya ada masa terluang kami akan menghabiskan masa bersama. Keluarga pun mengetahui hubungan kami. Jadi tiada masalah untuk kami keluar bersama.
Komen sikit mengenai aksi mesra anda dan pelakon sinetron popular Indonesia, Randy Pangalila dalam drama bersiri Dalam Hati Ada Taman. Apa reaksi Awi mengenai itu?
Babak cium itu sebenarnya hanya lakonan dan dibuat dengan menggunakan teknik lakonan dan kamera. Ianya bukan aksi sebenar. Dia menerimanya dengan hati terbuka dan asalkan itu hanya untuk tuntutan kerja. Dia juga sentiasa pesan supaya saya pandai menjaga diri dan sebagai wanita perlu tahu batas-batas pergaulan.
Baru-baru ini tersebar gambar Awi yang bertatu dan kehidupan liar dia bersama beberapa wanita. Bagaimana anda melihat isu tersebut?
Jujurnya, saya dan keluarga menerima dia seadanya. Lagipun itu merupakan gambar dan kehidupan lampau dia. Sebagai manusia kita semua ada membuat kesilapan pada masa lalu.
Apa perkembangan terbaharu anda?
Saya telah terbabit drama Suri bermula 11 Jun lalu menerusi slot Azalea di TV3. Dalam drama tersebut saya membawa watak seorang yang sangat daif. Kemudian saya akan memulakan penggambaran drama di bawah produksi Brand Management Group (BMG).

Emosi Zarina bercelaru

ENTAH kenapa ada sesuatu yang pelik dengan tingkah laku pelakon berbakat Zarina Zainoordin ketika menghadiri sesi fotografi bersama Kosmo! berlangsung di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dia seolah-olah tidak dapat memfokuskan diri apabila jurufoto Nooradzrene Mohd. Noor cuba merakamkan gambarnya.
Sikapnya juga tidak keruan seperti mana kebiasaan sebelum ini. Malah, sikap tidak keruan itu boleh dilihat jelas dalam foto-foto yang dirakamkan itu.
Selesai sahaja sesi fotografi, perkara itu diajukan kepadanya. Apakah punca yang membuat tingkah laku Zarina menjadi sedemikian rupa?
"Karakter Zila dalam drama, Ameera sangat berat untuk saya pikul. Bayangkan selama dua bulan, saya perlu kekal membawa watak wanita psiko, meroyan dan penuh dengan tekanan perasaan apabila diminta menyerahkan bayi kepada pasangan yang tidak boleh mendapatkan anak.
"Disebabkan sudah lama menghayati watak tersebut, saya sampai terbawa-bawa ke luar lokasi," luah Zarina memberikan jawapan terhadap persoalan mengenai sikap pelik dirinya itu.
Bercerita mengenai watak lakonannya itu, kata Zarina, Zila pada asalnya merupakan seorang wanita baik.
"Dia merupakan gadis kampung yang kemudian dilacurkan oleh kekasihnya dan akhirnya dapat melarikan diri sebelum bertemu dengan Ameera, lakonan Rita Rudaini.
"Sejak itu, Zila membuat perjanjian dengan Ameera untuk berkahwin dengan suaminya, Ameer dan melahirkan anak untuk pasangan itu sebelum diceraikan dengan upah RM360,000. Namun, setelah mengandung, Zila mulai menyayangi suami Ameera dan juga bayi dalam kandungannya itu.
"Malangnya suami Ameera tidak membalas cintanya. Disebabkan itu, dia mula berubah menjadi wanita jahat dan psiko sehingga mengugut untuk membunuh kandungan jika Ameer tidak mencintainya. Ada banyak emosi yang berat dalam watak ini membuatkan saya terbawa-bawa hingga ke dalam kehidupan realiti," ujarnya.
Namun, bukan watak Zila sahaja yang membuatkan diri Zarina dlilanda tekanan. Luah Zarina lagi, dia juga sangat tertekan apabila bapanya, Zainoordin Abd. Rahman diserang penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan jantung.
Malah, akibat tekanan yang dihadapinya, Zarina juga baru-baru ini terlibat dengan dua kemalangan dalam masa terdekat.
"Ayah sepatutnya kena potong kaki sebab kakinya luka akibat terjatuh. Namun, kakak saya minta jangan dipotong sebaliknya sapu ubat. Alhamdulillah, luka ayah semakin sembuh tetapi malang pula apabila dia terjatuh sekali lagi dan menyebabkan kaki yang luka tadi patah.
"Saya juga mengalami kemalangan jalan raya sebanyak dua kali. Pertama, ketika dalam perjalanan dari Jengka, Pahang ke Kuala Lumpur. Ketika itu saya baru selesai penggambaran drama RTM, Anak Yang Bertuah.
"Selepas kemalangan itu, tanpa pergi membuat rawatan lanjut saya meneruskan penggambaran drama Ameera pula dan sekali lagi saya terlibat dengan kemalangan. Mungkin terlalu penat atau tertekan dengan segala masalah yang dihadapi, ia sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kehidupan saya," jelasnya yang mengalami penurunan berat badan daripada 47 kilogram kepada 43 kilogram.
Tidak kejar glamor
Sudah banyak drama yang dilakonkan Zarina, tetapi malangnya anak saudara kepada penyanyi Salwa Abdul Rahman itu tidak begitu menyerlah.
Apabila persoalan itu diajukan kepadanya, ujar Zarina, dia bukan artis yang gilakan glamor, sebaliknya figura genit ini lebih mementingkan kualiti.
Jelasnya lagi, sebagai pelakon dia mahu menyampaikan sesuatu mesej kepada penonton. Bukan sekadar lakonan kosong semata-mata.
"Buat apa popular kalau sekejap. Saya mahu terus bertahan dalam industri lakonan sampai bila-bila. Saya jadikan pelakon Liza Abdullah sebagai sumber inspirasi yang mana daripada dulu sampai sekarang dia masih lagi mendapat tawaran berlakon dan semua orang mengenalinya. Saya juga mahu lakonan saya memberi impak kepada penonton," tuturnya yang sering membawakan watak antagonis di dalam drama.
Tidak kecewa dengan watak antagonis yang sering dibawa, ungkap Zarina, dia begitu mengidamkan watak protagonis.
"Banyak sebenarnya watak idaman yang sudah saya terima. Sebagai contoh, watak psiko dalam drama Saka Jentayu dan Ameera. Cuma, saya belum lagi menerima watak yang betul-betul baik. Kalau adapun watak yang pada mulanya baik, tetapi berubah menjadi jahat kemudiannya," luahnya.
Biarpun sering dibanjiri tawaran lakonan, kata Zarina, dia tidak pernah terlintas untuk meninggalkan bidang nyanyian.

Tuesday, June 19, 2012

Izara Aishah Enggan Berlakon Aksi Ranjang

PETALING JAYA: Pelakon Izara Aishah enggan menerima sebarang watak melibatkan aksi ranjang terutamanya bersama lelaki sekiranya ditawarkan oleh pihak produksi.
Izara, 20, berkata, dia mempunyai hak untuk memilih peranan yang ditawarkan kepadanya dan akan terus berpegang kepada prinsipnya itu.
"Benar saya sebagai seorang pelakon baru perlu terokai pelbagai watak dalam menjadikan saya seorang pelakon berkaliber tetapi bukan dengan membawa watak sebagai wanita jahat atau aksi ranjang.
"Walaupun saya masih baru, itu tidak bererti saya tidak mempunyai hak untuk menentukan apakah watak yang perlu saya bawa," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Izara, faktor usianya yang masih muda juga jadi penyebab dia enggan menerima watak-watak sedemikian.
Dalam pada itu, Izara menafikan dia semakin besar kepala apabila sudah mula memilih watak yang diberikan kepadanya selepas popular menerusi drama bersiri Vanila Coklat.
Izara menjelaskan keputusannya itu tiada kena mengena dengan populariti sebaliknya lebih kepada prinsip sebagai seorang individu.
"Saya masih baru dalam industri dan rasanya masih banyak peranan lain yang boleh saya terokai.
"Watak wanita jahat dan aksi ranjang mungkin tidak sesuai buat masa ini dan tiada kena mengena dengan populariti yang sedang saya kecapi," ujarnya.
Bagaimanapun kata Izara, prinsipnya itu mungkin berubah suatu hari nanti jika dia sudah bersedia untuk menerima watak sedemikian.
Sementara itu, mengulas mengenai wajahnya sering menghiasi drama-drama sebagai peranan utama, Izara berkata, dia bersyukur dengan kepercayaan pihak produksi dan menganggap ia sebagai rezeki dan hasil usaha kerasnya untuk bergelar pelakon.
Izara memberitahu, dia memang memegang azam untuk cepat dikenali dalam industri hiburan tempatan dan tidak menyangka ia secepat ini.
"Alhamdulillahlah apa yang saya rencanakan berhasil dan mendapat kepercayaan banyak pihak.
"Bagaimanapun tidak bererti saya sentiasa membawa watak utama, saya tidak mahu menerima peranan sampingan," katanya.

Mizz Nina Sedia Mengandung Pada Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Penyanyi Mizz Nina berkata dia sudah berkeinginan untuk bergelar ibu dan berhasrat mengandung bermula pada awal tahun depan.
Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 32, berkata tahun 2013 adalah waktu terbaik untuk dia memberikan tumpuan kepada urusan membina keluarga selepas setahun mendirikan rumah bersama vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh Salleh, 28.
“Selepas hampir setahun berkahwin kini saya baru benar-benar bersedia untuk bergelar ibu. Jika diizinkan, saya mahu mendapatkan anak pada tahun depan.
“Lagipun umur saya pun akan mencecah 33 tahun pada 2013, jadi saya rasa tahun depan adalah waktu terbaik untuk saya dan Noh membina keluarga,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Mizz Nina, Tan Sri Azman Hashim pada 1 Julai tahun lalu di kediaman keluarganya di Ukay Heights, Ampang dekat sini.
Penyanyi lagu Take Over itu berkata, walaupun dia sering diajukan pertanyaan mengenai isu anak di kalangan media dan peminat, ia tidak memberikan tekanan kerana dia tidak pernah didesak oleh keluarga untuk segera mendapatkan zuriat.
“Sebenarnya tiada apa yang perlu dikejar atau terburu-buru dalam soal memiliki anak. Bapa dan keluarga saya sudah mempunyai 10 orang cucu jadi soal mahu segera mendapatkan anak tidak menjadi tekanan kepada saya.
“Cuma mungkin Noh yang kadang-kadang meminta kami segera dapat anak. Saya jelaskan padanya, biar semua hal kerja diselesaikan dulu pada tahun ini agar kami boleh tumpukan pada keluarga pada tahun depan,” kongsinya.
Mengenai perkembangan kerjaya, Mizz Nina berkata dia sedang giat membuat persiapan untuk siri jelajah Asia pada hujung tahun ini bersempena promosi album keduanya, Take Over yang dilancarkan pada bulan lalu.
“Saya sedang sibuk dengan persiapan dan kertas kerja untuk siri jelajah bagi mempromosikan album Take Over di sekitar Asia pada hujung tahun ini.
“Berkemungkinan saya akan ke Singapura, Thailand, Jakarta, Indonesia dan Jepun kerana terdapat permintaan dari sana. Semuanya masih dalam proses perbincangan, Insya-Allah apabila sudah sah nanti saya akan maklumkan kepada khalayak,” katanya mengakhiri perbualan.